Daripada Anas RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Ada tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka orang itu dapat merasai manisnya iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang lain dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dan benci untuk kembali pada kufr selepas diselamatkan oleh Allah daripadanya, sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)
HURAIAN
Manisnya iman ialah berasa manis/seronok dalam melaksanakan ketaatan, mahu/rela menanggung rasa berat dalam melaksanakan (tuntutan) agama dan lebih mementingkan (perkara) agama daripada (perkara berkaitan) harta duniawi.
Daripada Ibnu Umar RA berkata: Nabi SAW pernah berziarah ke Quba berkenderaan dan berjalan, kemudian baginda melakukan solat dua rakaat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)
Dalam satu riwayat, Nabi SAW datang ke Masjid Quba pada setiap Sabtu berkenderaan dan berjalan, dan adalah Ibnu Umar melakukannya (juga).
HURAIAN
Jarak di antara Masjid Quba dan Masjid Nabi ialah 1 farsakh iaitu 3 mil.
Hadis ini sebagai dalil sunah berziarah ke Masjid Quba kerana meneladani Rasulullah SAW.
Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata: Saya pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkan saya dan bersabda: Jangan lupa untuk mendoakan kami, wahai saudaraku!
Maka, baginda mengucapkan suatu kalimat yang seandainya dunia ini menjadi milikku sebagai ganti kalimat itu tidaklah dapat membahagiakanku.
Dalam riwayat lain disebutkan, Nabi SAW bersabda: Sertakan kami dalam doamu, wahai saudaraku! (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud & Tirmidzi. Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih / Didaifkan oleh Al-Albani dalam kitab Adh-Dhaifah, 6278; dan kitab Dhaif Abu Dawud, 322)
Daripada Usair bin Amru, dan dikatakan Ibn Jabir, dan dia berkata: Umar bin al-Khattab ketika didatangi pasukan daripada penduduk Yaman, maka dia bertanya kepada mereka: Apakah antara kamu ada seorang yang bernama Uwais bin Amir?
Sehingga akhirnya, Umar sampai di hadapan Uwais, lalu Umar bertanya kepadanya: Apakah kamu Uwais bin Amir?
Uwais menjawab: Ya.
Dia bertanya lagi: Benarkan kamu dari keturunan kabilah Murad, kemudian dari lingkungan suku Qaran?
Dia menjawab: Ya.
Umar bertanya lagi: Apakah dulu kamu pernah menderita penyakit kusta, kemudian kamu sembuh dari penyakit itu, kecuali hanya satu tempat sebesar dirham?
Dia menjawab: Ya.
Umar melanjutkan pertanyaannya: Apakah kamu masih mempunyai ibu?
Dia menjawab: Ya.
Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman, dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh daripada penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu. Oleh kerana itu, mohonkanlah pengampunan kepada Allah untukku.
Lantas Uwais pun memohonkan pengampunan untuk Umar.
Selanjutnya, Umar bertanya lagi: Ke manakah kamu hendak pergi?
Dia menjawab: Ke Kufah.
Umar berkata: Sudilah kiranya jika saya menuliskan sesuatu untuk memenuhi kepentinganmu kepada gabenor Kufah!
Dia menjawab: Saya lebih senang menjadi golongan manusia fakir miskin.
Setelah tiba tahun berikutnya, ada seorang daripada golongan bangsawan Kufah melaksanakan ibadat haji, lalu kebetulan dia bertemu Umar. Kemudian Umar menanyakan padanya mengenai Uwais.
Orang itu menjawab: Sewaktu saya tinggalkan, dia dalam keadaan buruk rumahnya dan sedikit harta bendanya.
Lantas Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman. Dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh dari penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti padanya. Seandainya dia bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu.
Orang bangsawan itu pun mendatangi Uwais dan berkata: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!
Uwais berkata: Justeru, anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku.
Orang bangsawan itu berkata lagi: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!
Uwais menjawab: Justeru anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku!
Uwais melanjutkan katanya: Apakah anda bertemu dengan Umar?
Dia menjawab: Ya.
Lalu Uwais pun memohonkan pengampunan untuknya.
Akhirnya orang-orang mengerti siapa sebenarnya Uwais. Selanjutnya Uwais pergi dari Kufah menuruti kehendaknya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)
Dalam riwayat Muslim yang lainnya disebutkan, Usair bin Jabir meriwayatkan bahawa para penduduk Kufah menemui Umar RA dan antara mereka ada seorang lelaki yang menghina-hinakan Uwais.
Lantas Umar bertanya: Apakah antara kamu ada seorang lelaki keturunan Qaran?
Orang yang dimaksudkan itu pun datang padanya.
Kemudian Umar berkata: Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya ada seorang lelaki dari Yaman akan datang pada kamu. Dia bernama Uwais. Dia tidak meninggalkan sesuatu di Yaman melainkan seorang ibu. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia berdoa kepada Allah, lalu Allah melenyapkan penyakitnya tadi, kecuali di suatu tempat sebesar dinar atau dirham. Maka, sesiapa antara kamu bertemu dengannya, maka hendaklah meminta padanya agar dia memohonkan pengampunan kepada Allah untuk kamu.
Juga disebutkan dalam riwayat Muslim lagi, daripada Umar yang berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik at-tabi’in ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia mempunyai seorang ibu, dan pada tubuhnya ada bekas putih-putih, maka mintalah kepadanya agar dia memohonkan pengampunan untuk kamu.
HURAIAN
Memohon doa daripada orang soleh, meskipun yang memohon adalah orang yang lebih utama.
