Pencerahan:
Ada beberapa pendapat dan perselisihan ulama padanya, antara pendapat itu ialah:
- Hanafi berpendapat, menghilangkan najis itu wajib, bukannya sunat.
- Syafie berpendapat, menghilangkan najis itu wajib, bukannya sunat.
- Maliki berpendapat, menghilangkan najis itu sunat, bukannya wajib. (Ini mengikut salah satu pendapat dan menurut pendapat yang lain pula, menghilangkan najis itu fardu jika ingat dan tidak dituntut jika terlupa.
Punca perselisihan: Punca perselisihan dikembalikan kepada ayat dan hadis (atsar).
- Ayat: Maksud firman Tuhan: “Dan pakaianmu itu bersihkanlah” (Surah al-Mudatsir)
Pada ayat di atas ada dua maksud dimengertikan:
- Tujuan ayat ini ialah membersihkan pakaian yang dipakainya, bukan membersihkan jiwa atau hati.
(Pendapat ini adalah dalil yang menegaskan bahawa menghilangkan najis wajib, bukannya sunat.)
- Ayat di atas bukanlah membawa maksud membersihkan pakaian yang sebenarnya, malahan maksud ayat itu ialah membersihkan jiwa atau hati.
(Pendapat ini menjadi dalil bagi menyatakan bahawa menghilangkan najis itu sunat, bukannya wajib)
Kedua: Hadis
- Daripada Ibn Abbas katanya, suatu masa junjungan kita SAW lalui di dua pusara, maka ketika itu Junjungan bersabda: Sesungguhnya kedua-duanya ini diazab, pengazaban itu bukanlah dari kerana dosa besar, yang satu kerana ianya tidak bersih (cebok) setelah ianya kencing dan yang satu lagi kerana suka acum-mengacum. Kemudian Junjungan meminta pelepah tamar yang basah. Setelah diberikan, Junjungan pun membelah dua pelepah tamar itu, kemudian dicacakkan satu di sebelah kepala mayat seorang dan satu di sebelah kepala yang seorang lagi. Dan Junjungan berkata: Mudah-mudahan azab itu diringankan daripada kedua-dua mayat ini selama tidak kering pelepah ini. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud)
- Hadis ini menjadi dalil bahawa menghilangkan najis itu wajib (oleh kerana sesuatu azab dan seksaan itu ialah bergantung dengan perkara yang wajib, bukannya dengan perkara sunat), bukannya sunat.
- Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW melakukan solat di sisi Baitullah dan Abu Jahal bersama beberapa orang sahabat handalnya duduk berdekatan dari situ, maka berkatalah salah seorang daripada mereka kepada kumpulan itu: Siapakah antara kamu yang berani membawa tembuni unta si anu itu untuk diletakkan atas belakang Muhammad apabila dia sujud? Tiba-tiba bangunlah seorang hamba yang paling celaka antara kaum itu (Uqabah bin Abi Mu’it). Lalu, dia pun membawa tembuni unta itu kepada Junjungan dan apabila sahaja Junjungan sujud, maka diletakkanlah tembuni itu atas belakang Junjungan iaitu antara dua belikatnya, dan aku (Ibn Mas’ud) tidak dapat mengubah (mengambil tindak balas) sesuatu daripada perbuatan mereka kalaulah aku ada kuasa.
- Hadis ini menjadi dalil bagi menyatakan bahawa menghilangkan najis itu sunat, bukannya wajib. (Kerana Junjungan meneruskan solatnya walaupun najis itu terletak atas belakangnya yang mulia itu)
Huraian Punca Perselihan:
Sesiapa yang berpegang dengan pendapat pertama pada ayat dan berpendapat dengan hadis pertama, maka dia mengatakan bahawa menghilangkan najis itu bukannya sunat.
Sesiapa yang berpegang dengan pendapat kedua pada ayat dan berpendapat dengan hadis kedua, maka dia mengatakan bahawa menghilangkan najis itu sunat, bukannya wajib.
Alasan masing-masing:
Alasan bagi mereka yang berpendapat bahawa menghilangkan najis itu wajib, bukannya sunat.
- Ayat daripada surah al-Mudastir itu, dengan pendapat pertama.
- Hadis pertama.
Alasan bagi mereka yang berpendapat bahawa menghilangkan najis itu sunat, bukannya wajib.
- Ayat daripada surah al-Mudatsir itu dengan pendapat kedua.
- Hadis kedua. (Bagi sesiapa yang berpendapat bahawa menghilangkan najis bahawa menghilangkan najis itu fardu, jika ingat dan tidak dituntut pula jika terlupa, ia mengatakan bahawa hadis pertama itu ialah jika di masa ingat, dan umpama hadis kedua pula itu jika di masa terlupa.
Rujukan: Kitab Taharah, Arifin Awang-MA Usuluddin Univ Al-Azhar)