Kategori: UMUM

  • Elak sifat berlebihan, raih anugerah

    Mengelak daripada mencintai duniawi, dianugerahkan cinta akhirat – foto hiasan.

    Amirul Mukminin Sayidina Umar al-Khattab RA dipetik sebagai berkata:

    • Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam berkata-kata, maka dia dianugerahkan hikmah (kebijaksanaan).
    • Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam melihat, nescaya dianugerahkan hati yang khusyuk.
    • Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam makan, nescaya dianugerahkan kelazatan dalam beribadat.
    • Sesiapa menghindari daripada berlebih-lebihan dalam ketawa, maka dianugerahkan kewibawaan.
    • Sesiapa meninggalkan bergurau, nescaya dianugerahkan wibawa yang anggun.
    • Sesiapa mengelak daripada cinta dunia, maka dianugerahkan cinta akhirat.
    • Sesiapa meninggalkan kesibukan meneliti aib orang lain, nescaya memperbaiki aib dirinya sendiri.
    • Dan sesiapa meninggalkan daripada mengintai-intai keadaan Allah Taala, maka dia dianugerahkan kebebasan daripada kemunafikan.
  • 10 ciri kejahatan

    Menurut kitab Tanbihul Ghafilin, kejahatan ada 10 ciri:

    1. Menyebabkan murka Allah, padahal Allah berkuasa ke atasnya pada setiap waktu.
    2. Menggembirakan musuh Allah, dan musuh-Nya iaitu Iblis.
    3. Menjauh dari syurga.
    4. Mendekat kepada neraka jahanam.
    5. Mengabaikan kepentingan diri sendiri.
    6. Mengotori diri sendiri.
    7. Mengganggu malaikat yang menjaganya.
    8. Menyedihkan kepada Nabi SAW di dalam kuburnya.
    9. Mempersaksikan kepada siang dan malam atas kejahatan dirinya dan menyusahkan mereka.
    10. Mengkhianati semua makhluk daripada anak Adam dan lainnya.

    Adapun khianat terhadap anak Adam, maka andai bagi tiap-tiap orang itu ada kewajipan persaksian, nescaya tidak akan diterima persaksiannya kerana dosa itu, bererti membatalkan atau merosakkan hak kawannya (bangsanya) kerana dosanya itu.

    Khianat terhadap semua makhluk, sebab adanya dosa itu mungkin mengurangi hujan, maka di sinilah terletak khianat terhadap semua makhluk.

    Justeru berhati-hati daripada dosa, kerana dosa itu mengandungi ciri berkenaan dan bererti penganiayaan terhadap diri sendiri.

  • 6 wasiat berharga

    Foto hiasan – Unsplash

    Disebutkan Tanbihul Ghafilin, seorang datang kepada Abdullah bin Abbas RA dan berkata: Berilah nasihat saya.

    Abdullah bin Abbas RA berkata: Saya berwasiat kepada anda dengan enam perkara:

    1. Keyakinan hati anda terhadap sesuatu yang dijamin Allah untuk anda.

    2. Melaksanakan kewajipan pada waktunya.

    3. Lidah basah dengan zikir kepada Allah.

    4. Jangan menuruti syaitan, kerana ia hasad (atau hasut) kepada manusia.

    5. Jangan memakmurkan dunia kerana ia akan merosakkan akhirat anda.

    6. Hendaklah anda sentiasa menasihatkan orang Muslimin.

  • Siapa orang lebih bodoh?

    Orang disampuk dengki tak boleh tengok orang lain lebih senang, lebih bergaya daripadanya – Foto hiasan.

    Kadang-kadang di depan kelihatan bukan main manis lagi senyuman…amboi baik sangat.

    Tapi di belakang, lain…air muka pekat, air liur jadi kelat, kelihatan sangat marah.

    Selalu jumpa dengan orang sebegitu? Begitulah secebis gambaran mengenai orang yang dengki kepada orang lain…seperti kawan-kawan, adik-beradik, sesama staf atau pekerja bawahan.

    Orang dengki pantang lihat orang lain senang, gembira, bergaya, ah…ringkasnya tak boleh lihat atau tahu bahawa orang lain lebih segala-galanya daripada dirinya. Mata tajam, pembuluh darah mengalir laju, fikiran berkecamuk…serba tak kena…ah, ah, tak senang duduk.

    Ini terutama masyarakat yang selesa dalam keamanan dan kemakmuran. Bagi masyarakat dikelilingi dan dihujani peluru seperti di Gaza dan di sesetengah tempat di benua Afrika, mereka tak sempat untuk dengki satu sama lain, sebab setiap detik memikirkan keselamatan diri, anak-anak dan keluarga.

    Kita, ketika aman, sihat dan selesa, tak habis dengan dengki dan benci. Kadang-kadang tak puas dengan dengki dan benci sendiri, dipengaruhi pula orang lain, orang sekeliling untuk turut sama dengki dan benci kepada orang terbabit. Ah…teruk!!!!

    Dalam riwayat Abu Dawud, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad memakan kebaikan laksana api memakan kayu bakar atau baginda menyebut rerumputan.”

    Menurut Ibnu Athaillah, orang yang sibuk memikirkan nikmat (kesenangan) dunia yang diberikan kepada orang lain adalah orang yang lebih bodoh, sebab dia memikirkan nikmat yang dia tidak milikinya.

    Justeru jika tidak ingin dicop bodoh, usah berdengki…buang jauh-jauh sifat dengki khianat, bersihkan hati, sucikan jiwa.

  • 3 perkara jangan

    Jangan diganggu orang Mukminin – Foto Unsplash

    Beramal ibadat tidak mudah. Ramai orang tahu dan ramai juga orang tidak tahu. Namun dalam ramai yang tahu, ramai juga buat-buat tidak tahu.

    Hendak mengetahui sesuatu tidak susah tetapi hendak mengamalkan yang sudah diketahui tidak mudah.

    Dalam hubungan ini, kita boleh perhatikan senario di sekeliling kita bahkan diri kita sendiri, sama ada dalam soal mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, halal haram ataupun patut tak patut dalam menghadapi kehidupan harian dan hubungan sesama manusia.

    Sayidina Ali bin Abu Talib dipetik berkata: Seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka orang enggan belajar daripadanya. Sebab seorang alim jika tidak mengamalkan ilmunya, maka ilmu itu tidak berguna baginya meskipun dia telah mengumpulkan ilmu sebanyak-banyaknya.

    Sebab kami mendapat berita bahawa seorang daripada Bani Israel telah menghimpun ilmu sebanyak lapan puluh peti besar daripada ilmu, tiba-tiba Allah menurunkan wahyu kepada nabi, supaya memberitahu kepada orang alim itu: Andai kamu menghimpun dua kali ganda daripada ilmumu itu, maka tidak berguna selama kamu tidak mengerjakan tiga perkara:

    1. Jangan cinta kepada dunia, sebab dunia ini bukan tempat tinggal tetap bagi orang Mukminin (beriman).
    2. Jangan bersahabat dengan syaitan sebab ia bukan sahabat orang Mukminin.
    3. Jangan mengganggu orang Mukminin sebab yang demikian itu bukan perbuatan orang Mukminin.

    Al-Auzaie berkata: Sesiapa mengamalkan apa yang telah diketahui, maka akan diberikan taufik untuk mencapai apa yang belum diketahui.

    Firman-Nya bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7)

    Ayat 97, surah an-Nahl, bermaksud: “Sesiapa beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

    “Sesiapa mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri…” (Maksud daripada ayat 15, surah al-Jatsiyah)

    “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Maksud daripada ayat 20, surah al-Muzzammil)

  • 5 sebab gagal beramal

    Foto hiasan – Unsplash

    Seorang bijaksana ditanya: Mengapakah kami mendengar pengajian tetapi tidak dapat mengamalkannya?

    Jawabnya: Kerana lima perkara:

    1. Allah memberikan nikmat kepada kamu tetapi kamu tidak bersyukur.
    2. Kamu melakukan dosa tetapi tidak istighfar (memohon keampunan).
    3. Kamu tidak suka mengamalkan apa yang telah kamu ketahui.
    4. Kamu bersahabat dengan orang-orang yang baik tetapi tidak mengikuti amalan mereka.
    5. Kamu selalu menguburkan orang mati tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.
  • 3 perkara untuk dirisaukan

    Foto hiasan – Unsplash

    Seorang hakim (kata tunggal kepada hukama, yang bererti orang atau ahli bijaksana) berkata: Sesiapa risau bukan kerana tiga perkara, maka dia tidak mengenal (erti) risau dan senang:

    1. Risau mengenai iman, apakah ia akan dibawa terus hingga mati atau tidak.

    2. Risau terhadap perintah Allah, apakah dia dapat melaksanakan dengan sebaik-baiknya ataupun tidak.

    3. Risau memikirkan orang yang akan menuntut padanya kelak (di akhirat), apakah dia termasuk golongan selamat ataupun tidak.

