KUALA LUMPUR – Lelaki ditemui mati di tapak pembinaan di Bangsar di sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood.
Bagaimanapun, tambah beliau, setakat ini identiti lelaki itu belum dapat disahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Memang ada jumpa mayat tetapi belum dapat dipastikan sama ada mayat berkenaan adalah lelaki British yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
“Siasatan masih diteruskan dan anggota bomba menjalankan kerja membawa keluar mayat berkenaan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, pengembara solo warga British dikhuatiri hilang apabila gagal dikesan selepas berkunjung ke sebuah bar di Bangsar, di sini, pada 27 Mei lalu.
Sebuah portal Daily Mail melaporkan jurutera perisian Jordan Johnson Doyle, 25, disedari hilang oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak aktif.
BH ONLINE