Mukjizat Nabi SAW kerana di dalamnya terdapat informasi yang belum terjadi. Baginda menuturkan Uwais lengkap dengan namanya, sifat-sifatnya, ciri-cirinya, bertemunya dengan Umar, apa yang dilakukan oleh Umar dalam menyampaikan syariat dan menyebarluaskan sunah, pengakuan keutamaan terhadapnya dan pujian terhadap orang yang tidak khuatir kepadanya hal itu sungguh menakjubkan.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seseorang bersama siapa dicintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)
Dalam satu riwayat lagi: Abu Musa berkata: Dikatakan kepada Nabi SAW: Seorang lelaki menyukai suatu kaum, tetapi dia tidak pernah menemui mereka? Baginda bersabda: Seseorang bersama siapa dicintai.
HURAIAN
Hadis ini antara lain mengandungi pengertian seseorang bersama orang dicintai, walaupun tidak pernah menemuinya dan mengingatkan kita agar jangan salah menyukai atau mencintai, sebaliknya menyukai orang baik-baik.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki sesuai dengan agama temannya. Maka, lihatlah kamu siapa temannya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dengan sanad sahih; dan kata Tirmidzi hadis hasan)
HURAIAN
Hadis ini mengandungi peringatan agar seseorang memilih teman atau sahabat yang baik-baik. Jangan sampai tersalah pilih untuk dijadikan sahabat. Sebutan agama itu harus difahami dalam konteks yang luas, termasuk akhlak, peribadi dan pembawaan diri.
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang wanita dinikahi kerana empat (perkara): Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka, usahakanlah untuk mendapat yang mempunyai agamanya, tentu kedua-dua tanganmu berasa puas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim)
HURAIAN
Manusia biasanya mengahwini perempuan kerana empat perkara berkenaan. Namun diingatkan agar memilih kerana faktor agama. Sebab keelokan agama malah kefahaman jitu mengenainya, membuatkan rumah tangga aman sentosa. Kecantikan sebagai contoh tidak berkekalan malahan boleh menimbulkan fitnah, manakala harta selalunya membawa kepada hiruk-pikuk kehidupan, berlaku perebutan dan sebagainya yang boleh kita sifatkan malapetaka (jika tidak ditangani dengan baik). Kerana keturunan semata-mata pula kadang-kadang membuatkanmu berasa lebih mulia, berasa lebih bagus daripada orang lain, dan ini suatu sikap tidak bagus.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Bahawa perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah bagaikan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi adakalanya memberikan minyaknya kepadamu atau kamu dapat membelinya ataupun setidak-tidaknya kamu mendapati baunya yang harum. Sedangkan tukang besi, maka adakalanya akan membakar pakaianmu atau setidak-tidaknya kamu akan mendapati bau yang tidak enak daripadanya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan al-Bukhari, Muslim & Ahmad)
HURAIAN
Hadis ini mengandungi anjuran agar berteman/bergaul dengan orang baik, dan mengingatkan pergaulan dengan orang yang tidak baik.
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa ada seorang lelaki mengunjungi saudaranya di satu kampung lain, kemudian Allah Taala memerintahkan malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan.
Ketika orang terbabit melalui jalan itu, malaikat berkata kepadanya: Kamu hendak ke mana?
Dia menjawab: Saya hendak ke tempat saudara saya di kampung ini.
Malaikat bertanya lagi: Apakah ada suatu kenikmatan yang hendak kamu peroleh daripada saudaramu itu?
Dia menjawab: Tidak, hanya saya mencintainya (atau mengasihinya) kerana Allah Taala.
Lalu, malaikat berkata: Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menemuimu, bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)
HURAIAN
Antara pelajaran yang dapat diperhatikan dalam hadis ini ialah berkunjung kerana Allah dan mencintai/mengasihi saudara atau saudari (bagi perempuan) kerana Allah. Ganjarannya, Allah mencintai pula orang terbabit.
Malahan dalam setiap perkara/urusan, kita dituntut melakukannya kerana Allah.
Daripada Anas RA berkata: Abu Bakar berkata kepada Umar selepas kewafatan Rasulullah SAW, marilah kita berangkat bersama ke tempat Ummu Aiman RAnha, berziarah kepadanya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah menziarahinya.
Manakala kedua-duanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu kedua-duanya bertanya: Apakah yang membuatmu menangis? Tidakkah kamu mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik untuk Rasulullah SAW?
Maka, Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya saya bukanlah menangis, bukanlah kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah Taala lebih baik untuk Rasulullah SAW, tetapi saya menangis kerana bahawa wahyu telah terputus dari langit. Pernyataan Ummu Aiman ini menggerakkan hati Abu Bakar dan Umar untuk menangis, lalu kedua-duanya pun menangis bersama Ummu Aiman. (Diriwayatkan oleh Muslim)
HURAIAN
Ummu Aiman ialah hamba Rasulullah SAW yang dinikahi oleh Zaid bin Haritsah. Nama asalnya ialah Barakah. Dia adalah ibu kepada Usamah bin Zaid. Rasulullah menghormatinya. Di sisi Ummu Aiman, baginda bagaikan puteranya sendiri.
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya fillah (pada jalan Allah, atau kerana Allah), maka berseru penyeru: Kamu telah melakukan kebaikan dan baik pula perjalananmu, serta kamu dapat menduduki tempat di syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan. Dan dalam sebahagian kitab disebutkan hadis ini gharib)
HURAIAN
Hadis ini mengandungi ganjaran Allah terhadap orang yang mengunjungi saudaranya kerana Allah.