Kategori: BERITA

  • Aktivis Brazil di kapal bantuan Gaza dirampas mula mogok lapar: Pertubuhan hak asasi

    JERUSALEM/ISTANBUL – Aktivis Brazil Thiago Avila, yang ditahan di atas kapal bantuan ke Gaza, Madleen, memulakan mogok lapar dan air, kata organisasi hak asasi manusia Israel dan pusat undang-undang Adalah pada Selasa.

    Tentera Israel merampas kapal itu di perairan antarabangsa awal Isnin, menahan 12 aktivis dari beberapa negara ketika mereka cuba untuk sampai ke Jalur Gaza dengan bantuan kemanusiaan untuk mencabar sekatan Israel.

    Aktivis termasuk warga Brazil, Perancis, Belanda, Jerman, Sweden, Sepanyol dan Türkiye.

    Empat aktivis telah dihantar pulang dari Israel pada Selasa, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, manakala lapan lagi, yang enggan menandatangani arahan pengusiran, ditahan di Penjara Givon di Ramla, Israel.

    Lapan mereka hadir di mahkamah tahanan Ramla pada Selasa, menghadapi perintah pengusiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Israel, kata Adalah.

    Pasukan undang-undang Adalah, yang terdiri daripada peguam Hadeel Abu Saleh, Lubna Toma dan peguam sukarelawan Afnan Khalifa, berhujah semasa perbicaraan selama lima jam bahawa pemintasan Israel terhadap Madleen, sebahagian daripada Gabungan Freedom Flotilla yang bertujuan untuk memecahkan sekatan Gaza, melanggar undang-undang antarabangsa.

    Pasukan itu berpendapat bahawa aktivis itu dibawa secara paksa ke Israel dari perairan antarabangsa, melabel mereka “penyusup haram” tanpa asas undang-undang, kata Adalah.

    Para peguam mengutuk sekatan Israel ke atas Gaza sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang hukuman kolektif yang bertujuan untuk menyebabkan orang awam kelaparan dan melanggar langkah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes genosid dibawa Afrika Selatan terhadap Israel. Mereka menegaskan aktivis bertindak mengikut hak undang-undang mereka untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana penduduk menghadapi risiko kebuluran.

    Pasukan undang-undang menuntut pembebasan segera aktivis tanpa syarat dan kembali ke Madleen untuk menyelesaikan misi mereka menyampaikan bantuan ke Gaza sebelum pulang ke negara asal mereka.

    Mereka berhujah bahawa Israel tidak mempunyai bidang kuasa, kerana kapal itu telah dipintas di perairan antarabangsa, menjadikan penahanan dan perintah pengusiran menyalahi undang-undang, menurut pusat itu.

    Aktivis yang ditahan melaporkan “diculik” dan dibawa secara paksa ke Israel, menekankan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk memecahkan kepungan Israel dan menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza, kata Adalah.

    Mereka juga mengadu tentang keadaan tidak bersih semasa dalam tahanan, termasuk pepijat katil dan air paip yang tidak boleh diminum.

    Pihak berkuasa Israel meminta mahkamah untuk menahan aktivis sehingga pengusiran mereka di bawah Undang-undang Kemasukan Israel, yang membenarkan penahanan sehingga 72 jam bagi mereka yang enggan keluar secara sukarela.

    Pusat itu mengulangi gesaannya agar aktivis dibebaskan segera dan kembali ke negara asal mereka, mengharapkan keputusan mahkamah tidak lama lagi.

    Tentera Israel, menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, telah melancarkan serangan kejam terhadap Gaza sejak Oktober 2023, membunuh hampir 55,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

    November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

    Israel juga menghadapi kes genosid di ICJ kerana perangnya terhadap kawasan itu.

    ANADOLU

  • Bekas staf TV berbayar pengsan hadapi 743 pertuduhan ubah data akaun pelanggan

    KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan sebuah stesen televisyen berbayar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 743 pertuduhan mengubah suai sistem pangkalan data syarikat itu dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.

    Bagaimanapun tertuduh Nora Idayu Jaafar, 48, yang ketika itu bertugas di Astro, tiba-tiba rebah dan pengsan di dalam kandang tertuduh semasa pertuduhan ke-30 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Susulan itu, mahkamah menetapkan 26 Jun untuk menyambung prosiding bagi meneruskan baki 713 pertuduhan.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Bagi 30 pertuduhan pertama, Nora Idayu yang bertugas di Unit Sokongan Komersial didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar 30 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat, yang mana beliau mengetahui perbuatan itu akan menyebabkan perubahan kandungan pangkalan data tanpa kuasa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak di sini mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Permohonan ke program ijazah sarjana muda politeknik sesi 2025/2026 kini dibuka

    KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2025/2026 ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik kini dibuka bermula hari ini sehingga 4 Julai depan.

    Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my dan pembelian nombor pin tidak diperlukan.

    “Pelawaan tawaran ini dibuka kepada Lepasan Diploma/Diploma Lanjutan Politeknik. Pelajar semester akhir Diploma Politeknik (Sesi II: 2024/2025 tamat latihan industri) juga layak memohon.

    “Permohonan bagi lepasan Diploma Kejuruteraan / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi daripada IPTA / IPTS, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pemilik Sijil Apel.A T-6 boleh dibuat mulai 11 Jun 2025 pukul 5 petang sehingga 4 Julai 2025 pukul 12 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu juga memaklumkan mulai sesi akademik 2025/2026, dua program baharu diperkenalkan, sekali gus menjadikan 12 program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan bagi sesi akademik berkenaan.

    Menurut JPPKK program ijazah sarjana muda ini ditawarkan di empat politeknik iaitu Politeknik Ungku Omar, Perak, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.

    Maklumat berkenaan program, kaedah permohonan dan syarat kelayakan boleh dirujuk dengan melayari pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Lelaki ditemui mati di tapak pembinaan di Bangsar

    KUALA LUMPUR – Lelaki ditemui mati di tapak pembinaan di Bangsar di sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood.

    Bagaimanapun, tambah beliau, setakat ini identiti lelaki itu belum dapat disahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Memang ada jumpa mayat tetapi belum dapat dipastikan sama ada mayat berkenaan adalah lelaki British yang dilaporkan hilang baru-baru ini.

    “Siasatan masih diteruskan dan anggota bomba menjalankan kerja membawa keluar mayat berkenaan,” katanya.

    Terdahulu media melaporkan, pengembara solo warga British dikhuatiri hilang apabila gagal dikesan selepas berkunjung ke sebuah bar di Bangsar, di sini, pada 27 Mei lalu.

    Sebuah portal Daily Mail melaporkan jurutera perisian Jordan Johnson Doyle, 25, disedari hilang oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak aktif.

    BH ONLINE

  • Amir UK’s kecewa jadi mangsa tawaran haji tidak wujud

    SEPANG – Seramai 82 bakal jemaah haji termasuk penyanyi legenda tanah air, Amir UK’s, terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji di Makkah apabila didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

    Akibatnya, mereka termasuk Amir dan isterinya, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

    “Walaupun semua kos ditanggung sepenuhnya namun saya tetap berasa sedih dan kecewa kerana perancangan menunaikan ibadah haji lebur begitu saja apabila ‘tawaran’ diberikan tiada sehingga kini,” katanya.

    Amir, 56, berkata, dia dan isteri, Sarimah Ahmad, 51, mendapat tawaran itu daripada rakan sekerja isteri yang mendakwa semua kos akan ditaja sepenuhnya oleh pihak berkenaan yang didakwa sebagai hartawan yang enggan dikenali pada 9 April lalu.

    Menurutnya, semua urusan berkaitan perkara itu diuruskan oleh rakan isteri yang turut menjadi mangsa dan bukan ejen pihak berkenaan dan mereka juga dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’.

    “Kami teruja dan setuju terima tawaran sebab ia peluang sukar diperoleh. Segala maklumat kami terima melalui satu kumpulan WhatsApp itu namun pihak agensi pelancongan terkenal yang didakwa menguruskan perkara itu tiada dalam kumpulan berkenaan.

    “Kami menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan surat tawaran yang mempunyai kepala surat agensi itu diterima atas nama kami pada 27 Mei. Kami juga dijanjikan visa mujamalah.

    “Kami dijadualkan berlepas Tanah Suci pada 5 petang, Ahad lalu (1 Jun), semua urusan termasuk mengambil suntikan (vaksin) dan perkara lain yang menelan kos hampir RM4,000 dibayar sendiri.

    “Ini kerana pihak berkenaan mendakwa akan dibayar semula, malah duit belanja juga akan diberikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, di sini, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, mereka tidak menyedari pengumuman yang dibuat dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang memberitahu penerbangan mereka tiada pada Ahad lalu.

    “Ketika itu saya dan isteri sudah berada di KLIA dan selepas tahu penerbangan tiada, kami bermalam di hotel di Sepang.

    “Keesokannya kami dimaklumkan penerbangan akan berlepas pada 5 pagi, menjadikan saya yakin kami akan berlepas juga ke Tanah Suci.