  • Jangan ada dusta

    Daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya benar (jujur) menuntun kepada kebaikan dan kebaikan menuntun ke syurga. Sesungguhnya seorang selalu berkata benar sehingga dicatat di sisi Allah orang yang benar (siddiq). Sesungguhnya dusta menuntun kepada keburukan dan keburukan menuntun ke neraka. Sesungguhnya seseorang selalu berkata dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Seterusnya, daripada Abdullah bin Amr bin As, Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Empat sifat, sesiapa ada pada dirinya, dia munafik tulen dan sesiapa yang pada dirinya terdapat salah satu antaranya, maka pada dirinya ada sifat nifak (sifat orang munafik), sehingga dia meninggalkannya, iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila bertengkar dia menuduh yang bukan-bukan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huzaifah bin al-Yaman RA berkata: Dahulu di masa Rasulullah SAW ada ketika seseorang yang mengucapkan sepatah kata boleh menjadi munafik dan kini saya mendengar perkataan itu keluar daripada kamu sepuluh kali dalam sehari.

    Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Sebenar-benar keterangan ialah kitab Allah, semulia-mulia perkara ialah zikrullah (mengingati Allah), sebusuk-busuk buta ialah buta hati, yang sederhana mencukupi lebih baik daripada yang banyak dan melupakan, seburuk-buruk penyesalan ialah menyesal (pada) hari kiamat, sebaik-baik kekayaan ialah kaya hati dan sebaik-baik bekal ialah takwa. Khamr (arak) menghimpun segala dosa dan wanita perangkap syaitan. Muda itu sebahagian daripada gila dan sebusuk-busuk penghasilan ialah riba. Sebesar-besar dosa ialah lidah pendusta.

    Seharusnya seorang Muslim menjaga diri daripada tanda-tanda munafik, sebab seorang jika biasa berdusta pasti dianggap pendusta dan munafik. Ia dibebani dosa orang yang mengikut sikapnya.

    Firman Allah bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, ayat 18)

    Sumber: Tanbihul Ghafilin, Riyadus Solihin dan Tafsir Pimpinan ar-Rahman.
  • Lima khabar gembira

    Foto hiasan Unsplash

    Ada lima macam khabar gembira, sebagaimana dijelaskan dalam Tanbihul Ghafilin:

    1. Bagi orang awam daripada Mukminin diberitahu: Jangan takut, kamu tidak akan kekal di dalam neraka bahkan kamu akan mendapat syafaat nabi dan orang-orang soleh dan jangan sedih atau berduka atas kekurangan pahala dan kamu pasti masuk syurga.
    2. Bagi orang ikhlas: Kamu jangan khuatir kerana amalmu telah diterima dan jangan sedih terhadap kekurangan pahala kerana kamu pasti mendapat pahala berganda.
    3. Bagi orang bertaubat: Kamu jangan khuatir terhadap dosamu. Semua sudah diampuni dan jangan sedih terhadap pahala, pasti kamu dapatkan atas amalmu sesudah taubat.
    4. Bagi orang zuhud: Kamu jangan khuatir mahsyar atau hisab dan jangan berduka, sebab tidak akan dikurangi pahalamu yang berganda itu dan terimalah khabar gembira bahawa kamu akan masuk syurga tanpa hisab.
    5. Bagi ulama yang mengajarkan kebaikan kepada manusia: Kamu jangan takut daripada dahsyat hari kiamat dan jangan berduka sebab Allah akan membalas amalanmu dengan syurga, juga orang yang mengikuti jejakmu.
  • 10 kebaikan bersedekah

    Abu Laits menasihatkan, bersedekahlah dengan sesuatu, sedikit atau banyak, kerana sedekah mempunyai sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima di akhirat.

    Adapun lima di dunia ialah:

    1. Membersihkan harta kekayaan.
    2. Membersihkan badan daripada dosa.
    3. Menolak bala dan penyakit.
    4. Menyenangkan hati orang miskin, sedang sebaik-baik amal menyenangkan orang Mukmin.
    5. Menjadikan berkat dalam harta dan luas rezeki.

    Lima di akhirat:

    1. Sedekah menjadi naungan baginya.
    2. Sedekah akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
    3. Memberatkan timbangan amal kebaikan.
    4. Memudahkan menyeberang di atas sirat.
    5. Bertambah darjat di syurga.
  • 7 karakter harus diambil peringatan

    Amirul Mukminin Sayidina Umar al-Khattab RA dipetik berkata: “Sesiapa banyak ketawa, sedikit kewibawaannya. Sesiapa meremehkan manusia, dia akan dihinakan. Sesiapa lebih banyak (kerap) terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya. Sesiapa banyak bicaranya, banyak pula salahnya. Sesiapa banyak kesalahannya, sedikit perasaan malunya. Sesiapa sedikit perasaan malunya, sedikit waraknya. Dan sesiapa sedikit waraknya, matilah hatinya.”

    1. Sesiapa banyak ketawa, hilang wibawa dirinya.

    Banyak ketawa akan menghilangkan rasa hormat daripada orang lain. Justeru, seseorang tidak dianjurkan ketawa sehingga terbahak-bahak, apatah lagi asyik dengan jenaka kerana ia boleh mendorong sikap lupa dan cuai terhadap tanggungjawab yang sepatutnya disempurnakan.

    Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Aishah RA berkata: “Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa kuat sehingga nampak anak tekaknya, (tetapi) Baginda tersenyum sahaja.”

    Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Jauhilah bergurau senda kerana gurau senda itu pekerjaan orang yang dungu, yang dapat menyebabkan iri hati.”

    2. Sesiapa meremehkan orang lain, dia akan terhina.

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Cukuplah seseorang dianggap berbuat keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim.” (Riwayat Muslim)

    3. Sesiapa lebih banyak terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya.

    Memang ada benarnya. Orang yang selalu terbabit dalam sesuatu hal akan dikenali dengan hal berkenaan. Jangan sampai kita dikenali dalam hal tidak baik sehingga merosakkan maruah diri.

    Kata Sayidina Ali RA: “Harga diri seseorang terletak pada keahliannya.”

    4. Sesiapa banyak bicaranya, banyak salahnya.

    Imam Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang banyak bercakap, banyak salahnya. Sesiapa banyak hartanya, banyak dosanya. Sesiapa jahat akhlaknya, akan menyeksa dirinya sendiri.”

    Tuhan berfirman dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

    5. Sesiapa banyak kesalahannya, sedikit perasaan malunya.

    Orang yang kurang rasa malu selalu buat salah. Dia juga tidak hairan keburukannya terdedah di mata khalayak. Berbeza dengan orang yang menebal rasa malunya, sentiasa berwaspada dalam setiap tingkah lakunya.

    Kata sesetengah ahli ilmu: “Sesiapa memakai baju malu, orang lain tidak akan melihat nodanya.”

    Malu mendatangkan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

    6. Sesiapa sedikit perasaan malunya, sedikit waraknya.

    Warak ialah meninggalkan hal dibolehkan sebagai bentuk sikap hati-hati daripada hal yang mengandungi dosa.

    Daripada Anas RA, Nabi SAW pernah menemui sebiji kurma di jalan. Lantas, Baginda bersabda: Kalaulah bukan kerana saya khuatir kurma ini berasal daripada harta sedekah, pasti saya akan memakannya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    7. Sesiapa sedikit waraknya, matilah hatinya.

    Orang paling jauh dari Allah adalah orang yang mati ataupun keras hatinya. Apabila hati mati, seseorang itu tidak akan menerima nasihat dan peringatan. Kata apa saja kepadanya, semua tidak dipedulikan, bahkan dipersenda-sendakan.

    Menurut Imam al-Ghazali, kita diwajibkan menjaga hati dan menjadikannya baik dengan sungguh-sungguh, kerana hati bahagian tubuh manusia paling besar bahaya, kuat pengaruhnya, bahkan sukar dan pelik masalahnya serta paling halus dan rumit untuk membaikinya.

    Ayuh, sama-sama kita renungi dan cuba fahami. Mudah-mudahan penjalanan hidup kita lebih fokus, lebih lurus selepas ini dan tidak terumbang-ambing dalam kekeliruan dan kejahilan.

  • 10 sifat buruk

    10 sifat buruk dan lebih buruk jika berada pada orang tertentu:

    1. Kejam dalam kekuasaan.

    2. Bakhil dalam kekayaan.

    3. Tamak pada ulama.

    4. Rakus pada orang miskin.

    5. Tiada malu pada bangsawan.

    6. Berlagak muda padahal sudah tua.

    7. Orang lelaki menyerupai wanita atau

    8. Wanita menyerupai lelaki.

    9. Orang zuhud yang mendekati ahli keduniaan.

    10. Kejahilan dalam ahli ibadat.

    Sumber: Tanbihul Ghafilin

You cannot copy content of this page