Kategori: UMUM

  • Mereka dibinasa oleh gempa bumi

    Bagi anda, selepas mengikuti berita dan menatap gambar mengenai kejadian gempa bumi, apa yang anda rasa? Simpati kepada mangsa, takut ataupun tidak berasa apa-apa?

    Mungkin ada yang berasa biasa saja, maklumlah kerana dari segi geografinya jauh dari tempatnya misalnya beribu-ribu kilometer. Tetapi jika tempat kedua-dua kaki anda berpijak tiba-tiba bergegar, apa anda rasa? 

    Cuba bayangkan, ketika anda berjalan seorang diri di sebatang jalan di perantauan.

    Tiada rumah di kiri dan kanannya cuma kawasan lapang atau padang yang luas terbentang dan satu atau dua pokok kecil saja.

    Tiba-tiba, anda dikejutkan dengan gegaran dari perut bumi. Apa yang anda akan lakukan saat itu? Langkah anda terhenti, memanjat pokok ataupun berlari sekuat yang terdaya? Katakan, anda mahu berlari, masih sempatkah dan mahu berlari ke arah mana, sedangkan untuk berdiri pun tidak seimbang?

    Mengalami detik cemas itu, perasaan anda mungkin bercampur-campur. Boleh jadi anda putus harapan dan teringat ahli keluarga yang jauh di kampung halaman, sebagai pengubat jiwa setelah berasa tidak banyak masa yang tersisa. Atau apa saja yang secara tiba-tiba menerjah fikiran anda.

    INGATLAH DAN TAKUTLAH KEPADA ALLAH

    Ingat kepada Allah perlu diutamakan, sama ada pada waktu susah mahupun senang.

    Takutlah kepada-Nya, bergantung harap dan berserahlah kepada-Nya sepanjang masa kerana Dialah yang mempunyai kuasa mengatasi segala-galanya.

    Mohonlah keampunan kepada-Nya atas segala dosa yang pernah dilakukan dan bersyukurlah kepada-Nya atas keselamatan diberikan-Nya.

    Ketika anda meneruskan kehidupan ini, apabila anda mengatakan takut kepada Allah, ia tidak bernoktah di situ sebaliknya disusuli dengan pembuktian iaitu mentaati-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

    Menurut ulama, yang dimaksudkan dengan takut bukan bererti seseorang itu perlu menangis, tetapi orang yang benar-benar takut ialah mereka yang meninggalkan perbuatan dilarang oleh Allah.

    Firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 175 bermaksud: “…takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku) jika betul kamu orang yang beriman.”

    GEMPA BUMI BERLAKU SEJAK DAHULU

    Apabila diperhatikan kepada ayat al-Quran, gempa berlaku dari zaman umat terdahulu lagi, misalnya kepada kaum Nabi Salih.

    Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 77 hingga 79 bermaksud: “Maka mereka pun menyembelih unta itu dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: ‘Hai Salih! Datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada rasul yang diutus (oleh Allah).

    “Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

    “Maka Nabi Salih pun meninggalkan mereka sambil berkata: ‘Wahai kaumku! Aku menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku dan aku memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang yang memberi nasihat.’”

    PERISTIWA SEBAGAI PENGAJARAN

    Walaupun gempa bukan perkara baru, setiap peristiwa sama ada yang berlaku kepada umat terdahulu mahupun kebelakangan ini adalah suatu pengajaran besar buat manusia yang selalu saja leka dalam mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

    Gempa, bahkan apa-apa saja fenomena di alam ini adalah bukti kekuasaan Allah. Dialah yang mencipta langit dan bumi, bahkan segala-galanya termasuk manusia.

    Firman-Nya dalam surah at-Taghabun, ayat 3 bermaksud: “Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat dan Dia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu dan kepada-Nyalah tempat kembali.”

