
Enam rakyat Palestin terbunuh pada Jumaat ketika tentera pendudukan Israel melakukan beberapa serangan di utara Gaza, lapor agensi berita Palestin, WAFA.
Wartawan WAFA melaporkan tiga orang awam terbunuh apabila tentera Israel menyasarkan sekumpulan orang di kawasan kejiranan Al-Saftawi di utara Gaza.
Menurut portal itu, dua lagi terbunuh dalam serangan udara di kem pelarian Jabalia, manakala seorang wanita terbunuh dalam serangan berasingan di Jabalia al-Balad.
Sementara itu, artileri Israel membedil pekan Al-Qarara, utara Khan Yunis di selatan Gaza, diiringi tembakan berat, membahayakan nyawa orang awam yang kehilangan tempat tinggal di kawasan terbabit, lapor agensi itu.
Menurut WAFA, pencerobohan Israel berterusan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 setakat ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 54,249 kematian rakyat Palestin didokumenkan, dengan lebih 123,492 yang lain cedera.