Kategori: BERITA

  • Lebih 500 ditahan salah guna dadah suku pertama 2025 berkelulusan ijazah

    BUTTERWORTH – Data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan 559 individu atau 0.5 peratus yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah dalam suku pertama 2025 berkelulusan ijazah sarjana muda, sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata 2,323 orang pula memiliki diploma dengan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun, terjebak penyalahgunaan dadah jenis sintetik atau konvensional seperti heroin atau ganja.

    “Data juga menunjukkan 503 orang terbabit penyalahgunaan dadah berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 41,743 orang dan 30,016 orang berpendidikan tahap menengah.

    “Sebanyak 9,736 orang pula mempunyai tahap pendidikan sekolah rendah manakala 21,057 lagi tiada pendidikan formal,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Terdahulu, beliau menyertai Program Libat Urus Bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen yang juga Pengerusi PEMADAM negeri.

    Shamsul Anuar, juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan berkata, belia berusia 15 hingga 40 tahun kekal golongan penagih dadah paling ramai di seluruh negara dengan 65,264 orang atau 60.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.

    “Mereka ini harapan negara tetapi terbabit dengan penagihan dadah dan sangat membimbangkan kerana jumlahnya besar.

    “Kita juga beri perhatian kepada pelajar sekolah kerana bagi tempoh sama, 23 remaja berusia 14 tahun direkodkan terbabit dadah,” katanya.

    Shamsul Anuar berkata penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan generasi masa depan tetapi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk rawatan.

    Menurutnya AADK membelanjakan RM51 sehari untuk setiap pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

    Dalam pada itu, beliau berkata AADK menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian enam pelatih Puspen Jelebu, Negeri Sembilan melarikan diri pada awal pagi Selasa lepas.

    Siasatan oleh ibu pejabat AADK dan negeri meliputi semua aspek termasuk punca kejadian bagi membolehkan tindakan sewajarnya termasuk penambahbaikan dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang.

    Shamsul Anuar berkata lima daripada enam pelatih itu berjaya ditahan semula dan usaha giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi yang terbabit.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Putin beri amaran peluasan konflik di rantau ini

    TEHRAN, 21 Jun – Presiden Rusia memberi amaran mengenai peluasan konflik di rantau ini dan berkata dunia sedang menuju ke arah Perang Dunia III.

    Presiden Rusia Vladimir Putin melahirkan kebimbangan bahawa dunia sedang menuju ke arah Perang Dunia III.

    Bercakap kepada pemberita, pemimpin Rusia itu berkata bahawa keadaan itu membimbangkan.
    “Saya mengatakan ini tanpa bergurau atau mengejek. Terdapat kebarangkalian besar peperangan ini berlaku, dan kebarangkalian ini semakin meningkat, dan proses ini, yang berlaku di depan mata kita, akan memberi kesan langsung kepada kita.”

    Putin juga mengumumkan bahawa perang antara Iran dan rejim Israel tidak menyebabkan kenaikan harga minyak yang ketara dan tidak perlu bagi kumpulan OPEC+ campur tangan untuk mengawal pasaran minyak.

    Vladimir Putin turut mengumumkan semalam bahawa Moscow berkongsi “idea”nya dengan Iran dan Israel tentang cara menamatkan konflik itu.

    MEHR

  • Israel, AS kehabisan pemintas peluru berpandu: pegawai AS

    TEHRAN, 21 Jun – Seorang pegawai kanan AS mengatakan Washington dan Tel Aviv kehabisan bekalan pemintas peluru berpandu balistik, hanya beberapa hari dalam perang dengan Iran.

    Seorang pegawai kanan AS telah memberitahu Middle East Eye bahawa Israel, bersama-sama AS, kehabisan bekalan pemintas peluru berpandu balistik, hanya beberapa hari selepas perang dengan Iran.

    Presiden AS Donald Trump, yang pada mulanya menjauhkan diri daripada konflik, telah meningkatkan kehadiran tentera AS di rantau itu dan sedang mempertimbangkan untuk mengarahkan serangan ke atas Iran.

    Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Revolusi Islam, memberi amaran pada Rabu bahawa AS akan menghadapi “kemusnahan yang tidak boleh diperbaiki” jika ia beralih daripada menyokong pertahanan Israel kepada peranan aktif dalam menyerang wilayah Iran.

    MEHR

  • Derita 11 tahun: Bapa disyaki rogol 2 anak sejak umur 5, 6 tahun

    BATU PAHAT – Seorang buruh kebun sawit direman tujuh hari kerana disyaki merogol dua anak perempuannya sejak 11 tahun lalu.

    Majistret Nurasidah A Rahman di sini mengeluarkan perintah reman ke atas suspek berusia 44 tahun itu bermula hari ini hingga 27 Jun bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan laporan dibuat, suspek dipercayai merogol dua anak kandungnya itu sejak mereka berusia lima dan enam tahun di rumah mereka dan juga di pondok kebun sawit.

    Seorang mangsa itu yang kini berusia 17 tahun, dipercayai dirogol sejak berusia enam tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada hujung bulan lalu, manakala adiknya berumur 16 tahun dikatakan dirogol hingga 2022.

    Kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakannya kepada salah seorang guru sebelum mereka membuat laporan polis.

    Hasil siasatan awal polis mendapati dua beradik terbabit adalah anak sulung dan kedua suspek dengan insiden dipercayai berlaku ketika isterinya yang juga ibu mangsa sedang tidur atau tiada di rumah.

    Malah, ibu berusia 43 tahun itu dilaporkan tidak mengetahui kejadian berkenaan kerana suspek didakwa turut mengugut supaya kedua-dua mangsa tidak mendedahkannya kepada sesiapa.

    Difahamkan, suspek bersifat baran menyebabkan mangsa ketakutan kerana bimbang dipukul jika tidak menuruti arahannya.

    Sementara itu di mahkamah sama, seorang pelajar Tingkatan Tiga direman tujuh hari kerana disyaki meliwat rakan sekelas sebanyak enam kali sejak tahun lalu.

    Suspek berusia 15 tahun itu ditahan, semalam, selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis.

    Sebelum itu, ahli keluarga mangsa dikatakan menerima panggilan daripada pihak sekolah memaklumkan bahawa anak mereka dibuli seorang pelajar.

    Namun hasil soal siasat, mangsa mendakwa bahawa dia telah diliwat suspek, selain turut diugut jika menceritakan kejadian itu kepada guru atau ibu bapanya.

    BH ONLINE

  • Kedutaan Malaysia di Iran diarah tutup sementara operasi, semua warga segera pulang ke tanah air – Mohamad

    KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengarahkan Kedutaan Malaysia menutup sementara operasinya di Iran.

    Beliau sekali gus mengarahkan semua warga Kedutaan Malaysia di negara sedang bergolak itu supaya pulang ke tanah air dengan segera.

    Malah, Mohamad mengesahkan banyak kedutaan negara-negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik Iran-Israel.

    “Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta… semua rakyat Malaysia telah diminta keluar dari Iran.

    “Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran,” katanya, di sini, hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, awal pagi ini.

    Ia termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, dalam apa yang digambarkan sebagai ‘serangan pembukaan yang berjaya’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

    Serangan itu adalah tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel, beberapa jam sebelumnya.

    Media turut melaporkan Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara itu, termasuk rangkaian perbankan, berjaya digagalkan sejak tercetus konflik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Agensi Berita Mehr, semalam

    Dalam satu kenyataan, Komando itu memaklumkan bahawa antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan ‘distributed denial-of-service’ (DDoS) berskala besar, mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data, serta mengakibatkan kerosakan sebahagian ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkait dengan operasi ketenteraan.

    Pada Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan, seawal Jumaat.

    Beliau berkata, Menteri Luar memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.

    Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di Iran akibat ketegangan Iran-Israel, dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.

    Mohamad juga dipetik berkata, kementeriannya sudah menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.

    BH ONLINE

  • Terpaksa kerja buruh, rumah pula terbakar, Aiman teruskan hasrat ke Kolej Matrikulasi

    Wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, (kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Muhammad Aiman ketika ditemui di kediamanya di Kampung Ayer Chanal, di sini, semalam. BH ONLINE – Foto NSTP

    JELI – Demi meneruskan cita-cita ke menara gading, seorang pelajar lelaki nekad bekerja sebagai buruh bagi membolehkan dia mencari wang untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat mengubah nasib hidupnya.

    Muhammad Aiman Haqimie Muhammad Zamri, 18, mengakui tidak dapat membawa pulang wang yang banyak, hasil dua bulan bekerja buruh di Jerantut, Pahang, kerana sudah perlu mendaftar kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kelantan pada esok.

    Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, dalam dia berusaha mencari rezeki demi melanjutkan pelajaran, kediamannya sekeluarga di Kampung Ayer Chanal, di sini, terbakar 100 peratus pada 25 Mei lalu, menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

    Katanya, bagaimanapun, dia tetap meneruskan impiannya untuk melanjutkan pelajaran selepas turut mendapat dorongan bapa, Muhammad Zamri Mahamat, 46, dan ibu, Maizatul Hashilawati Mohd, 44, walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

    Saya tiada pilihan lain sebaliknya perlu terus kuat berhadapan dengan cabaran untuk melanjutkan pelajaran kerana ini satu-satunya jalan untuk merubah nasib kehidupan saya dan keluarga. Tambahan pula, saya menjadi harapan ibu dan ayah selepas abang sulung tidak dapat meneruskan pengajian juga kerana masalah kewangan.