  • Indah bersama cinta

    Cinta tidak asing buat kita. Setiap orang pernah merasai dan mempunyai rasa cinta, walaupun sesetengahnya keliru dalam menanggapinya dan mempunyai tafsiran berbeza mengenainya.

    Hidup tanpa cinta tidak akan sempurna. Diri tidak akan bersungguh-sungguh, hilang sabar dan cepat bosan. Nestapa mengisi hati, jiwa lara dan berasa ada saja yang tidak kena.

    Mungkin sebab itu seorang ahli sufi dan pujangga terkenal, Jalaluddin ar-Rumi menasihatkan: “Di mana saja anda berada dan apa-apa saja anda lakukan, buatlah dengan cinta.”

    CINTA PALING AGUNG

    Manusia secara umumnya mempunyai rasa cinta kepada kesenangan hidup di dunia. Mereka cenderung menilai sesuatu kedamaian, keindahan dan kesempurnaan mengikut cita rasa dan kehendak nafsu.

    Namun, manusia beriman meletakkan kecintaan paling utama adalah pada Allah. Ruang lingkup kehidupannya demi Allah semata-mata. Justeru, apa-apa yang datang daripada-Nya diikuti, tanpa dibantah dan diragui lagi.

    Firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 31, bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku.

    Nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu…”

    Imam Ibnu Hajar al-Asqalani memetik satu riwayat: “Bahawa mahabbah (di sini dalam maksud kecintaan kepada Allah) ada dua macam:

    1. Mahabbah fardu: Iaitu mahabbah yang mendorong untuk melakukan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

    2. Mahabbah sunah: Iaitu mahabbah yang mendorong untuk membiasakan melakukan ibadat sunat dan menjauhi hal yang syubhat.”

    PUNCA SEGALA SALAH

    Dalam riwayat al-Baihaqi, Nabi Muhammad SAW bersabda, mafhumnya: “Cinta pada dunia adalah punca semua kesalahan.”

    Berkaitan hal ini, Imam al-Ghazali memberikan komentar: “Kalau cinta pada dunia menjadi punca segala kesalahan, maka benci pada dunia menjadi punca segala kebaikan.”

    Diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa hatinya diracuni kecintaan dunia, maka melekat padanya tiga perkara: Sengsara yang tiada akhir deritanya, tamak yang tidak berkepuasan dan angan-angan berpanjangan tanpa arah tujuannya.” (Riwayat Tabrani)

    Saidina Utsman bin Affan RA berkata: “Sesiapa meninggalkan dunia, maka dia akan dicintai Allah. Sesiapa meninggalkan dosa, nescaya disukai malaikat dan sesiapa mencegah tamak terhadap orang Islam, maka dia dicintai kaum Muslimin.”

    Meninggalkan dunia ertinya mengurangi makan, minum, tidur dan tidak suka terhadap pujian daripada manusia. Orang yang meninggalkan dunia dicintai Allah, kerana tidak riyak dan tidak bongkak.

    Malah, sewaktu mata lain terpejam lena, kita persembahkan puji-pujian dan membilang-bilang nama-Nya, bermunajat dengan penuh pengharapan. Alangkah indahnya munajat cinta itu diterjemahkan dalam kehidupan sehari-hari.

    Cintailah Allah dan berusahalah mendapatkannya. Kata ahli tasawuf terkenal di zaman awal Islam, Yahya bin Muaz: “Sekecil apa pun cintaku kepada Allah, itu lebih aku sukai daripada beribadat selama tujuh puluh tahun.”

    Beliau juga bermunajat: “Oh Tuhanku, tiada indah suatu malam kecuali dengan bermunajat kepada-Mu. Tiada indah suatu siang, kecuali berbuat taat kepada-Mu. Tiada indah dunia ini, kecuali dengan berzikir kepada-Mu. Tiada indah akhirat kecuali dengan ampunan-Mu dan tiada indah syurga melainkan dengan melihat-Mu.”

