80 jemaah haji terkandas di KLIA, gagal berlepas ke Tanah Suci

PUTRAJAYA – Hasrat kira-kira 80 jemaah untuk berlepas ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji terbantut apabila mereka dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan pasukan ‘task force’ berikutan menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Penasihat undang-undang yang juga aktivis Mind Pro Management, Ena Ewil, berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya, jemaah berkenaan dijanjikan visa mujamalah, namun gagal mendapatkannya sebelum diberikan visa pelancong.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh jemaah bahawa mereka dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci, namun disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa terbabit tidak dapat dikeluarkan.

“Pihak agensi pelancongan yang terbabit tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ena berkata, tindakan agensi pelancongan berkenaan menggunakan visa pelancong untuk menerbangkan jemaah ke Tanah Suci menyebabkan kumpulan itu ditahan pasukan petugas khas di KLIA.

“Difahamkan, seramai 80 jemaah dan dua wakil syarikat ditahan untuk siasatan.

“Berdasarkan maklumat awal, wakil syarikat turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page