PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Public Bank Bhd (Public Bank) membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain berhubung kes saman membabitkan dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim secara sebulat suara memerintahkan bank itu membayar RM30 juta masing-masing bagi ganti rugi saksama, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais, turut memberikan faedah dua peratus dibayar ke atas jumlah ganti rugi bermula hari ini sehingga keseluruhan ganti rugi diselesaikan.
Panel membuat keputusan itu dalam prosiding taksiran ganti rugi hari ini, yang turut dihadiri peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili NFCorp dan peguam Chan Kok Keong, Poh Choo Hoe, dan Tiang Min Hin mewakili pihak bank.
Pada 26 Mei lalu, mahkamah tertinggi negara itu menolak rayuan Public Bank terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan saman dikemukakan NFCorp dan empat yang lain berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka.
Selain NFCorp, empat yang lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd.
Panel dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan bank itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2023, selain membenarkan rayuan NFCorp berhubung ganti rugi nominal.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan NFCorp dan empat yang lain hanya layak mendapat ganti rugi nominal selepas berjaya membuktikan liabiliti tetapi gagal membuktikan ganti rugi.
Panel yang membenarkan rayuan balas NFC, bagi menuntut ganti rugi teladan dan teruk dalam tuntutannya terhadap bank, dan menetapkan jumlah ganti rugi diputuskan hari ini.
Ketika membacakan keputusan hari ini, Hasnah berkata, kelima-lima perayu dalam rayuan balas memohon ganti rugi am RM60 juta dan RM250 juta masin-masing bagi ganti rugi teruk dan teladan, dan mahkamah sudah meneliti dan menimbangkan keseluruhan hujahan perayu dan responden dalam prosiding taksiran ganti rugi, bulan lalu.
Hakim itu berkata, mereka berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika mendapati NFCorp dan empat yang lain gagal membuktikan jumlah ganti rugi yang dipohon, dan seterusnya memberikan jumlah nominal sebanyak RM10,000.
“Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika memutuskan bukti yang dikemukakan adalah tidak mencukupi bagi menyokong tuntutan ganti rugi yang dipohon kelima-limanya.
“Sebaliknya mahkamah berpuas hati kelima-lima pihak perayu sudah mengemukakan laporan kewangan dan laporan akaun yang diaudit melalui saksi pakar bagi menyokong tuntutannya mereka,” katanya.
Hasnah berkata, mahkamah berpendirian Public Bank tidak mencabar laporan kewangan dan laporan akaun yang diaudit melalui dokumen atau saksi pakar dari bank, sebaliknya ia hanya mencabar kredibiliti saksi pakar NFCorp.
Katanya, sehubungan itu panel berpuas hati bahawa dokumen yang dikemukakan oleh NFCorp dan empat yang lain kekal tidak dicabar.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman NFCorp, Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat terhadap Public Bank.
Mohamad Salleh adalah suami kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Saman bagi menuntut ganti rugi RM560 juta yang difailkan pada 2012 itu berhubung dakwaan maklumat sulit dan rahsia perbankan NFCorp dan tiga anak syarikatnya disebarkan kepada umum secara meluas oleh bank berkenaan.
Mahkamah dalam keputusannya ketika itu berkata ia mendapati NFCorp gagal membuktikan kes terhadap Public Bank selaku defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Bagaimanapun pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan syarikat itu.
Dalam keputusan sebulat suara panel Mahkamah Rayuan, ia berkata terdapat salah tafsiran serius terhadap keterangan yang memerlukan campur tangan perayu.
Dalam kes saman berkenaan, perayu mendakwa maklumat akaun bank yang bocor itu digunakan oleh naib presiden PKR Rafizi Ramli (kini Datuk Seri) untuk menguatkan dakwaan bahawa plaintif memanfaatkan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.
Mereka juga mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka telah mengalami kerugian dan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki akibat pelanggaran keselamatan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank.
BH ONLINE