  • Dalam pahit ada manis

    Satu tabiat manusia ialah suka bersengketa. Mereka menjerit dan memekak, bahkan saling mengata antara satu sama lain. Lebih dikesali apabila ia membabitkan sesama sendiri dalam satu rantaian keluarga, sebangsa dan seagama.

    Benarlah firman Allah pada surah al-A’raf, ayat 24 yang bermaksud: “Allah berfirman: Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain…”

    Antara faktor mendorong ke arah itu ialah kita berasa diri kita cukup baik manakala satu pihak lagi kita sifatkan sebaliknya, bahkan menebal rasa curiga terhadapnya.

    Keadaan aman, tubuh badan sihat dan rezeki mencurah-curah juga membuatkan kita ada masa untuk itu. Dalam erti kata lain, keselesaan mendorong kita untuk bersengketa.

    Walhal kalau kita dalam keadaan huru-hara dan darurat, kita boleh pula bersatu dan bertolak ansur. Demikian juga sewaktu sakit, kita kenal erti belas kasihan, ziarah dan membacakan doa agar segera sembuh.

    Dalam al-Quran, Allah mengingatkan maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus bimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa -kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat?

    “(Orang-orang yang melakukan perkara-perkara berkenaan) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta dituliskan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad, ayat 22 dan 23)

    Silaturahim ataupun persaudaraan adalah suruhan Tuhan dan Rasul-Nya SAW. Mungkin sukar untuk mempertautkan kembali persaudaraan yang renggang, tapi kerana kita mengaku beriman kepada-Nya, kita mesti menjaga hubungan ini.

    Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik-baik atau mendiamkan diri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Barangkali bibir kita berasa sangat kelat ataupun pahit untuk mengukirkan senyuman kepada saudara kita, tetapi dalam kepahitan itulah adanya kemanisan. Umpama ubat yang pahit kita telan dapat meredakan penyakit.

    Dalam kepahitan itulah juga adanya syurga sebagaimana dijelaskan oleh Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, beritahu daku mengenai amalan yang membolehkan aku masuk syurga.”

    Jawab Rasulullah: “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan solat, keluarkan zakat dan eratkanlah hubungan silaturahim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Abu al-Laits al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin (Peringatan kepada Orang Lalai) menjelaskan bahawa silaturahim mengandungi 10 keuntungan:

    * Mendapat reda Allah sebab Dia menyuruh melakukan silaturahim.

    * Menggembirakan mereka kerana ada hadis yang menegaskan bahawa amal paling utama ialah menyenangkan orang Mukmin.

    * Kegembiraan malaikat kerana malaikat senang dengan silaturahim.

    * Mendapat pujian kaum Muslimin.

    * Menjengkelkan iblis.

    * Menambahkan usia.

    * Menjadi keberkatan rezekinya.

    * Menyenangkan orang yang sudah mati.

    * Memupuk rasa cinta dalam kalangan keluarga sehingga suka membantu apabila memerlukan bantuan.

    * Bertambahnya pahala jika dia mati sebab selalu ingat kepadanya dan mendoakan kerana kebaikannya.

    Justeru eratkanlah hubungan persaudaraan dan jangan ada sengketa antara kita. Hadapilah masalah secara bersama dan tangani dengan sebaik-baiknya.

    Jangan sampai ke tahap menzalimi, merendah-rendahkan dan menghina.

  • Ikut berdasarkan sangkaan dan kejahilan sentiasa dilanda cemas

    Hari ini anda dapat menyaksikan dengan ketara betapa maklumat menguasai segala-galanya. Ia memandu anda kepada kebenaran dan kejayaan, namun di sisi berbeza boleh saja membawa kepada kesesatan dan kerugian.

    Maklumat pada asasnya adalah sesuatu yang membolehkan anda belajar, tahu dan faham mengenainya, namun bukan semua. Maklumat yang palsu ataupun daripada sumber yang boleh dipertikaikan hanya membuatkan anda keliru dan sia-sia.

    Terpengaruh dengan maklumat palsu juga meletakkan diri anda dalam bahaya. Boleh jadi dengan keyakinan kepada maklumat palsu itu mendorong anda bertindak tidak wajar yang akhirnya anda sendiri kecewa.

    Maklumat yang benar adalah pengetahuan yang boleh dibuktikan, dijadikan pegangan dan berguna dalam merencanakan kehidupan.

    Apabila memperkatakan mengenai pengetahuan, yang paling benar lagi mulia dan dapat dijadikan pegangan kukuh tentulah bersumberkan Tuhan iaitu ilmu pengetahuan berteraskan wahyu.

    Ia adalah ilmu pengetahuan paling tinggi kedudukannya kerana menjadi sumber kepada kewujudan ilmu lain yang mampu digarap oleh akal manusia yakni ilmu kemanusiaan.

    Bagaimanapun, ilmu kemanusiaan tertakluk juga kepada perubahan dan kesalahan, melainkan jika disahkan benar oleh ilmu wahyu.

    Sifat ilmu kemanusiaan adalah relatif iaitu saling berkait ataupun tidak mutlak.

    Kebenarannya sering dipengaruhi oleh kelemahan sifat manusia termasuk nafsu, kejahilan, buruk sangka, berat sebelah, kesilapan intuisi, persepsi mahupun metodologi.

    Maklumat palsu berpijak pada kejahilan, sangkaan dan spekulasi. Ia tidak membawa kebaikan, sebaliknya menimbulkan kekacauan dan kerosakan.

    Kejahilan bukan hanya gersang daripada ilmu, bahkan dimengertikan juga sebagai kefahaman salah terhadap suatu perkara atau kefahaman tidak menepati dengan yang sebenarnya.

    Orang yang mengikuti sesuatu dicapainya atau disampaikan kepadanya berdasarkan kejahilan dan sangkaan adalah orang terpesong daripada kebenaran. Mereka sentiasa dilanda perasaan cemas.

    Al-Quran berulang kali menegaskan bahawa ramai yang terpesong daripada agama Allah kerana mereka berpegang teguh kepada sangkaan dan kepalsuan, bukan kepada ilmu dan kebenaran.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan, yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu daripada azab neraka.” (Surah Shaad, ayat 27)

    Dalam surah an-Najm, ayat 28 firman-Nya bermaksud: “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran.”

    Kemudian, firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 154 bermaksud: “Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar seperti sangkaan orang-orang jahiliah…”

    Ayat 12 daripada surah al-Hujurat bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa…”

    Jadi, orang beriman diperintahkan oleh Allah supaya menjauhkan diri daripada sangkaan terutama sangkaan buruk kerana ia tidak sedikit pun menyumbang kepada kebenaran, malah sebahagiannya adalah dosa.

    Pepatah Arab ada mengungkapkan: “Tiada suatu daya kekuatan yang mengheret diri kepada kerugian lebih daripada sangkaan.”

    Seseorang yang percaya benar-benar kepada sesuatu berdasarkan sangkaan sepanjang hidup, tanpa disedari hidupnya itu hanya mengejar bayang-bayang.

  • Menari di atas roda waktu

    (Foto Unsplash)

    Kita ‘menari’ di atas roda waktu. Ada yang menyanyi ceria, bersorak sehingga gamat suasana dan berasa megah manakala pada ketika yang lain menangis kecewa, berduka dan berasa hina.

    Jika pada usia kanak-kanak atau remaja, kita mungkin banyak ketawa, bermain dan belajar bersama-sama.

    Apabila dewasa, kita cepat terasa dan bermasam muka, lantas mencipta sengketa walaupun bersaudara.

    Memandang ke arah mereka yang berharta, kita bersikap tidak mengapa. Kita hanya tahu pasrah tapi tidak berusaha. Apabila mendapati mereka membuat amal kebajikan, kita curiga dan mengata hanya kerana harta yang tiada.

