Berapa kalilah mesti dibasuh sebab dijilat anjing?
Ada beberapa pendapat dan perselisihan ulama padanya. Antara pendapat itu ialah:
- Wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak sekali saja jika hilang najis itu dengannya, tetapi jika tidak, maka hendaklah dibasuh beberapa kali sehingga dijangka hilang najis itu.
- Wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak tujuh kali.
PECAHAN PENDAPAT
- Hanafi berpendapat wajib membasuh sebab dijilat anjing hanya sekali, jika ianya boleh terhilang dengan sekali, jika tidak, maka hendaklah dibasuh berulang-ulang kali sehingga najis itu dijangka hilang.
- Maliki berpendapat wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak tujuh kali. (Dibasuh sebanyak tujuh kali pada pendapat Imam Malik bukanlah kerana anjing itu najis, tetapi kerana semata-mata ta’abbudi yang tidak diketahui hikmahnya. Berkenaan tujuh kali basuh ini ialah tertentu pada jilatannya saja, tidak pada yang lain daripadanya, umpama dimasukkan anggota anjing itu di dalam bejana. Ini bersalahan pula dengan pendapat imam-imam lain iaitu tujuh kali tersebut sama ada sebab jilatannya atau lain-lainnya.)
- Syafie berpendapat wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak tujuh kali.
- Hanbali berpendapat wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak tujuh kali.
PUNCA PERSELISIHAN
Alasan bagi mereka yang berpendapat bahawa wajib membasuh sebab jilatan anjing itu hanya sekali kiranya boleh hilang najis dengannya dan hendaklah diulang beberapa kali jika tidak hilang:
- Masalah ini sama juga sebagaimana najis-najis lain sekiranya tidak suci dengan sekali terpaksalah dilakukan beberapa kali sehingga najis itu hilang biarpun mesti dilakukan berpuluh-puluh kali.
Alasan bagi mereka yang berpendapat bahawa wajib membasuh sebab dijilat anjing itu sebanyak tujuh kali:
- Hadis: Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Apabila anjing menjilat bejana kepunyaan salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia menuang keluar, kemudian membasuh bejana itu tujuh kali. (Diriwayatkan oleh Muslim)
Ruj: Kitab Taharah, Arifin Awang, MA Usuluddin Univ Al-Azhar