Kategori: BERITA

  • Serangan peluru berpandu berat Iran mendatangkan malapetaka di Tel Aviv

    TEHRAN – Angkatan Tentera Iran melancarkan serangan peluru berpandu balas baru terhadap rejim Zionis pada pagi Khamis dalam apa yang disifatkan Israel sebagai serangan paling berat yang pernah mereka hadapi sejak rejim mereka melancarkan perang pencerobohan terhadap Iran pada 13 Jun.

    Media Israel melaporkan gelombang peluru berpandu Iran yang terbaru telah menghujani tiga lokasi di Kawasan Metropolitan Tel Aviv dan satu tempat di selatan bandar itu.

    Serangan peluru berpandu pada Khamis, yang dipercayai sebagai serangan paling berat sejak permulaan operasi balas dendam Iran, telah membunuh tiga dan mencederakan 30 setakat ini, lapor media berbahasa Ibrani.

    Harian Israel Yedioth Ahronoth berkata Iran telah menggunakan gabungan peluru berpandu dan dron dalam serangan itu.

    Bangunan Exchange Ramat Gan nampaknya menjadi sasaran di bahagian timur perbandaran Tel Aviv.

    Radio Tentera Israel berkata Iran telah melancarkan gelombang serangan peluru berpandu terbesar terhadap rejim Zionis sepanjang 48 jam lalu dengan menembak sehingga 30 peluru berpandu balistik.

    Pada malam Rabu, Kor Pengawal Revolusi Islam melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sasaran Israel menggunakan peluru berpandu Sejjil dua peringkat berat, jarak jauh, untuk kali pertama.

    TASNIM

  • Iran serang tapak perisikan tentera Israel, bukan hospital – media kerajaan

    TEHRAN, 19 Jun – Iran menyasarkan kemudahan perisikan tentera Israel dalam serangannya di bahagian selatan negara itu pada pagi Khamis, bukan hospital seperti yang dilaporkan oleh beberapa media, kata agensi berita Iran IRNA.

    Serangan itu disasarkan ke ibu pejabat kor telekomunikasi C4I tentera Israel dan kemudahan perisikan, kata IRNA, sambil menambah bahawa hospital terbabit terjejas oleh gelombang kejutan letupan itu.

    Beberapa media melaporkan peluru berpandu Iran melanda Pusat Perubatan Soroka di bandar selatan Beersheba, Israel, dengan pegawai melaporkan “kerosakan besar”.

    Media Israel mengeluarkan rakaman yang menunjukkan tingkap pecah dan asap hitam tebal. Masih belum jelas berapa ramai orang yang cedera dalam serangan itu.

    Sementara itu, Israel menyerang kemudahan air berat Arak Iran, kata televisyen negara Iran pada Khamis, sambil menambah bahawa kemudahan itu telah dipindahkan sebelum serangan dan tidak ada ancaman kebocoran.

    Israel sebelum ini memberi amaran tentang kemungkinan serangan ke atas kemudahan itu.

    XINHUA

  • Bayi maut dihempap lengan bapa kena serangan jantung, bapa turut meninggal

    MELAKA – Bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai lemas akibat dihempap lengan bapanya yang secara tiba-tiba diserang sakit jantung di rumah mereka di Jalan Perigi Hang di sini, pagi tadi.

    Bapa bayi berkenaan turut disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Kejadian jam 9.30 pagi disedari ibu bayi itu, Azura Abdul Malik, 40, yang pulang ke rumah dari tempat kerja untuk membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy mendapatkan suntikan di klinik kesihatan.

    Azura berkata, setiba di rumah, dia terkejut melihat keadaan bayinya berada di bawah lengan suaminya, Nurul Effendy Ibrahim, 35, yang ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Saya terkejut bila masuk ke dalam bilik tidur. Saya lihat kedua-dua mereka yang berada di atas katil tidak sedarkan diri, namun tiada kesan darah.

    “Ketika itu, bayi masih bernyawa namun keadaannya begitu lemah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

    Katanya, dia bergegas memberitahu adik iparnya yang tinggal di hadapan rumah sebelum mereka membawa bayinya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, namun anak bongsunya itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd Supian Md Dali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pada jam 9.58 pagi.