    “Pada hari berkenaan, saya lihat semua jemaah berada di KLIA tetapi tiada siapa yang datang membawa visa dan pasport, sehingga rakan yang menguruskan perkara itu beritahu kami akan berlepas dari Kompleks Bunga Raya dengan pesawat sewa khas,” katanya.

    Penyanyi lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu berkata, biarpun sudah menunggu lama, sehingga hampir waktu penerbangan dijadualkan berlepas, pihak berkenaan yang membawa visa dan pasport masih belum tiba.

    Katanya, ketika itu berasa tidak sedap hati sebelum menyedari mereka mungkin menjadi mangsa penipuan biarpun rakan yang menguruskan perkara itu tetap cuba meyakinkan mereka akan berlepas ke Tanah Suci.

    “Saya percaya tawaran itu kerana mempunyai surat daripada pihak agensi pelancongan itu dan sebagai orang yang ditaja, saya percaya dengan semua urusan diuruskan pihak berkenaan sebab semua itu adalah percuma.

    “Saya juga tidak tahu mengenai agensi itu dan siapa dalangnya. Saya sudah membuat laporan polis dan selepas itu pihak terbabit memberitahu pasport kami sudah boleh diambil di sebuah rumah di Setia Alam,” katanya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran selepas ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berhubung kes berkenaan yang dibuat oleh beberapa jemaah haji yang terkandas.

    “Saya sahkan ada menerima laporan berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam media melaporkan, kira-kira 80 bakal jemaah haji yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci terpaksa membatalkan niat mereka apabila dilaporkan ditahan di KLIA.

    BH ONLINE

  • 2 individu hilang di Sibu ditemui lemas di sungai

    SIBU – Dua individu yang dilaporkan hilang di dua sungai di negeri ini, masing-masing semalam dan Isnin lalu, ditemukan lemas hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa pertama seorang lelaki dikenali Alexsen Gindi, 24.

    mayat mangsa ditemukan orang awam dan keluarga mangsa pada 9.10 pagi tadi kira-kira lima meter dari tebing Sungai Tatau berdekatan Rumah Panjang Enjan di Tatau, Bintulu.

    Beliau berkata sebelum penemuan itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 10.12 malam semalam.

    “Mangsa kedua pula merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama abang serta tiga rakan di Sungai Katibas berdekatan Rumah Panjang Robert, Nanga Bajor di Song dalam Bahagian Kapit pada 2 Jun.

    “Mayat Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain ditemukan di tebing sungai pada 10.44 pagi tadi pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah panjang berkenaan,” kata jurucakap itu.

    Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Anwar akan failkan rayuan, mohon supaya ia didengar segera

    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan sijil perakuan segera kepada Mahkamah Rayuan supaya rayuannya berhubung rujukan persoalan undang-undang yang akan difailkan petang ini juga, didengar secepat mungkin.

    Ia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

    Peguam Anwar, Datuk Seri K Raja Segaran berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Raja Segaran berkata, pihaknya juga akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu dakwaan berkaitan insiden sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

    Katanya, penangguhan prosiding perbicaraan itu bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan Anwar (defendan) tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.

    “Kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan ini. Lapan soalan yang dikemukakan bukanlah bersifat abstrak atau akademik, ia membabitkan isu Perlembagaan yang serius dan belum diputuskan.

    “Ini termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi yang bermotifkan politik dan skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan.

    “Semua perkara ini membabitkan implikasi perlembagaan yang meluas dan memerlukan penjelasan yang muktamad oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya.

    Raja Segaran berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Mahkamah Tinggi hari ini selepas prosiding keputusan berhubung rujukan persoalan undang-undang berkenaan.

    Sementara itu, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, berkata anak guamnya yang akan menjadi saksi pertama dalam kes saman itu, tidak sabar untuk memberikan keterangannya.

    BH ONLINE

  • Artis terkenal ditahan kes amang seksual remaja

    KUALA LUMPUR – Seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

    Mangsa berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata suspek kemudian membawa mangsa berjumpa di sebuah hotel.

    “Ketika dalam pertemuan itu suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa.

    “Suspek sudah ditahan, semalam bagi membantu siasatan namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dan kertas siasatan kini sedang dilengkapkan.

    BH ONLINE

  • ‘Saya akan teruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan, kompromi’ – Anwar

    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan mahupun kompromi selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan menolak permohonannya merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

    Anwar sebelum itu memohon merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

    Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.

    Menerusi entri di laman Facebooknya hari ini, Anwar berkata, proses perundangan bagi kes terbabit akan diteruskan.

    “Saya komited terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokratik.

    “Proses perundangan bakal diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan atau kompromi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.

