1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).
2. Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah orang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).
KETERANGAN:
Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 3 ayat.
Dinamakan surah al-Kautsar (Kebaikan Yang Banyak) kerana pada awal surah ini Allah menegaskan bahawa Dia telah mengurniakan Nabi Muhammad dengan kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).
Antaranya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ialah Kolam al-Kautsar yang airnya dari sebatang sungai di syurga dan tidak terhingga lazatnya.
Pada hari akhirat, baginda sendiri menunggu umatnya yang taat, datang minum daripada airnya.
Intisari kandungan: Menerangkan nikmat Allah yang banyak yang telah dilimpahkan-Nya kepada baginda, lalu diperintahkan-Nya mengerjakan solat kerana Allah semata-mata dan hendaklah dia menyembelih korban sebagai bersyukur.
Korban di sini, sebagaimana yang telah diterangkan tidak terhad kepada menyembelih haiwan korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan untuk kebaikan masyarakat, seperti memberi tunjuk ajar kepada orang ramai dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka, dan bermurah hati mendermakan harta benda untuk kebajikan umum.
Surah ini diakhiri dengan menegaskan: Bahawa orang yang memusuhi dan membenci Nabi Muhammad, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman