KABUL – Pakistan mengusir sejumlah 852 keluarga Afghanistan dengan 4,567 anggota pada Ahad, kata Suruhanjaya Tinggi Afghanistan bagi Menangani Masalah Orang Yang Pulang dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, keluarga terbabit pulang ke tanah air mereka di Afghanistan melalui lintasan sempadan Torkham di timur Nangarhar dan lintasan sempadan Spin Boldak di selatan wilayah Kandahar.
Di lintasan sempadan Torkham antara Afghanistan dan Pakistan, suruhanjaya itu menyediakan tempat perlindungan sementara, makanan, air, rawatan perubatan, dan perkhidmatan pengangkutan ke wilayah masing-masing untuk mereka yang pulang.
Kerajaan Pakistan akan menghantar pulang 3 juta warga Afghanistan ke negara asal mereka pada 2025.
Dilaporkan, kira-kira 7 juta pelarian Afghanistan, yang kebanyakannya adalah pendatang tanpa izin, kini menetap di luar negara, dengan kebanyakannya tinggal di negara jiran Afghanistan, Pakistan dan Iran.
Kerajaan sementara Afghanistan telah berulang kali menyeru pelarian Afghanistan untuk menamatkan hidup di luar negara sebagai pelarian dan pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada pembinaan semula tanah air mereka yang dilanda perang.
XINHUA