1. Apabila berlaku hari kiamat itu.
2. Tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.
3. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat).
4. (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sungguh-sungguh goncangan.
5. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya.
6. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.
7. Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlain-lain keadaannya).
8. Ia itu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu.
9. Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu.
10. Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia) — yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak).
11. Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah).
12. (Tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat.
13. (Antaranya) sekumpulan besar daripada umat-umat manusia yang terdahulu.*
14. Dan sebilangan kecil orang-orang yang datang kemudian.**
15. (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertakhtakan permata.
16. Sambil berteleku di atasnya dengan berhadap-hadapan.
17. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka.
18. Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
19. Mereka tidak berasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
20. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahn daripada jenis yang mereka pilih.
21. Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini.
22. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya.
23. Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
24. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amalan-amalan baik) yang mereka telah kerjakan.
25. Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa.
26. Mereka hanya mendengar ucapan: selamat, selamat (dari satu kepada yang lain).
27. Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu.
28. Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
29. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya.
30. Dan naungan yang tetap terbentang.
31. Dan air yang sentiasa mengalir.
32. Serta buah-buahan yang banyak.
33. Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya.
34. Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
35. Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa.
36. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh).
37. Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
38. (Semuanya itu diuntukkan) bagi puak kanan.
39. Iaitu sebilangan besar daripada orang-orang yang terdahulu.
40. Dan sebilangan besar daripada orang-orang yang datang kemudian.
41. Dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu.
42. Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak.
43. Serta naungan daripada asap hitam.
44. Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.
45. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, daripada mengingati hukum Tuhan).
46. Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar.
47. Dan juga mereka selalu berkata; adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan dan hidup semula?
48. Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?
49. Katakanlah (kepada mereka), sesungguhnya orang-orang yang telah laludan orang-orang yang terkemudian.
50. Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan — pada hari kiamat yang termaklum.
51. Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat).
52. Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok iaitu pokok zaqqum.
53. Maka, kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu.
54. Selepas itu kamu akan meminum pula daripada air panas yang menggelegak.
55. Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.
56. Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari pembalasan itu.
57. Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
58. (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
59. Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
60. Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.
61. (Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
62. Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang penciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).
63. Maka (mengapa kamu masih berdegil), tidakkah kamu lihat apa yang kamu tanam?
64. Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
65. Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal.
66. (Sambil berkata), sesungguhnya kami menanggung kerugian.
67. Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil).
68. Selain dari itu, tidakkah kamu lihat air yang kamu minum?
69. Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?
70. Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia asin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
71. Akhirnya tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
72. Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?
73. Kami jadikan api (yang tercetus daripada kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat), dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
74. Oleh yang demikian (wahai orang yang lalai) bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmat-Nya itu).
75. Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian al-Quran.
76. Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya.
77. Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).
78. Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara.
79. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.
80. Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
81. Patutkah kamu (wahai golongan kufur ingkar) bersikap bena tak bena terhadap keterangan-keterangan al-Quran ini?
82. Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
83. Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya.
84. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya.
85. Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.
86. Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami).
87. Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar.
88. Kesudahannya, jika ia (yang mati itu) dari orang-orang Muqarrabiin.***
89. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran serta syurga kenikmatan.
90. Dan jika ia dari puak kanan.****
91. Maka (akan dikatakan kepadanya) selamat sejahteralah kepadamu (kerana engkau) dari puak kanan.
92. Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya) lagi sesat.
93. Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak.
94. Serta bakaran api neraka.
95. Sesuungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang dinyakini.
96. Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.
Keterangan:
* Yakni yang terdahulu daripada zaman Nabi Muhammad SAW.
** Yakni semenjak zaman Nabi Muhammad SAW hingga hari kiamat.
*** Muqarrabiin ialah orang-orang yang didampingkan disebabkan imannya dan amalannya yang soleh yang tinggi darjatnya.
**** Yang juga beriman dan beramal soleh tetapi kurang sedikit darjatnya daripada orang-orang Muqarrabiin, yang disebut perihalnya pada ayat 88.
- Surah al-Waqi’ah diturunkan di Makkah.
- Mengandungi 96 ayat.
- Dalam susunan surah, ianya surah ke-56.
- Dinamakan surah al-Waqi’ah (Hari Kiamat) kerana pada awal surah ini Allah Taala menegaskan bahawa: Apabila berlaku hari kiamat itu, tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.
Intisari kandungan
Bagi menolak anggapan kaum kafir musyrik yang meragukan hari akhirat. Allah Taala membentangkan pelbagai dalil yang membuktikan bahawa hari kiamat tetap berlaku; dan mula berlakunya hari itu ialah semasa dunia ini dan segala isinya dihancurkan dan digantikan dengan alam yang baharu – alam akhirat.
Pada saat itu manusia terbahagi kepada tiga puak yang berlainan keadaannya.
- Puak pihak kanan – yang sungguh berbahagia kerana mendapat sebaik-baik balasan.
- Puak pihak kiri – yang akan menderita azab seksa yang tidak terperi.
- Puak yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan di dunia, dan kerana itu mereka akan mendahului mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Mereka akan mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah.
Kepada orang-orang kafir yang meragukan mengenai kebenaran al-Quran, Allah menegaskan bahawa: Yang dibacakan kepada mereka itu ialah Al-Quran yang mulia yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan, yang tersimpan dan terpelihara dalam Kitab dengan sebaik-baiknya, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Rabbul Alamin.
Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa segala keterangan yang disebutkan itu adalah kebenaran yang diyakini.
Sumber: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman