GEORGETOWN – Seorang lelaki warga tempatan bergelar ‘Datuk Seri’ diberkas kerana disyaki mencederakan seorang pemandu wanita dengan menggunakan grip pistol, di Jalan Kelawei di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun yang juga seorang jurujual, kelmarin.
Katanya, kejadian sekitar jam 2.20 pagi kelmarin itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika suspek dan mangsa sedang memandu kenderaan masing-masing di sebuah lokasi.
Dalam insiden berkenaan, beliau berkata, suspek didakwa memukul wanita itu dengan menggunakan objek menyerupai grip pistol sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada hidung dan mata.
“Polis turut merampas sepucuk pistol, sebuah kelopak serta buku lesen memiliki senjata dan peluru.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menuju ke Tanjung Tokong bersama dua rakan sebelum kereta dipandunya terbabas lalu masuk ke lorong tengah.
Wanita itu dikata meneruskan pemanduan sebelum menyedari keretanya diekori sebuah Mercedes Benz berwarna hitam dan menghalang kereta mangsa di hadapan stesen minyak.
Suspek kemudian didakwa memasukkan sepucuk pistol warna keemasan berkilau ke dalam mulut mangsa.
Lelaki itu juga didakwa memukul mangsa sebanyak dua kali di pipi kiri dengan tapak pistol.
Dia turut didakwa memukul muka wanita terbabit berkali-kali menggunakan tangan sehingga mangsa patah hidung dan lebam mata kiri.
Difahamkan, suspek disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Susulan itu, mangsa dikata mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum membuat laporan polis.
BH ONLINE