    Waktu menceritakan segala-galanya, membezakan dan memisahkan kita. Semalam dan hari ini tidak sama walaupun ramai menyangka ia adalah sebaliknya. Barangkali kerana anggapan itu kita menghadapinya dengan selamba.

    Ramai manusia mensia-siakan waktu, padahal ia sangat bernilai. Al-Quran banyak kali menyentuh mengenainya. Malah, ada antara surah dinamakan dengan waktu dan semua ini tiada lain, ia berguna sebagai peringatan kepada kita.

    Firman-Nya pada surah al-Asr, ayat 1 hingga 3 bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

    Surah ad-Duha, ayat 1 dan 2 bermaksud: “Demi waktu duha. Dan malam apabila ia sunyi.”

    Kemudian, surah al-Lail, ayat 1 dan 2 bermaksud: “Demi malam, apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap gelitanya). Dan siang apabila ia lahir terang-benderang.”

    Dalam surah al-A’raf, ayat 34 diterangkan: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang sudah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” Orang berjaya sentiasa menjaga waktu. Mereka tidak menggunakannya bagi tujuan ataupun hal sia-sia.

    Dalam perkara kebaikan, mereka tidak bersikap tunggu dan lihat, sebaliknya segera melakukannya.

    Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 148 bermaksud: “…maka berlumba-lumbalah kamu dalam perkara kebaikan.”

    Dalam surah Ali-Imran, ayat 133 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.”

    Al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya: “Ambillah lima sebelum (datang) lima, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, hidupmu sebelum matimu dan masa lapangmu sebelum datang kesibukanmu.”

    Dalam riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Bersegeralah kalian semua untuk melakukan amal kebaikan (sebelum datangnya) bermacam-macam fitnah yang diumpamakan potongan malam yang gelap gelita.

    “Seseorang pada pagi hari dalam keadaan Mukmin sedang pada petang hari menjadi kafir. Ada lagi yang pada petang hari menjadi Mukmin, tetapi pada pagi harinya dia kafir. Dia menjual agamanya dengan harta dunia.”

    Hatim al-A’sham iaitu seorang ulama besar dikatakan meninggal di Baghdad pada 237 Hijrah ada berkata: “Empat perkara tidak diketahui nilainya kecuali oleh empat, masa muda nilainya diketahui orang tua, nilai kebahagiaan diketahui orang ditimpa bencana, nilai kesihatan diketahui orang sakit dan nilai kehidupan diketahui orang mati.”

    Dalam satu nukilan, sesetengah ulama berkata: “Waktu adalah pedang. Jika kamu tidak memotongnya dengan amal kebajikan, waktu akan hilang tanpa ada gunanya.”

    Ada penyair bermadah:

    Wahai zaman engkau menangisinya,

    Ketika engkau menjadi di lain kesempatan, maka saya menangisinya.

  • Orang selalu buat dosa merintis kecewa

    Setiap orang sebaik saja bangun daripada tidur pada pagi hari akan berfikir untuk melakukan sesuatu yang betul. Mindanya yang bersih mengatur dirinya untuk bertindak sedemikian.

    Contohnya, dia sebagai lelaki yang bersiap untuk keluar ke tempat kerja. Dia menyikat rambut dengan kemas, memasukkan tali pinggang pada seluarnya dengan betul dan memakai kasut yang sesuai.

    Namun, selepas itu dia mungkin melakukan kesilapan ataupun kesalahan. Faktor dari dalam diri atau luaran mempengaruhinya untuk melakukan tindakan yang salah. Dia mungkin memandu tanpa lesen atau setibanya di simpang, tidak mengendahkan lampu isyarat.

    Mutakhir ini pula, ketika maklumat di hujung jari, mungkin ada orang bersarapan atau bekerja sambil membaca berita mengenai seseorang. Lantas dia mengata, mencerca dan mentertawakan orang terbabit.

    Sedar atau tidak, dia sudah melakukan kesalahan demi kesalahan. Bayangkan sepanjang hari, berapa banyak kesalahan dilakukan? Berapa banyak pula dosa dilakukan sama ada di tempat kerja, di jalanan mahupun di rumah?

    Memanglah manusia biasa tidak terhindar daripada kesalahan. Malah, bukan semua hal yang salah harus dicela seperti seorang murid memberikan jawapan salah, perlu diperbetulkan serta diberi bimbingan sewajarnya.

    Apa pun, kesalahan tidak harus dipandang remeh, apatah lagi hal yang mengundang kemurkaan Allah dan dihukumkan berdosa. Allah melarang hamba-Nya daripada melakukan dosa, malah orang berdosa akan dibalas dengan azab di akhirat kelak.

    Firman-Nya dalam surah al-An’am, ayat 120 bermaksud: “Dan tinggalkanlah dosa yang terlihat ataupun yang tersembunyi. Sungguh, orang-orang yang mengerjakan (perbuatan) dosa kelak akan diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.”

    Ayat 74, surah Thaha bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sungguhnya baginya adalah neraka jahanam. Dia tidak mati (terus merasakan azab) di dalamnya dan tidak (pula) hidup (tidak dapat bertaubat).”

    Orang berdosa juga disifatkan sebagai orang yang rugi lagi hina. Firman-Nya yang bermaksud: “…sesungguhnya orang-orang yang berbuat dosa itu tidak akan beruntung.” (Surah Yunus, ayat 17)

    Pada surah al-An’am, ayat 124 antara lain menerangkan: “Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah.” Justeru, awasilah diri daripada melakukan kesalahan dan usah memandang remeh kepada dosa andai tidak mahu tergolong orang yang rugi, hina dan mendapat seksaan daripada-Nya. Segeralah memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya.

    Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, seorang bijaksana berkata: “Awas daripada dosa kerana dosa itu sial. Sialnya bagaikan peluru mortar yang memecahkan dinding taat. Lantas memasukkan angin hawa nafsu dan memadamkan pelita makrifat.”

    Kitab itu juga menceritakan, Malik bin Dinar bertemu dengan Atabah al-Gulam pada musim dingin. Atabah hanya memakai kemeja lusuh. Dia berdiri dan berfikir, sedang peluhnya bercucuran.

    Lantas ditanya oleh Malik: “Apakah yang menyebabkan engkau berdiri di sini?” Jawabnya: “Hai guruku, inilah tempat yang saya pernah buat dosa.” Yakni dia sedang berfikir dan berasa malu kepada Allah yang dia sudah berbuat dosa di tempat itu sehingga berpeluh pada musim dingin.

    Selepas mengetahui sedikit sebanyak mengenai bahaya dan betapa sialnya dosa, apakah anda masih berasa selesa dengan kesalahan dan dosa dilakukan seolah-olah tiada apa-apa yang tidak kena, bahkan boleh saja ketawa dalam melakukannya?

    Hakikatnya, orang yang selalu membuat salah dan dosa adalah orang yang lemah dan keliru. Kehidupannya merintis kekecewaan.

    Orang yang selalu membuat perkara betul adalah orang yang mempunyai kefahaman tepat terhadap sesuatu perkara. Hidupnya akan beroleh kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Waspadalah hari demi hari yang dilalui.

  • Bebaskan dirimu daripada belenggu nafsu, harta benda

    Orang Islam berjiwa merdeka. Dirinya tidak menjadi hamba nafsu dan harta benda. Malah, dia tidak diperkudakan oleh mana-mana pihak, kerana dia sedar pengabdiannya hanya kepada Allah semata-mata.

    Sedar hakikat itu, dia sentiasa berwaspada dalam tindakannya.

    Dia tidak memuja demi habuan dan tidak meminta-minta kedudukan, malah tidak mudah lupa diri apabila mendapat kurniaan.

    Hal ini kerana dia memahami firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)

    Kefahaman dan ketaatan seseorang berbeza-beza mengikut tahap ilmu dan imannya. Ada orang sukar dimanipulasi, namun bukan sedikit mereka yang mudah ditewaskan. Dengar saja ada kelapangan dan janji kesenangan, nafsunya mula berangan dan menjadi liar.

    Jika kita perhatikan kisah Qarun, dia dianugerahkan perbendaharaan harta yang tiada tandingan. Namun, kerana dia megah, lupa diri dan zalim, dia ditenggelamkan ke dalam bumi.

    Firman-Nya bermaksud: “Maka Kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada satu golongan pun yang menolongnya selain Allah dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri.” (Surah al-Qasas, ayat 81)

    Perhatikan juga kisah Firaun dikurniakan kesenangan dan kekuasaan, menjadi angkuh sehingga mengaku dirinya tuhan. Dia tidak percaya kepada Nabi Musa dan derhaka kepada Allah.

    Firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 38 bermaksud: “Dan Firaun berkata: Wahai pembesar kaumku! Aku tidak mengetahui ada tuhan bagimu selain aku.

    Maka bakarkanlah tanah liat untukku wahai Haman (untuk membuat batu-bata)! Kemudian buatkanlah bangunan yang tinggi untukku agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa dan aku yakin dia termasuk pendusta.”

    Seterusnya, dalam surah sama ayat 40 diterangkan, maksudnya: “Maka Kami seksa dia (Firaun) dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang zalim.”

    Justeru, janganlah sampai kesenangan, kekuasaan dan kedudukan dicapai membelit diri kita. Ingatlah, kita hidup kerana-Nya dan kembali kepada-Nya.

    Ambillah teladan Nabi Muhammad SAW yang ikhlas dalam hidupnya. Baginda berpegang teguh kepada Allah dan tidak langsung terpedaya dengan habuan dunia walaupun ditawarkan kepadanya.

    Dalam Ensiklopedia Sirah dijelaskan, pada suatu ketika beberapa pembesar Quraisy datang menemui Baginda sambil berkata: “Wahai Muhammad, engkau telah menghina tuhan-tuhan kami, menabur benih perpecahan dan perbalahan dalam kalangan kami, meretakkan hubungan kami serta kesengsaraan dan kedukaan kepada kami semua.

    “Jika engkau mahukan kekayaan, kami akan jadikan kamu orang yang paling kaya di negeri ini. Jika engkau mahukan kuasa dan kepemimpinan, kami jadikan kamu sebagai pemerintah kami.

    “Jika engkau mahukan perempuan yang cantik, sebutkan saja namanya dan dia menjadi milikmu. Jika engkau sakit, kami mendapatkan doktor yang terbaik untuk mengubatimu.”

    Rasulullah SAW mendengar semua itu dengan tenang, kemudian menjawab yang bermaksud: “Aku tidak mahu sebarang harta atau kekayaan, tidak juga ingin menjadi raja atau pemerintah, aku tidak mahu perempuan dan aku tidak sakit.

    “Aku tidak berminat dengan apa pun cadangan engkau. Aku hamba Allah yang merendah diri, yang mengutuskan aku kepada engkau sebagai Rasul-Nya untuk memberi amaran kepada kamu mengenai hukuman-Nya jika kamu menolak ajaran-Nya dan memberitahu engkau berita gembira mengenai kurniaan-Nya jika kamu menerimanya.

    “Jika kamu menerima ajaran ini dan mengikutiku, kamu mendapat kebaikan di dunia dan di hari akhirat.”

  • Amal ibadat dengan riyak adalah binasa

    Perkataan riyak adalah berasaskan daripada perkataan Arab. Ia bererti memperlihat-lihatkan, menonjol-nonjolkan ataupun mempamerkan amalan ketaatan atau amalan berbentuk ibadat kepada makhluk dengan tujuan untuk mendapat tempat di hati mereka.

    Berdasarkan nas al-Quran dan hadis, ulama sependapat bahawa riyak hukumnya haram, termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai amal ibadat.

    Antara nas itu ialah firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran mengenai sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.” (Surah Hud, ayat 15)

    Ayat berkenaan mendapat sokongan dan penjelasan daripada beberapa hadis Rasulullah SAW, antaranya hadis daripada Abu Hurairah RA, mafhumnya: “Aku (Allah) adalah yang terkaya (secara mutlak) daripada  disekutui (atau dikongsi). Maka, sesiapa yang beramal suatu amalan yang disekutukan bersama-Ku dalam amal itu dengan selain-Ku, Aku tinggalkan bersama sekutunya.”

    Setiap amal ibadat yang dilakukan dengan tujuan riyak adalah binasa dan terhapus nilai pahalanya di samping ia boleh menyebabkan dosa.

    Namun nilai dosa itu berbeza-beza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riyak serta berbeza mengikut kelainan tujuan riyak dan peringkat tujuannya.

    Jenis riyak

    1.Riyak yang jelas.

    Yang menjadi pendorong kuat dan jelas kepada amal ibadatnya ialah riyaknya. Kalau tidak dorongan riyaknya, sudah tentu dia tidak melakukan amal ibadatnya.

    2.Riyak yang tersembunyi dan tidak jelas

    Kalau kerana riyak saja sudah pasti dia tidak melakukan ibadat. Contohnya seorang yang biasa bangun malam untuk solat tahajud, cuma kadangkala dia berasa malas untuk solat. Tetapi kerana ada tetamu dan tetamu itu pula telah bangun malam untuk tahajud menyebabkan dia ringan untuk bangun solat. Jadi, solatnya didorong sedikit oleh riyak yang tidak jelas.

    Riyak yang tidak jelas ini tidak membatalkan asal pahala walaupun menjejaskan pahala amalnya mengikut kadar riyaknya.

    3.Riyak yang lebih tersembunyi dan amat samar

    Riyak ini bukan yang mendorong amal ibadat atau yang boleh berasa mudah dan ringan untuk beramal ibadat. Namun sifat riyaknya itu ada terpendam dalam dirinya. Riyak ini hanya dikenali melalui tandanya.

    Antara tandanya ialah berasa suka dan bangga dengan pujian. Mungkin seseorang itu benar-benar melakukan ibadat secara ikhlas tanpa dorongan riyak, malah membenci dan tidak menyukainya sehinggalah ibadatnya selesai dilakukan dengan sempurna.

    Namun apabila amalnya itu diketahui orang, dia berasa gembira. Jika gembira itu semata-mata gembira sebagai suatu tabiat semula jadi manusia, lebih-lebih lagi dia tidak mengharapkan supaya ibadat atau amalannya itu diketahui orang, maka hal seperti ini tidak merosakkan amalan.

    Tetapi jika dia berasa suka dan sememangnya dia mengharapkan supaya diketahui orang, maka riyaknya ini ditakuti boleh merosakkan pahala amalannya.

    Malah ada yang lebih tersembunyi daripada itu yang hanya dapat disedari oleh mereka yang halus dan bersih hatinya.

    Semuanya ini adalah untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada. Jika sudah berjaya mengatasi riyak yang jelas, janganlah mengambil mudah dengan riyak yang lebih halus. Jika sudah berjaya di peringkat ini, janganlah pula berasa diri telah terselamat daripada segala bentuk riyak.

    Sayidina Ali bin Abi Talib dipetik sebagai berkata: Tanda orang yang riyak ada empat:

    1. Malas jika bersendirian.
    2. Tangkas (rajin) jika di muka orang (depan orang).
    3. Menambah amalannya jika dipuji.
    4. Mengurangi (amalannya) jika dicela.
    Sumber dan Rujukan: Tafsir Pimpinan ar-Rahman; Riyadus Solihin & Penjelasannya; Akhlak dan Tasawuf, Mohd Sulaiman Hj Yasin; Tanbihul Ghafilin.

You cannot copy content of this page