
Bolehkah matahari dan api memberi kesan pada benda yang najis bagi tujuan mencucinya atau tidak, sebagaimana air yang dapat memberi kesan dalam masalah penyucian?
Ada beberapa pendapat dan perselisihan ulama padanya, antaranya:
- Matahari dan api dapat memberi kesan (boleh digunakan) pada mencuci benda yang najis.
- Matahari dan api tidak boleh memberi kesan (tidak boleh digunakan) pada mencuci benda yang najis.
PECAHAN PENDAPAT
- Hanafi berpendapat matahari dan api boleh memberi kesan pada mencuci benda yang najis. (Jika kulit bangkai dikeringkan dengan kuasa panas matahari, maka sucilah ia, begitu juga tanah yang terkena najis jika dikeringkan dengannya, sucilah tempatnya dan haruslah bersolat di atasnya. Tetapi tidak harus bertayamum dengannya pula.)
- Malik berpendapat matahari dan api boleh memberi kesan pada mencuci benda yang najis.
- Syafie berpendapat matahari dan api tidak boleh memberi kesan pada mencuci benda yang najis.
- Hanbali berpendapat matahari dan api tidak boleh memberi kesan pada mencuci benda yang najis.
PUNCA PERSELISIHAN
Punca perselisihan dikembalikan kepada pendapat masing-masing sahaja.
Pendapat: Bagi membahaskan masalah pendapat, maka ada pertanyaan:
Adakah yang dimaksudkan dengan menghilangkan najis dengan perkara yang selain dari air itu (selain daripada kubul dan dubur) hanya menghancur atau membinasakan ain (zat) najis sahaja, ataupun kerana ada pada air itu sesuatu kelebihan atau keistimewaan yang lain yang tidak didapati pada perkara selain daripadanya umpama kuasa panas matahari atau api?
Pertanyaan ini dijawab dengan dua pendapat seperti di bawah:
Pertama: Maksud menghilangkan najis dengan perkara selain daripada air itu ialah untuk menghancurkan atau membinasakan ain najis sahaja, oleh itu samalah air dengan benda yang lain daripadanya bagi tujuan tersebut.
Pendapat ini menjadi dalil bagi menyatakan bahawa menghilangkan najis dengan kuasa panas matahari atau api boleh memberi kesan (boleh digunakan).
Kedua: Terkhusus pada air kerana ianya mempunyai kelebihan atau keistimewaan yang tidak boleh didapati pada benda lain seperti kuasa panas matahari atau api, malahan keistimewaan itu bukanlah setakat menghancur atau membinasakan sahaja.
Pendapat ini menjadi dalil bahawa kuasa matahari dan api tidak boleh memberi kesan bagi mencuci najis (tidak boleh digunakan).
HURAIAN PUNCA PERSELISIHAN
Sesiapa yang berpendapat dengan pendapat pertama, maka ia mengatakan bahawa kuasa panas matahari dan api itu boleh memberi kesan bagi mencuci benda yang najis.
Sesiapa berpendapat dengan pendapat kedua, maka ia mengatakan kuasa panas matahari dan api tidak boleh memberi kesan bagi tujuan mencuci benda yang najis.
Alasan bagi mereka yang berpendapat kuasa panas matahari dan api boleh memberi kesan bagi mencuci benda yang najis:
Kerana tujuan bagi mencuci najis ialah menghilangkan kekotoran menurut pandangan, oleh itu samalah tidak ada perbezaan antara air dan benda lain daripada air, umpama kuasa panas matahari atau api. Buktinya Ummu Salamah ada berkata: Saya adalah seorang yang melabuhkan kain saya dan saya berjalan di tempat yang kotor. Maka, Ummu Salamah berkata, Rasulullah SAW bersabda: Menyucikannya apa selepasnya (atau boleh difahami seperti berikut: Tanah yang dilalui kemudian daripadanya boleh menyucikannya.) Riwayat Abu Dawud
Sebagaimana sabdanya juga: Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda (sebagaimana dapat difahami): Apabila seseorang daripada kamu telah memijak kekotoran dengan kedua-dua capalnya, maka tanah itu dengan sendirinya boleh menyucikan kekotoran itu. – Riwayat Abu Dawud.
Ruj/sumber: Kitab Taharah, Arifin Awang, MA Usuluddin Univ Al-Azhar