Kata al-abrar mempunyai erti “benar-benar berbakti”.
Firman-Nya diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh nikmat.” Dan lawannya ialah “al-fujjar” iaitu “orang-orang derhaka” yang tempatnya di neraka jahim. (Lihat surah al-Infithar [82]: 13-14)
Antara wujud al-abrar adalah mereka yang tidak meminta ucapan terima kasih, lantaran pemberiannya hendak mendapatkan reda Allah. “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanya untuk mengharapkan reda Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Lihat surah al-Insan [76]: 8-9)
Dunia seperti cahaya petir yang menyinari di ufuk harapan
Sayidina Ali bin Abi Talib adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mulia. Beliau adalah sepupu Nabi Muhammad SAW. Beliau juga adalah menantu baginda SAW (melalui perkahwinan Ali dengan puteri baginda SAW, Fatimah az-Zahra).
Sayidina Ali terkenal dengan kata-katanya yang berhikmah. Banyak ungkapan beliau sebagaimana kita dapati pada catatan buku-buku; yang menggugah jiwa, mengajak kepada keimanan, keyakinan dan keteguhan hati kepada yang abadi.
Beliau juga adalah seorang penggemar puisi Arab. Berikut adalah antara beberapa rangkap puisi yang digubah oleh beliau:
Dunia akan musnah, ia tidak akan berkekalan selama-lamanya Ia seperti jaring labah-labah Oh, kamu yang mengharapkan kepadanya Ingatlah, sudah mencukupi baginya memeliharamu
Sesetengah orang mati Tetapi kerjanya yang mulia tidak akan musnah Sesetengah orang lain hidup Tetapi tidak menjadi perhatian seperti orang yang telah mati
Dunia ini seperti bayang-bayang yang bergerak Seorang tetamu untuk semalam Suatu mimpi bagi seorang yang tidur Dan seperti cahaya petir yang menyinari di ufuk harapan
Perkataan as-samaa’ mempunyai beberapa makna, antara lain:
Angkasa luas yang dihiasi matahari, bulan dan bintang.
As-samaa’ bererti awan; dan setiap yang berada di atas manusia serta memberikan naungan kepadanya, disebut samaa’.
As-samaa’ pada ayat 11, surah Nuh dimaksudkan dengan makna hujan. (Ensiklopedia Makna Al-Quran, 327)
Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman memberikan maksud pada ayat 11, surah Nuh: (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.
Surah ataupun surat atau dalam ejaan penuh “suuratun”
Menurut bahasa ialah tempat yang tinggi (al-manzilatus saamiyah).
An-Nabighah mengatakan:
الم تر أن الله أعطاك سورةٌ
ترى كل مَلَكٍ دُونِها يَتَذَبْذَبُ
Tidakkah anda lihat bahawa Allah telah memberikan kepada anda tempat yang tinggi, anda lihat setiap penguasa tanpanya menjadi ragu.
Adapun menurut istilah syarak ialah kumpulan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai permulaan dan akhir. Seperti surah al-Kautsar. Dikatakan surat (atau surah) kerana mulia, agung dan tingginya ayat-ayat al-Quran, sebagaimana as-suuru yakni untuk sesuatu yang tinggi dari suatu bangunan (tembok). (As-Sobuni, Tafsir Ahkam, Jilid 2, Halaman 7)
Firman Allah yang diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.” (108: 3)
Perkataan ini hanya dimuatkan satu kali (dalam al-Quran).
Imam As-Sobuni menjelaskan bahawa al-abtar ialah terputus daripada setiap kebaikan (al-munqathi’u ‘an kulli khairi). Terambil daripada al-bitr yakni putus (al-qath’u). Dikatakan “batartu asy-syaia bitran” ( بترت الشيء بترا ): Aku telah memutuskannya. Dan as-saifu ( السيف ) disebut al-baatiru kerana ia sebagai alat pemotong. Dan begitu pula dikatakan terhadap seseorang yang tidak memiliki keturunan sebagai abtar, kerana ia memutus nasabnya (keturunannya). Begitu pula untuk khutbah yang melebihi batas disebutkan dengan خُطبَةُ البِتْرَى kerana di waktu berkhutbah ia tidak memuji nama Allah dan tidak berselawat kepada Nabinya yang mulia.
Al-Abtar, “terputus”. Kemudian kata ini dipergunakan untuk seseorang yang tidak ada kenangan yang berlanjutan atau sebutan baik peribadinya. Ertinya bagi sesiapa saja yang memusuhi kebenaran yang dibawa oleh para rasul-Nya serta orang-orang yang mengikutinya, maka para penentang selalu dalam celaan orang-orang beriman. Firaun yang menentang Musa, beserta Samiriy yang membuat syariat palsu. Begitu juga Abu Lahab dan teman-temannya yang menentang Muhammad SAW, sebagai contoh.
Muttaqin adalah perkataan Arab, bererti orang bertakwa atau orang yang memelihara diri dengan menjalankan semua perintah Allah dan menjauhi semua larangan-Nya. Hal itu dinamakan sebagai takwa (atau dieja juga taqwa).
Dilaporkan, ada ulama merumuskan takwa itu sebagai: Manusia takut (untuk melakukan) hal yang dimurkai Allah dan takut kepada hal yang merosakkan kepada dirinya sendiri dan merosakkan orang lain.
Dengan demikian, yang terkandung dalam pengertian takwa ialah:
1. Menjauhkan diri daripada perbuatan dimurkai Allah.
2. Menghindari perbuatan yang merugikan (memudaratkan) diri.
3. Menjauhi perbuatan yang merosakkan atau merugikan orang lain.
Orang bertakwa adalah orang mulia.
Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)