    Menurutnya, bomba dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia di lokasi dan bayinya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

    “Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan di kediaman sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dibatalkan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Penuntut universiti miliki 5,000 bahan lucah kanak-kanak ditahan, dua sepupu jadi mangsa

    KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti ditahan dalam Op Pedo selepas dikesan menyimpan lebih 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan bahan lucah dewasa, April lalu.

    Rampasan bahan lucah itu termasuk rakaman yang dipercayai dihasilkan sendiri membabitkan dua sepupu bawah umur.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata tangkapan dibuat pada jam 4 petang, 29 April lalu, hasil maklumat kerjasama dengan pihak Google.

    “Pasukan serbuan terdiri daripada Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kontinjen Johor menahan lelaki itu di Gudang, Johor.

    “Hasil pemeriksaan mendapati dia ialah penuntut universiti dan pemeriksaan lanjut menemui 5,000 CSAM serta bahan lucah dewasa di dalam peranti milik suspek yang dipercayai dimuat turun dari Internet.

    “Turut ditemui ialah bahan-bahan yang disyaki dihasilkan sendiri oleh suspek, membabitkan dua mangsa kanak-kanak tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Siti Kamsiah berkata, tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan lanjut menunjukkan suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang juga sepupunya.

    “Suspek merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan,” katanya.

    Beliau memaklumkan, tiga lagi kertas siasatan berasingan turut dibuka bagi menyiasat insiden di kontinjen berkaitan.

    “Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku bersalah serta membayar denda RM5,000.

    “Sementara itu, bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan berhubung kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebun sawit di Maran, Pahang, masih dalam kajian pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

    “Bagi kejadian di Kelantan yang berlaku tahun lalu dan tahun ini di rumah nenek suspek, siasatan juga sedang diteliti oleh pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pemandu lori rogol anak dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    KLANG – Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anak perempuannya pada November 2024 dan Mei lalu.

    Hukuman itu dijatuhi Hakim Siti Aminah Ghazali selepas tertuduh berusia 37 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh penjara berkenaan.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 14 Jun lalu.

    Mengikut pertuduhan, pemandu lori berkenaan didakwa merogol anak kandungnya di sebuah rumah di Klang pada jam 3 petang 10 November 2024 dan 7 pagi, 17 Mei lalu.

    Ketika kejadian mangsa berusia 10 dan 11 tahun.

    Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan supaya dia dapat berubah selain menyara dua anak serta isteri.

    “Saya sangat menyesal perbuatan ini dan bertaubat tidak buat lagi. Harap mahkamah dapat dengar apa yang saya sampaikan dan kurangkan hukuman,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi memohon hukuman berbentuk pengajaran diberikan kerana ia membabitkan kesalahan serius dan mempertimbangkan kekerapan kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor.

    “Tertuduh sebagai bapa kandung mempunyai amanah menjaga dan membesarkan pengadu (anak) namun mengkhianatinya dengan perbuatan terkutuk,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pelajar universiti didakwa amang seksual sepupu bawah umur

    KLANG – Seorang pelajar universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuannya pada 2023 dan Mac lalu.

    Tertuduh yang berusia 19 tahun itu mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Mengikut dua pertuduhan, lelaki berkenaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Sungai Buloh.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 2.47 pagi pada 2 Mac lalu dan 10.43 pagi pada 3 Mac lalu.

    Mengikut pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama di rumah beralamat sama pada 10 September 2023.

    Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

    “Namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, saya cadangkan jumlah RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sama ada sendiri atau melalui wakil,” katanya.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah berikutan dia menyesal dan insaf dengan perbuatan serta berharap dapat dimaafkan.

    “Ini kesalahan pertama saya dan sebelum ini saya direman kurang sebulan dan ketika itu saya mengambil masa untuk merenung kesalahan serta bertaubat dengan apa yang saya buat.

    “Saya anak sulung daripada empat beradik, saya juga masih belajar jadi ayah adalah penanggung tunggal keluarga, justeru saya mohon jaminan rendah dikenakan,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos ini bagi penyediaan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh adalah pesalah muda serta jatuh hukum.

    BH ONLINE

  • Kes ceroboh rumah Zarina Anjoulie, pempengaruh tukar pengakuan kepada tak bersalah

    SEREMBAN – Seorang pempengaruh media sosial yang dituduh menceroboh rumah pelakon, Zarina Anjoulie pada awal bulan lalu, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula di Mahkamah Majistret, di sini.

    Wanita berkenaan, Nurul Nur Ariani Muhammad Zahari, 42, yang dihadapkan di hadapan Majistret Saiful Sayoti sebelum ini mengaku bersalah pada prosiding 19 Mei lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki sebuah rumah di Kampung Chelet, Nilai, kira-kira jam 5 petang, 7 Mei lalu.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, peguam, Mohd Anif Rafih memberitahu mahkamah, hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman, namun anak guamnya mahu menukar pengakuan.

    Pegawai pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna kemudian memohon satu tarikh bagi serahan dokumen sebelum mahkamah menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula dengan ikat jamin diteruskan.

    BH ONLINE

  • Gempa bumi 6.1 magnitud landa Hokkaido Jepun

    TOKYO, 19 Jun – Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda Semenanjung Nemuro di timur Hokkaido pada Khamis, kata agensi cuaca Jepun.

    Gegaran itu berlaku pada 8:08 pagi waktu tempatan (2308 GMT Rabu) pada kedalaman cetek di luar pantai tenggara Semenanjung Nemuro, berukuran 4 pada skala keamatan seismik Jepun 7 di bandar Kushiro, Prefektur Hokkaido, kata Agensi Meteorologi Jepun.

    Gempa bumi itu mungkin menyebabkan perubahan dalam paras air pasang kurang daripada 20 sentimeter di pantai timur Pasifik Hokkaido, tetapi tidak perlu risau tentang kerosakan, tambahnya.

    XINHUA

  • Rusia sedia serah 3,000 lagi mayat askar Ukraine: Putin

    ST. PETERSBURG, 19 Jun – Rusia bersedia menyerahkan mayat tambahan 3,000 askar Ukraine yang gugur, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis.

    “Kami telah memulangkan 6,000 mayat tentera Ukraine yang terkorban. Kami bersedia untuk menyerahkan kira-kira 3,000 lagi,” katanya semasa pertemuan dengan ketua-ketua agensi berita antarabangsa terkemuka di St. Petersburg.

    “Ini, saya ulangi, angka yang menyedihkan dan tragis,” kata Putin.

    XINHUA

  • AS akan tapis media sosial semua pemohon visa pelajar

    WASHINGTON, 18 Jun – Jabatan Negara AS pada Rabu mengarahkan misi diplomatiknya untuk menapis media sosial dan kehadiran dalam talian semua warga asing yang memohon visa pelajar.

    Misi diplomatik AS akan menyemak media sosial pemohon dan kehadiran dalam talian untuk “sebarang tanda permusuhan terhadap rakyat, budaya, kerajaan, institusi atau prinsip pengasas Amerika Syarikat,” menurut kabel jabatan yang dipetik oleh media AS.

    “Di bawah peraturan baharu, pegawai konsular akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan teliti terhadap semua pelajar dan pemohon pertukaran pelawat,” kata jabatan itu.

    Saringan akan dikenakan kepada kedua-dua pemohon visa pelajar baru dan kembali, dan pemohon yang enggan menetapkan tetapan privasi akaun media sosial mereka kepada “awam” mungkin ditolak.

    Pada Rabu, jabatan itu juga memberi kuasa kepada pos luarnya untuk menyambung semula proses bagi warga asing yang memohon visa pelajar, yang telah digantung sejak 27 Mei.

    XINHUA

  • Putin kata cari jalan untuk tamatkan konflik Iran-Israel adalah ‘hak untuk semua orang’

    ISTANBUL – Presiden Rusia Vladimir Putin berkata awal Khamis, Iran tidak mendapatkan sokongan ketenteraan daripada Moscow walaupun ketegangan semakin memuncak dengan Israel, mengecilkan kemungkinan wujudnya pakatan ketenteraan antara kedua-dua negara.

