1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. *
2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apakah kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?
3. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. **
4. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.
KETERANGAN
Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 5 ayat.
Dinamakan surah al-Qadr (Kemuliaan) kerana pada awal surah ini Allah menegaskan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadar (Malam Kemuliaan dan Kebesaran).
Yakni Allah mulai menurunkan al-Quran pada malam yang mulia itu, kemudian diturunkan sedikit demi sedikit selama 23 tahun (13 tahun di Makkah, 10 tahun di Madinah).
Intisari kandungannya: Menerangkan bahawa al-Quran yang mulia , mula-mula diturunkan ialah pada malam yang mulia — Malam Lailatul Qadar.
Kemudian Allah menerangkan kemuliaan dan kebesaran malam itu kepada baginda: “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Yakni ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amalan ibadat yang dilakukan pada seribu bulan lain.
Oleh kerana dalam surah lain diterangkan bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Allah dalam bulan Ramadan, maka dapatlah diketahui bahawa Malam Lailatul Qadar yang berkat itu ialah salah satu malam dari bulan Ramadan, tetapi tidak diterangkan malam yang mana satu.
Tujuannya supaya baginda dan umatnya memperbanyakkan ibadat dan amalan kebaikan di sepanjang bulan Ramadan, terutama pada 10 malam yang akhirdari bulan yang mulia itu.
* Lailatul Qadar seperti yang telah diterangkan ialah Malam Kemuliaan dan Kebesaran.
** Yakni amalan ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amalan ibadat yang dilakukan pada seribu bulan lain. Oleh sebab itu ada disebutkan dalam hadis sahih bahawa Rasulullah SAW biasanya mulai dari malam 21 Ramadan, baginda memperbanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan Malam Lailatul Qadar yang berkat itu yang berlaku pada salah satu malam dari sepuluh atau sembilan malam yang akhir dari bulan Ramadan.
Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman