Amir UK’s kecewa jadi mangsa tawaran haji tidak wujud

SEPANG – Seramai 82 bakal jemaah haji termasuk penyanyi legenda tanah air, Amir UK’s, terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji di Makkah apabila didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Akibatnya, mereka termasuk Amir dan isterinya, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

“Walaupun semua kos ditanggung sepenuhnya namun saya tetap berasa sedih dan kecewa kerana perancangan menunaikan ibadah haji lebur begitu saja apabila ‘tawaran’ diberikan tiada sehingga kini,” katanya.

Amir, 56, berkata, dia dan isteri, Sarimah Ahmad, 51, mendapat tawaran itu daripada rakan sekerja isteri yang mendakwa semua kos akan ditaja sepenuhnya oleh pihak berkenaan yang didakwa sebagai hartawan yang enggan dikenali pada 9 April lalu.

Menurutnya, semua urusan berkaitan perkara itu diuruskan oleh rakan isteri yang turut menjadi mangsa dan bukan ejen pihak berkenaan dan mereka juga dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’.

“Kami teruja dan setuju terima tawaran sebab ia peluang sukar diperoleh. Segala maklumat kami terima melalui satu kumpulan WhatsApp itu namun pihak agensi pelancongan terkenal yang didakwa menguruskan perkara itu tiada dalam kumpulan berkenaan.

“Kami menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan surat tawaran yang mempunyai kepala surat agensi itu diterima atas nama kami pada 27 Mei. Kami juga dijanjikan visa mujamalah.

“Kami dijadualkan berlepas Tanah Suci pada 5 petang, Ahad lalu (1 Jun), semua urusan termasuk mengambil suntikan (vaksin) dan perkara lain yang menelan kos hampir RM4,000 dibayar sendiri.

“Ini kerana pihak berkenaan mendakwa akan dibayar semula, malah duit belanja juga akan diberikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak menyedari pengumuman yang dibuat dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang memberitahu penerbangan mereka tiada pada Ahad lalu.

“Ketika itu saya dan isteri sudah berada di KLIA dan selepas tahu penerbangan tiada, kami bermalam di hotel di Sepang.

“Keesokannya kami dimaklumkan penerbangan akan berlepas pada 5 pagi, menjadikan saya yakin kami akan berlepas juga ke Tanah Suci.

“Pada hari berkenaan, saya lihat semua jemaah berada di KLIA tetapi tiada siapa yang datang membawa visa dan pasport, sehingga rakan yang menguruskan perkara itu beritahu kami akan berlepas dari Kompleks Bunga Raya dengan pesawat sewa khas,” katanya.

Penyanyi lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu berkata, biarpun sudah menunggu lama, sehingga hampir waktu penerbangan dijadualkan berlepas, pihak berkenaan yang membawa visa dan pasport masih belum tiba.

Katanya, ketika itu berasa tidak sedap hati sebelum menyedari mereka mungkin menjadi mangsa penipuan biarpun rakan yang menguruskan perkara itu tetap cuba meyakinkan mereka akan berlepas ke Tanah Suci.

“Saya percaya tawaran itu kerana mempunyai surat daripada pihak agensi pelancongan itu dan sebagai orang yang ditaja, saya percaya dengan semua urusan diuruskan pihak berkenaan sebab semua itu adalah percuma.

“Saya juga tidak tahu mengenai agensi itu dan siapa dalangnya. Saya sudah membuat laporan polis dan selepas itu pihak terbabit memberitahu pasport kami sudah boleh diambil di sebuah rumah di Setia Alam,” katanya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berhubung kes berkenaan yang dibuat oleh beberapa jemaah haji yang terkandas.

“Saya sahkan ada menerima laporan berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam media melaporkan, kira-kira 80 bakal jemaah haji yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci terpaksa membatalkan niat mereka apabila dilaporkan ditahan di KLIA.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page