Apakah hukum berkhitan, sunat atau wajib?

Ada beberapa pendapat dan perselisihan ulama padanya. Antara pendapat itu ialah:

  1. Berkhitan sunat sahaja, sama ada bagi lelaki ataupun perempuan.
  2. Berkhitan wajib bagi lelaki dan perempuan.

Pecahan pendapat

  1. Hanafi berpendapat berkhitan sunat sahaja, sama ada bagi lelaki ataupun perempuan.
  2. Maliki berpendapat berkhitan sunat sahaja, sama ada bagi lelaki atau perempuan.
  3. Syafie berpendapat berkhitan wajib, bukannya sunat, sama ada bagi lelaki atau perempuan.
  4. Hanbali berpendapat berkhitan wajib, bukannya sunat, sama ada bagi lelaki ataupun perempuan.

Punca perselisihan ialah dikembalikan kepada maksud ayat dan hadis.

Pertama: Ayat yang bermaksud: Kemudian Kami wahikan kepadamu (wahai Muhammad) hendaklah engkau menurut agama Ibrahim. (Surah an-Nahl, ayat 123)

Adakah ayat ini tidak menyatakan dan tidak menghendaki wajibnya berkhitan atau tidak?

Ini ada dua pendapat:

  1. Ayat tersebut tiada menyatakan dengan terang wajibnya berkhitan. (Ini dalil menyatakan berkhitan sunat sahaja)
  2. Ayat tersebut menghendaki juga wajibnya berkhitan. (Ini dalil menyatakan berkhitan wajib, bukannya sunat)

Kedua: Hadis daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SA bahawa baginda bersabda: Fitrah (atau sunah daripada sunah nabi-nabi) ialah khitan, mencukur bulu ari-ari, gunting misai, kerat kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Riwayat Muslim)

Adakah hadis ini maksudnya menghendaki berkhitan. Itu satu perkara wajib ataupun sunat sahaja?

Ini ada dua pendapat:

Pertama, hadis itu maksudnya menghendaki berkhitan sebagai perkara sunat sahaja, tidak sebagai perkara wajib.

— Ini dalil menyatakan berkhitan sunat, tidak wajib.

Kedua, hadis itu maksudnya menghendaki berkhitan sebagai perkara wajib, tidak sebagai perkara sunat.

— Ini dalil menyatakan berkhitan wajib, tidak sunat.

Huraian

Sesiapa berpendapat dengan pendapat pertama pada ayat dan hadis, maka dia mengatakan berkhitan sunat saja, tidak wajib, kerana pada itu tidak disebut dan tidak dinyatakan dengan terang wajibnya berkhitan kerana tidak diketahui adakah Nabi Ibrahim melakukan perkara berkhitan itu sebagai perkara wajib atau sebagai perkara sunat sahaja. Begitulah juga hadis tersebut tidak menyatakan dengan tegasnya wajib berkhitan, dari sebab kenyataan berkhitan dalam hadis itu disebut bersama-sama perkara yang bukan wajib, umpama mencukur bulu ari-ari, dan sebagainya — dari sini nyatalah bahawa perkara berkhitan itu sunat sahaja, tidak wajib.

Sesiapa berpendapat dengan pendapat kedua pada ayat dan hadis, maka dia mengatakan berkhitan wajib, bukannya sunat. Oleh kerana ayat tersebut meskipun tidak menyebut perkara berkhitan tetapi ayat itu ada menyatakan wajibnya mengikut agama atau sunah Nabi Ibrahim pada apa yang dia lakukan, maka antara agama atau sunah Nabi Ibrahim ialah berkhitan. Dan pada hadis pula memang disebut perkara berkhitan dengan jelasnya meskipun disebutnya bersama-sama perkara-perkara sunat sahaja, tetapi itu tidaklah menghalangkan wajibnya berkhitan.

Alasan

Alasan bagi mereka yang berpendapat bahawa berkhitan sunat sahaja, tidak wajib.

  1. Pendapat pertama pada ayat dan hadis, kerana ayat itu tidaklah menyatakan benar-benar wajibnya berkhitan, kerana bagi umat Nabi Muhammad disuruh mengikut agama Ibrahim, tetapi apa yang dikerjakan oleh Nabi Ibrahim dengan dianggap sesuatu perkara itu wajib, maka kita juga sebagai umat Nabi Muhammad hendaklah mengerjakannya sebagai perkara wajib, sebaliknya jika beliau mengerjakan perkara itu sebagai perkara sunat sahaja, maka hendaklah kita mengerjakannya dan menganggapnya sebagai perkara sunat sahaja.

Pada masalah berkhitan ini tidaklah diketahui sama ada beliau mengerjakannya sebagai perkara wajib atau sebagai perkara sunat, jadi untuk kesimpulan biarlah kita katakan perkara itu sunat sahaja, kerana kita tidak mengetahui apakah perkara berkhitan yang dilakukan oleh Ibrahim sebagai perkara sunat ataupun wajib.

  1. Berkenaan hadis itu yang menjelaskan bahawa berkhitan adalah antara sunah atau agama itu tidaklah dapat dipegang sebagai satu dalil bagi wajibnya berkhitan kerana tidak ada penjelasan khusus yang dapat dipertanggungjawabkan untuk mengatakan perkara itu wajib, istimewa pula di sana ada dinyatakan bersama-sama masalah berkhitan. Ini perkara-perkara yang lain yang tidak wajib umpama mencabut bulu ketiak, mengerat kuku dan seterusnya. Oleh itu nyatalah bahawa berkhitan hukumnya tidak wajib.

Alasan bagi mereka berpendapat berkhitan wajib, bukannya sunat

Ayat itu jelas menyatakan wajibnya mengikut sunah Ibrahim pada apa yang beliau kerjakan umpama berkhitan, dikecualikan jika ada dalil yang benar-benar dapat dipertanggungjawabkan yang menyatakan bahawa perkara yang dikerjakannya itu sebagai perkara sunat saja, maka barulah boleh dikatakan perkara itu sunat bagi kita umat Muhammad SAW melakukannya — sebagaimana bersugi dan perkara lain yang sah dan nyata sunat hukumnya, maka barulah dapat dan boleh dikatakan perkara itu sunat. Jadi, oleh kerana masalah berkhitan tidak ada kenyataan yang menjelaskan mengenai sunat hukumnya, maka tetaplah ia menjadi suatu perkara wajib.

Kedua, hadis — sungguhpun hadis itu ada menyebutkan berkhitan bersama-sama perkara yang tidak wajib seperti mencabut bulu ketiak, ini tidak dapat dikatakan berkhitan itu sunat sahaja dan tidak menghalangnya daripada wajib. Oleh sebab umpama dua perkara yang berlainan hukumnya ada terdapat pada satu-satu ayat atau satu-satu jumlah, salah satunya sunat dan salah satu yang lain pula wajib hukumnya, umpama firman Tuhan bermaksud: “Makanlah kamu daripada buahnya apabila ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakat).” (Lihat surah al-An’am, 141)

Ruj: Kitab Taharah, Arifin Awang, MA Usuluddin Univ al-Azhar & Tafsir Pimpinan ar-Rahman

Baharu

Kisah Sahabat: Salman Al-Farisi, Dari Parsi Ke Madinah

You cannot copy content of this page