PEKAN – Pasangan suami isteri maut, manakala tiga anak mereka parah selepas kereta dinaiki terbabas dan bertembung dengan lori di Jalan Kuantan – Segamat dekat Kampung Batu Lapan, Lepar, di sini, malam tadi.
Mangsa korban ialah pemandu kereta, Jamal Azizul Samat 44, dan isteri Lizawati Abdullah, 41, berasal dari Felda Chini Timur 1, di sini.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata nahas kira-kira jam 10 malam ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.
Menurutnya, kereta dipandu Jamal Azizul dipercayai hilang kawalan ketika memotong sebuah kenderaan lalu terbabas ke laluan kanan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Katanya, akibat kemalangan itu Jamal Azizul dan isteri tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tiga anak pasangan terbabit berusia antara 6 dan 17 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, untuk rawatan lanjut.” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pemandu lori berusia 31 tahun dan dua kelindan lori hanya cedera ringan.
Katanya, mayat pasangan suami isteri terbabit dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
BH ONLINE