Penulisan puisi dalam sastera sufi

Imej yang dikaitkan dengan aliran sufi – Foto Unsplash

Puisi sufi adalah suatu bentuk sastera Islam yang menggambarkan pengertian tentang kebenaran kerohanian melalui cinta kepada Tuhan dan rasa rendah diri.

Bentuk sastera jenis ini muncul sebagai suatu sastera Islam yang bermula pada zaman Umaiyah yang digubah oleh penyair-penyair Islam yang mistis.

Selepas kematian Ali bin Abu Talib, Muawiyah menjadi khalifah bagi pemerintahan Islam.

Pemerintahan Bani Umaiyah yang bercorak kuku besi itu amat mementingkan kepentingan keduniaan.

Keadaan ini mendorong golongan orang Islam yang alim membencinya.

Sebagai reaksi terhadap dasar kerajaan Umaiyah itu, golongan agama tersebut menyisihkan diri mereka daripada masyarakat dan menjalani kehidupan yang menekankan kepentingan kerohanian.

Golongan yang mengamalkan hidup seperti ini kemudian membentuk satu aliran dalam Islam yang dipanggil sufi.

Salah seorang pengajar aliran sufi ialah Hasan al-Basri (meninggal 728 M)

Fahaman sufi ini mengamalkan ajaran yang menekankan aspek kerohanian.

Dalam menyampaikan ajarannya, ahli-ahli sufi sering memperkata sesuatu itu dalam bentuk bahasa yang penuh dengan simbolik dan kiasan.

Media puisi adalah merupakan satu saluran yang sesuai bagi ahli-ahli sufi untuk menyatakan segala perasaan hati nurani mereka.

Maka, dengan itu muncullah puisi yang bercorak mistik yang menjadi media penyair-penyair sufi yang merupakan sebagai karya sastera Islam par excellence.

Salah seorang ahli sufi wanita yang terkenal ialah Rabiah al-Adawiyah (meninggal 801 M).

Sewaktu muda, dia terkenal sebagai seorang ahli muzik dan penyanyi wanita yang amat jelita.

Ketika dia mengalami perubahan dalam kehidupan kerohaniannya, maka dia telah menjadi seorang sufi dan menggubah puisi-puisi yang mudah untuk menggambarkan ajaran sufi.

Antaranya puisinya ialah:

Hatiku tenteram dan damai jika aku diam sendiri

Ketika kekasih bersamaku

Cinta-Nya padaku tak pernah berbahagi

Dan dengan benda yang sama selalu mengujiku

Bilakah dapat kurenungi keindahan-Nya

Dia akan menjadi mihrabku

Dan arahnya menjadi kiblatku

Bila kumati kerana cinta, sebelum terpuaskan

Akan terseksa dan lukalah aku di dunia ini

O penawar jiwaku, hatiku

Adalah santapan yang tersaji bagi mahu-Nya

Barulah jiwaku pulih jika telah bersatu dengan-Mu

O sukacita dan nyawaku, moga kekallah

Jiwaku, kaulah sumber hidupku

Dan jiwa-Mu juga berahiku berasal

Dari semua benda fana di dunia ini

Diriku telah tercerai

Hasratku adalah bersatu dengan-Mu

Melabuhkan rindu

Ahli-ahli sufi bukan saja pelopor kepada suatu aliran kerohanian dalam Islam tetapi mereka juga mencetuskan satu kebangkitan sastera Islam yang begitu diminati.

Sastera sufi tercipta daripada pengalaman dan penghayatan estetik yang dilahirkan oleh ahli-ahli sufi dengan kata-kata yang indah untuk meluahkan perasaan mereka terhadap kecintaan mereka terhadap Tuhan, dan perasaan itu pula menjadi dasar yang penting dalam ajaran sufi.

Muhyi ad-Din Ibn al-Arabi yang lahir di Sepanyol pada tahun 1165 merupakan seorang tokoh sufi yang terkemuka dan dikenali sebagai penulis puisi sufi yang terkenal.

Selepas dia meninggal dunia, Ibnu al-Arabi telah meninggalkan sebanyak tiga ratus karya.

Antara puisinya seperti berikut:

Haramlah semua yang asyik
Memandang selain Dia
Jika wujud Tuhan dan cahaya-Nya
Memancarlah sinar terang
Segala yang kukatakan ini tiada
Selain Kau satu semata
Dari-Mu segala yang lain ini

Lahir menjelang rupanya.

Apa yang dikatakan oleh Ibnu al-Arabi dalam puisinya itu ialah tentang cinta Tuhan yang dianggapnya sebagai asas yang utama daripada manifestasi hakikat yang esa iaitu Allah. Malah, menurutnya juga, cinta Tuhan itu menjadi prinsip utama dalam penciptaan alam semesta sesuai dengan sifat Tuhan seperti yang digambarkan dalam al-Quran sebagai ar-Rahman, dan ar-Rahim iaitu Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Antara penyair sufi yang lain ialah Bayazid, al-Hallaji Umar bin al-Farid yang menulis sebuah karya agung dalam sastera Arab berjudul Diwan. Farid ad-Din Attar adalah seorang penyair sufi yang menulis karya berjudul Tazkirat al-Auliya (Peringatan Orang yang Keramat) dan Mintiq at-Tayr (Persidangan Burung-Burung). Jalal ad-Din ar-Rumi ialah seorang lagi ahli sufi dan penyair Islam yang menghasilkan karya berjudul Matsnawi dan Diwani Syami Tabriz. Di bawah ini adalah petikan daripada puisi Jalal ad-Din ar-Rumi:

Kerana cinta, duri menjadi mawar

Kerana cinta, cuka menjelma anggur segar

Kerana cinta, pentungan jadi mahkota penawar

Kerana cinta, kemalangan menjelma keberuntungan

Kerana cinta, rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar

Kerana cinta, tompokan debu kelihatan sebagai taman

Kerana cinta, api yang berkobar-kobar jadi cahaya yang menyenangkan

Kerana cinta, syaitan berubah menjadi bidadari

Kerana cinta, batu yang keras menjadi lembut bagai mentega

Kerana cinta, duka menjadi riang gembira

Kerana cinta, hantu berubah menjadi malaikat

Kerana cinta, singa tak menakutkan seperti tikus

Kerana cinta, sakit jadi sihat

Kerana cinta, amarah berubah menjadi keramah-tamahan

Kebanyakan daripada mereka membawa persoalan tentang cinta Tuhan, makrifat, tauhid dan persatuan dengan Tuhan. Di samping tema-tema itu, puisi-puisi sufi juga menyentuh persoalan sosial dan moral, seperti yang terdapat dalam karya-karya Sa’adi, Rumi, Abu al-Atahiyah, al-Ma’ari, Hafiz dan lain-lain.

Ruj: Asas Kesusasteraan Islam, Ismail Hamid

You cannot copy content of this page