KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan sijil perakuan segera kepada Mahkamah Rayuan supaya rayuannya berhubung rujukan persoalan undang-undang yang akan difailkan petang ini juga, didengar secepat mungkin.
Ia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Peguam Anwar, Datuk Seri K Raja Segaran berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Raja Segaran berkata, pihaknya juga akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu dakwaan berkaitan insiden sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.
Katanya, penangguhan prosiding perbicaraan itu bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan Anwar (defendan) tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.
“Kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan ini. Lapan soalan yang dikemukakan bukanlah bersifat abstrak atau akademik, ia membabitkan isu Perlembagaan yang serius dan belum diputuskan.
“Ini termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi yang bermotifkan politik dan skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Semua perkara ini membabitkan implikasi perlembagaan yang meluas dan memerlukan penjelasan yang muktamad oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya.
Raja Segaran berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Mahkamah Tinggi hari ini selepas prosiding keputusan berhubung rujukan persoalan undang-undang berkenaan.
Sementara itu, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, berkata anak guamnya yang akan menjadi saksi pertama dalam kes saman itu, tidak sabar untuk memberikan keterangannya.
BH ONLINE