    “Iran tidak meminta kami untuk sebarang bantuan ketenteraan,” kata Putin semasa pertemuan dengan eksekutif agensi berita antarabangsa di St. Petersburg.

    “Walaupun ketika kami menawarkan untuk bersama-sama membangunkan sistem pertahanan udara pada masa lalu, terdapat sedikit minat dari pihak Iran,” tambahnya.

    Dia juga berkata bahawa mencari jalan untuk menamatkan permusuhan yang berterusan antara Iran dan Israel adalah “hak untuk semua orang”.

    “Adalah tepat bagi setiap orang untuk mencari jalan untuk menghentikan permusuhan dan mencari jalan bagi semua pihak dalam konflik ini untuk mencapai persetujuan antara satu sama lain untuk memastikan kedua-dua kepentingan Iran dalam satu pihak dalam aktiviti nuklearnya… dan untuk memastikan kepentingan Israel, dari sudut pandangan keselamatan tanpa syarat negara Yahudi itu,” katanya.

    Putin berkata terdapat pilihan untuk memastikan kepentingan Iran dan mengurangkan kebimbangan di pihak Israel dan ini telah dikemukakan kepada rakan-rakan.

    Beliau juga berkata bahawa Rusia dan Iran menandatangani kontrak untuk pembinaan dua lagi unit di Loji Kuasa Nuklear Bushehr.

    “Kerja sedang dijalankan, pakar kami berada di tapak – lebih 200 orang. Kami telah bersetuju dengan kepimpinan Israel bahawa keselamatan mereka akan terjamin,” tambahnya.

    ANADOLU

  • Operasi Janji Sejati III: Iran serang Israel guna peluru berpandu Sejjil buat kali pertama

    TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam melancarkan serangan peluru berpandu baharu ke atas sasaran Israel, menggunakan peluru berpandu Sejjil dua peringkat berat, jarak jauh, untuk kali pertama.

    IRGC melakukan gelombang ke-12 serangan peluru berpandu balas terhadap rejim Zionis sebagai sebahagian daripada Operasi Janji Sejati III pada malam Rabu.

    Dalam satu kenyataan, pejabat perhubungan awam IRGC mengumumkan pelancaran operasi itu, memberi amaran kepada peneroka Israel untuk melarikan diri dari wilayah yang diduduki.

    Kenyataannya adalah seperti berikut:

    “Gelombang kedua belas Operasi Janji Sejati III bermula dengan penembakan peluru berpandu Sejjil ultra-berat, jarak jauh, dua peringkat.

    Kepada penduduk wilayah pendudukan al-Quds (Jerusalem):

    Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran, yang disokong oleh negara Iran yang heroik, telah menghancurkan sistem pertahanan udara tentera Zionis dalam operasi sebelum ini. Kini, langit wilayah yang diduduki terbuka kepada peluru berpandu dan dron Iran.

    Serangan peluru berpandu akan tepat, berkesan dan berterusan, sama seperti semalam, ibu pejabat Mossad dan Aman, bersama-sama dengan pangkalan pejuang tentera Zionis di seluruh wilayah yang diduduki, telah disasarkan.

    Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah memberi amaran bahawa pintu neraka akan dibuka kepada anda. Peluru berpandu gemuruh Pasukan Aeroangkasa IRGC tidak akan membenarkan anda sesaat pun di luar tempat perlindungan bawah tanah. Sudah beberapa hari anda tidak melihat cahaya matahari.

    Yakinlah, bunyi siren amaran merah tidak akan berhenti seketika. Anda mesti sama ada memilih kematian yang perlahan dalam kehidupan neraka di tempat perlindungan atau menyelamatkan diri daripada serangan peluru berpandu 24 jam dan melarikan diri dari tanah yang dirampas oleh nenek moyang anda secepat mungkin supaya anda dapat bertahan.”

    Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam telah melancarkan beberapa pusingan serangan balas terhadap Israel sejak 13 Jun selepas rejim Zionis menyerang Iran. Serangan balas Iran telah menyebabkan kerosakan besar pada tentera Israel, perisikan dan tapak perindustrian.

    TASNIM

You cannot copy content of this page