Asyik, asyik, asyik – nanti anda yang kecewa

Bayangkan anda memulakan perjalanan atau mengikuti satu rombongan ke suatu destinasi yang jauh. Tidak kira sama ada anda berkereta bersama ahli keluarga, beramai-ramai dengan motosikal berkuasa besar, berbasikal ataupun menaiki bas.

Sebelum tiba di sana, anda melalui beberapa lokasi. Pelbagai ragam manusia anda temui. Malah, banyak pula benda atau perkara yang meruntun hati. Anda berasa sangat rugi sekiranya tidak turut merasai dan memperoleh semuanya.

Namun, sekali anda terpesona, bermakna anda membuka ruang kepada akibatnya. Boleh jadi anda kehabisan wang yang dibawa, tersesat dan waktu juga banyak terbuang. Anda dilanda dengan bermacam-macam hal dan pada ketika itu barulah anda menyesal.

Dalam perjalanan

Sedar atau tidak, sekarang anda berada dalam perjalanan. Bermulanya lahir ke dunia sehinggalah ke usia remaja, dewasa dan tua bangka, anda melewati beberapa fasa perjalanan.

Ibnu Mas’ud meriwayatkan Rasulullah SAW tidur di atas tikar rumput yang kasar dan bangun dengan badan yang berbekas olehnya.

Katanya: “Wahai Rasulullah! Saya harap anda akan menyuruh kami membentang dan membuat sesuatu untuk anda.”

Baginda menjawab: “Apa yang dapat saya buat dengan dunia. Saya seperti penunggang unta yang berehat di bawah lindungan sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya.”

Perjalanan dunia sungguh memikat. Anda pasti terjerat jika anda mengambilnya sepenuh jiwa.

Apabila tangan dan kaki anda sudah terikat, anda merasakan dunia adalah segala-galanya. Anda rela menjadi hamba kepadanya. Lantas, anda berasa tiada apa-apa kalaupun tidak cakna kepada agama.

Tepatlah seperti kata Syeikh Abdul Qadir Jailani: “Jika Allah SWT memberikan harta kepada anda, kemudian anda sibuk dengan harta itu dan lalai melaksanakan ketaatan kepada-Nya, bermakna ia sudah memisahkan anda daripada-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.”

Dalam kitabnya yang mempersembahkan nasihat berharga, beliau turut menggambarkan dunia yang penuh dengan perhiasan, kebatilan, penipuan dan racun yang membawa maut bersama sentuhan lembut pada zahirnya itu sangat busuk dan mengaibkan.

Tawa bertukar duka

Sudah semestinya bagi yang mengerti akan bersikap awas dengan segala pujuk rayu dunia. Sebabnya, apabila anda lebur dalam keasyikan dunia, ketawa sampai lupa Dia, anda berdepan dengan sengsara.

Tokoh tabiin, Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang mengharapkan dunia dan memilih dunia daripada akhirat, maka Allah akan menyeksa dengan enam seksaan, tiga seksaan di dunia dan tiga di akhirat.

“Adapun tiga seksaan di dunia ialah berangan-angan tanpa ada batas, sangat rakus tanpa berasa cukup dan diambil daripadanya kemanisan ibadat. Adapun tiga seksaan ditimpakan di akhirat iaitu rasa takut yang dahsyat pada hari kiamat, hisab yang sangat sukar dan penyesalan tidak berkesudahan.”

Bermohonlah kepada-Nya

Sesetengah orang tertumpu kepada dunia semata-mata. Apabila hidup miskin, ditimpa kesakitan, mengalami kerugian dan kegagalan, mereka minta menjadi kaya, sihat, mendapat keuntungan dan kejayaan.

“Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 200)

Sesetengahnya pula iaitu golongan yang menyeimbangkan antara dunia dan akhirat dengan meminta manfaat dan kejayaan bagi kedua-duanya.

“Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.’” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Kata Buya Hamka dalam Tafsir al-Azhar, kalau mencari kebaikan dunia saja, harta itu akan habis percuma untuk perkara tidak berfaedah, kesihatan akan hilang dalam gurau senda dan penyakit bakhil akan datang menimpa jiwa.

Justeru sekiranya anda tidak mahu dilanda kecewa, mintalah kebaikan untuk kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Jangan tertumpu kepada dunia semata-mata. Semoga anda diberikan taufik dan inayah-Nya.

You cannot copy content of this page