SHIBERGHAN — Sekurang-kurangnya 40,000 murid di wilayah Jawzjan utara belajar di bawah langit terbuka, tetapi jabatan pendidikan wilayah berkata bangunan untuk 130 sekolah sedang dibina semula.
Pengarah pendidikan Jawzjan, Maulvi Mohammad Tahir Jawad memberitahu Pajhwok Afghan News, terdapat 408 sekolah di Jawzjan dan 127 daripadanya tidak mempunyai bangunan.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka telah dapat membaiki 10 sekolah di Aqcha, Khwaja Doko, Mingajek, Khaniqa dan bandar Shiberghan dengan kerjasama institusi rakan kongsi.
Javad menambah 130 bangunan sekolah sedang dipulihkan di daerah-daerah dan Shiberghan oleh institusi yang bekerjasama dengan jabatannya.
Beliau menegaskan, kerja pembinaan tiga bangunan sekolah di bandar Shiberghan serta daerah Aqcha dan Khaniqa akan dilancarkan tidak lama lagi.
Tambahnya, pada awal tahun ini sebanyak 86 khemah standard telah diagihkan kepada sekolah yang tidak mempunyai bangunan.
Jawad meminta ahli perniagaan dan institusi rakan kongsi negara bekerjasama dengan jabatan pendidikan dalam pembinaan bangunan untuk sekolah.
Sementara itu, menurut sebilangan murid, mereka terpaksa menghadiri kelas di bawah terik matahari.
Mohammad Rafi, seorang murid di bandar Shiberghan, memberitahu Pajhwok: “Kami tidak mempunyai bilik darjah di sekolah kami dan kami belajar di tempat terbuka dengan kesukaran.”
Dia menambah: “Kebanyakan masa, kami tidak boleh pergi ke sekolah kerana cuaca panas.”
Selain itu, Mohammad Fahim, seorang lagi murid, meminta kerajaan mencari penyelesaian kepada masalah mereka.
Adela, seorang murid darjah lima, berkata: “Di bawah langit yang terbuka, kami menghadapi cuaca panas dan ribut debu sehingga kami tidak dapat meneruskan pendidikan kami dengan baik.”
Dia meminta pegawai-pegawai Emiriah Islam (Afghanistan) supaya memberi perhatian serius terhadap pembinaan bangunan untuk sekolah mereka.
Sumber – Pajhwok, 23 Julai 2023