    Sementara itu, Anwar berkata, permohonan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang, antaranya sama ada Perdana Menteri memiliki kekebalan daripada sebarang tindakan saman itu, bukan bersifat peribadi.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan antara lain turut menegaskan permohonan berkenaan juga bukan untuk mengelak daripada penelitian undang-undang.

    Sebaliknya, beliau berkata, ia difailkan berdasarkan kepentingan aspek integriti sistem Perlembagaan negara, selain keperluan memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada tindakan guaman yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.

    “Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) petang tadi, menolak permohonan saya merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

    “Perkara ini (permohonan difailkan Anwar) tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya yang juga Presiden PKR.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

    Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

    Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.

    Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei lalu.

    Sebelum ini, Muhammed Yusoff memfailkan saman pada 14 Julai 2021 dan Anwar dalam pernyataan pembelaan mendakwa Muhammed Yusoff berbohong ketika bersumpah kepada pihak berkuasa berkaitan insiden serangan seksual itu.

    Presiden PKR itu yang memfailkan tuntutan balas pada 28 September 2021, mendakwa Muhammed Yusoff mereka-reka cerita berhubung serangan seksual untuk mencemarkan kerjaya politiknya bagi memastikan beliau tidak menjadi Perdana Menteri.

    BH ONLINE

  • 80 jemaah haji terkandas di KLIA, gagal berlepas ke Tanah Suci

    PUTRAJAYA – Hasrat kira-kira 80 jemaah untuk berlepas ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji terbantut apabila mereka dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

    Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan pasukan ‘task force’ berikutan menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

    Penasihat undang-undang yang juga aktivis Mind Pro Management, Ena Ewil, berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya, jemaah berkenaan dijanjikan visa mujamalah, namun gagal mendapatkannya sebelum diberikan visa pelancong.

    Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh jemaah bahawa mereka dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci, namun disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa terbabit tidak dapat dikeluarkan.

    “Pihak agensi pelancongan yang terbabit tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Ena berkata, tindakan agensi pelancongan berkenaan menggunakan visa pelancong untuk menerbangkan jemaah ke Tanah Suci menyebabkan kumpulan itu ditahan pasukan petugas khas di KLIA.

    “Difahamkan, seramai 80 jemaah dan dua wakil syarikat ditahan untuk siasatan.

    “Berdasarkan maklumat awal, wakil syarikat turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu.

    BH ONLINE

  • Wanita maut dikelar suami

    TANGKAK – Seorang wanita maut akibat dikelar suaminya dengan menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bukit Gambir, di sini, malam tadi.

    Sejurus selepas menggelar leher isterinya, suspek berusia 30-an bergerak ke rumah keluarga mentuanya di Kampung Durian Chondong dan membakar sekurang-kurangnya empat kenderaan.

    Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas sepasukan anggota polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir kira-kira jam 7 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat,” katanya.

    Dalam pada itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan permohonan reman pagi esok.

    BH ONLINE

  • Pemandu wanita parah dipukul dengan grip pistol dan tangan, Datuk Seri ditahan

    GEORGETOWN – Seorang lelaki warga tempatan bergelar ‘Datuk Seri’ diberkas kerana disyaki mencederakan seorang pemandu wanita dengan menggunakan grip pistol, di Jalan Kelawei di sini, awal pagi kelmarin.

    Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun yang juga seorang jurujual, kelmarin.

    Katanya, kejadian sekitar jam 2.20 pagi kelmarin itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika suspek dan mangsa sedang memandu kenderaan masing-masing di sebuah lokasi.

    Dalam insiden berkenaan, beliau berkata, suspek didakwa memukul wanita itu dengan menggunakan objek menyerupai grip pistol sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada hidung dan mata.

    “Polis turut merampas sepucuk pistol, sebuah kelopak serta buku lesen memiliki senjata dan peluru.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Difahamkan dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menuju ke Tanjung Tokong bersama dua rakan sebelum kereta dipandunya terbabas lalu masuk ke lorong tengah.

    Wanita itu dikata meneruskan pemanduan sebelum menyedari keretanya diekori sebuah Mercedes Benz berwarna hitam dan menghalang kereta mangsa di hadapan stesen minyak.

    Suspek kemudian didakwa memasukkan sepucuk pistol warna keemasan berkilau ke dalam mulut mangsa.

    Lelaki itu juga didakwa memukul mangsa sebanyak dua kali di pipi kiri dengan tapak pistol.

    Dia turut didakwa memukul muka wanita terbabit berkali-kali menggunakan tangan sehingga mangsa patah hidung dan lebam mata kiri.

    Difahamkan, suspek disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

    Susulan itu, mangsa dikata mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum membuat laporan polis.

    BH ONLINE

You cannot copy content of this page