AMPANG – Seorang pelajar tahfiz diperintah bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kakitangan sebuah pusat pengajian tahfiz di Hulu Langat, tahun lalu.
Majistret Normaizan Rahim memerintahkan demikian terhadap tertuduh berusia 17 tahun (ketika kejadian) yang juga pelajar di institusi sama selepas meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain bon berkelakuan baik, mahkamah turut memerintahkan remaja itu menjalani Bengkel Interaktif anjuran JKM ditemani ibu bapa dan perlu memastikannya tidak lagi melakukan kesalahan sama sepanjang tempoh bon.
Pesalah juvana itu tidak lagi melakukan kesalahan sepanjang tempoh dua tahun, selain mengenakan wang cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin bagi tempoh sama.
Peguam A Rahman Mohd Nasir yang mewakili remaja itu ketika ditemui selepas prosiding, berkata antara rayuan pihaknya semasa prosiding ialah anak guamnya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
“Anak guam juga menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di kolej swasta dan dijangka memulakan pengajian pada Julai ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani ketika ditemui selepas prosiding berkata, pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira faktor kepentingan awam dan mangsa yang kini mengalami trauma selepas kejadian itu.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan tiga perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun lapan bulan (ketika kejadian) dengan maksud seksual.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah asrama pusat tahfiz di Hulu Langat jam 2.30 petang, pertengahan April tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di asrama sebuah pusat pengajian swasta jam 2.30 petang pada pertengahan April tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja berusia 18 tahun yang disyaki melakukan serangan seksual di sebuah pusat pengajian tahfiz di sini ditahan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa.
Menurutnya, kejadian itu didakwa berlaku pada April tahun lalu apabila mangsa melakukan perbuatan lain yang tidak senonoh terhadap mangsa.
BH ONLINE