
Perkahwinan mempunyai hukum yang berubah-ubah mengikut keadaan individu. Berikut dijelaskan hukum perkahwinan:
Sunat
Ini berlaku jika individu itu berhajat kepada perkahwinan. Dengan erti kata lain dia ingin berkahwin, memiliki kemampuan dari segi nafkah, mas kahwin serta nafkah kehidupannya serta kehidupan isterinya dan dia berasa bahawa dia tidak akan terjerumus ke dalam perkara maksiat jika tidak berkahwin.
Dalam keadaan ini perkahwinan adalah sunat kerana perkahwinan itu dapat melahirkan generasi, menjaga keturunan dan membantu untuk mendatangkan maslahat (kebaikan).
Abdullah bin Mas’ud RA (dilaporkan) berkata: “Ketika kami muda, kami berada bersama-sama Nabi SAW dan kami tidak mempunyai apa-apa harta. Baginda berkata kepada kami: Wahai pemuda-pemuda, jika kamu mampu hendaklah kamu berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu lebih menutup pandangan mata dan lebih menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendinding baginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kahwin dalam keadaan ini adalah lebih baik daripada menumpukan perhatian untuk beribadat (secara khusus semata-mata) dan hidup membujang.
Atas asas inilah Rasulullah SAW menujukan sabdanya kepada sekumpulan sahabat baginda yang bertekad untuk tidak berkahwin kerana ingin menumpukan diri kepada ibadat (secara khusus semata-mata).
Perempuan mempunyai hukum yang sama dengan lelaki. Apabila dia memerlukan kepada perkahwinan untuk menjaga diri, agama serta mendapatkan nafkah, maka dia juga disunatkan berkahwin.
Sunat meninggalkannya
Hukum ini berlaku jika individu itu berhajat untuk berkahwin tetapi tidak mempunyai kemampuan dan nafkah. Dalam keadaan ini individu itu hendaklah beribadat dan berpuasa untuk menjaga kesucian dirinya.
Hal ini kerana kesibukan beribadat dan berpuasa akan melupakannya daripada memikirkan soal kahwin dan mengurangkan keinginannya. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kekayaan kepadanya daripada limpahan kurnia-Nya.
Dalil hukum ini ialah firman Tuhan yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin hendaklah menjaga kehormatan mereka sehingga Allah memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya.” (Surah an-Nur, ayat 33)
Hukum ini juga difahami daripada hadis Nabi SAW, mafhumnya: “Sesiapa antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin.”
Oleh itu jika dia tidak mempunyai kemampuan, maka meninggalkan berkahwin adalah sunat baginya.
Makruh
Hukum ini berlaku jika individu itu tidak berhajat untuk berkahwin seperti dia tidak berkeinginan sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi, sakit atau sebab lain.
Pada masa sama dia juga tidak memiliki kemampuan untuk berkahwin. Hal ini berlaku kerana perkahwinan menuntutnya sesuatu yang tidak mampu dilakukannya seperti menyediakan mas kahwin serta memberikan nafkah. Oleh itu perkahwinan adalah makruh baginya.
Afdal (lebih utama) tidak berkahwin
Hukum ini berlaku jika individu itu mempunyai kemampuan tetapi tidak berhajat untuk berkahwin kerana tiada keinginan. Pada masa sama dia sibuk beribadat atau menuntut ilmu.
Dalam keadaan ini, menumpukan perhatian kepada menuntut ilmu dan beribadat adalah lebih baik daripada berkahwin kerana perkahwinan mungkin akan mengganggu tumpuannya.
Afdal (lebih utama) berkahwin
Hukum ini berlaku jika individu itu tidak sibuk beribadat dan tidak juga sibuk menuntut ilmu, bahkan dia mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi tidak berhajat untuk berkahwin. Oleh itu perkahwinan adalah lebih baik dalam keadaan ini.
Hal ini adalah untuk mengelakkan dirinya daripada menggunakan masa lapang dengan melakukan perkara maksiat dan mungkar. Perkahwinan akan mendatangkan maslahat, melahirkan zuriat serta meramaikan keturunan. (Sumber: Buku fiqah)