Surah al-Lail

1. Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya)

2. Dan siang apabila ia lahir terang-benderang.

3. Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).

4. Sesungguhnya amalan usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. *

5. Jelasnya – adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).

6. Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. **

7. Maka, sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

8. Sebaliknya – orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya.

9. Serta dia mendustakan perkara yang baik. ***

10. Maka, sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

11. Dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?

12. Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (mengenai yang benar dan yang salah).

13. Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia. ****

14. Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang.

15. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka.

16. Yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar.

17. Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.

18. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta-bendanya.

19. Sedang dia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas.

20. Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.

21. Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).


NOTA

* Yakni, ada yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ada pula yang sebaliknya.

** Yakni kalimah tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai.

*** Lihat penjelasan pada *

**** Yakni dengan aturan undang-undang Kami dan dengan melalui Kami, hendaknya dicari dan dipohonkan keselamatan dan kebahagiaan.

KETERANGAN

Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 21 ayat.

Dinamakan surah al-Lail (Malam), kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan ‘malam’ dan siang, dan dengan diri-Nya, yang menciptakan makhluk-makhluk-Nya, bahawa sesungguhnya amalan usaha manusia adalah berbagai-bagai keadaannya. Yakni, ada yang membawa kebaikan kepada orang melakukannya dan ada pula yang sebaliknya.

Intisari kandungan surah ini – Membentangkan soal manusia dan amalan usahanya. Bahawa orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa — melakukan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya — serta dia mengaku dengan yakin akan perkara-perkara yang baik, (kalimah tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai), maka sesungguhnya Allah akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

Sebaliknya, orang yang bakhil — tidak berbuat kebajikan dan berasa cukup dengan kekayaannya dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara baik (kalimat tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai), maka sesungguhnya Allah akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

Kemudian ditegaskan bahawa Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk mengenai yang benar dan yang salah serta Dialah jua yang menguasai hari akhirat dan alam dunia.

Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman

You cannot copy content of this page