    “Sejujurnya, banyak kelengkapan yang masih belum dibeli dan saya hanya memfokuskan untuk melengkapkan segala dokumen yang diperlukan untuk mendaftar esok. Bapa pula terpaksa menyewa kereta untuk menghantar saya ke Kolej Matrikulasi memandangkan satu-satunya kereta yang ada, rosak sejak beberapa tahun lalu dan tidak mampu untuk dibaiki.

    “Persiapan dilakukan ala kadar sahaja kerana tidak mahu membebankan ibu dan ayah, namun dalam masa sama, saya berdoa agar ada rezeki untuk saya membeli kelengkapan lain selepas ini termasuk komputer riba,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, di kediamannya di Kampung Ayer Chanal, di sini, semalam.

    Tuan Zaimah turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan selain sempat meninjau tapak kediaman keluarga Muhammad Aiman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

    Muhammad Aiman yang juga anak kedua daripada lima adik beradik berkata, buat masa sekarang mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah nenek yang bersebelahan dengan kediaman mereka.

    “Ujian hadir bertimpa-timpa sehingga ada masanya saya rasa berputus asa untuk meneruskan pelajaran sebaliknya mahu bekerja sahaja membantu bapa yang hanya mengambil upah menoreh getah untuk menampung kehidupan kami termasuk tiga lagi adik yang masih bersekolah.

    “Tetapi, saya sedar hanya ilmu yang dapat membantu saya mengubah kehidupan yang lebih baik.

    “Sebenarnya, saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan berharap semoga ada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas selesai pengajian di peringat matrikulasi,” katanya.

    Sementara itu, bapanya Muhammad Zamri berharap agar anaknya itu dapat terus fokus menimba ilmu sebaiknya selepas ini bagi mengejar impian menjadi guru seterusnya memiliki kehidupan yang jauh lebih baik.

    Tambahnya, dia juga berterima kasih kepada pihak Thirdforce yang menjadi satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu mereka sekeluarga terutama Muhammad Aiman yang sedang membuat persiapan ke Kolej Matrikulasi.

    BH ONLINE

  • Iran lancar gelombang baru serangan udara ke atas Israel

    TEHRAN, 20 Jun – Iran melancarkan pusingan baharu serangan peluru berpandu balas dan dron ke atas Israel pada petang Jumaat.

    Pencerobohan Israel tanpa provokasi di bumi Iran menyebabkan Tehran tiada pilihan selain mempertahankan negara Iran dan keselamatan negara dengan menyerang balik penjenayah Zionis. Sebagai sebahagian daripada tindakan balasnya, Iran melancarkan serangan peluru berpandu pusingan baharu yang menyasarkan wilayah Palestin yang diduduki pada Jumaat.

    Rejim Israel terus melakukan pencerobohan tanpa provokasi yang dimulakan seminggu lalu di bumi Iran. Selepas menerima tindak balas buruk daripada Angkatan Bersenjata Iran, pegawai rejim Zionis telah beralih kepada mengancam Iran untuk mengosongkan bandar mereka. Hari ini, negara Iran, dari utara ke selatan, dari timur ke barat, telah mencurah-curah ke jalan raya untuk menghadiri solat Jumaat dan mengadakan perhimpunan untuk menghantar mesej yang jelas kepada penceroboh Israel: Negara Iran akan mempertahankan tanah air mereka dengan sekuat tenaga dan mereka tidak akan melarikan diri ke mana-mana.

    MEHR, 20.6.2025

  • 21 cedera dalam serangan peluru berpandu Iran di utara Israel

    ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 21 orang cedera dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas bandar Haifa di utara Israel pada Jumaat.

    Sekurang-kurangnya 21 orang cedera, termasuk tiga dalam keadaan serius dan 18 cedera ringan akibat letupan dan serpihan, lapor Perkhidmatan Kecemasan Israel, Magen David Adom.

    Datuk bandar Haifa, Yona Yahav tiba di lokasi impak dan berkata: “Saya sangat tertekan. Dua titik strategik dilanda oleh Iran,” lapor akhbar harian Yedioth Ahronoth.

    Tentera Israel berkata sistem pertahanannya telah diaktifkan berikutan pelancaran peluru berpandu dari Iran.

    Saluran 12 Israel melaporkan 25 roket ditembak dari Iran ke arah Israel.

    Ia menambah bahawa roket Iran jatuh di enam lokasi di kawasan Tel Aviv, Haifa, dan Beersheba yang lebih besar di tengah, utara dan selatan Israel.

    Radio Tentera Israel kemudian melaporkan peluru berpandu Iran yang jatuh di bandar Beersheba pagi ini (Jumaat) “adalah peluru berpandu berkelompok” dan menyebabkan kerosakan yang ketara.

    Wartawan Anadolu melaporkan letupan kedengaran di tengah Israel ketika peluru berpandu Iran dipintas.

    Bagi pihaknya, Kor Pengawal Revolusi Iran berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka mencecah pelbagai sasaran Israel, termasuk pusat ketenteraan, industri pertahanan, pusat perintah dan kawalan serta pangkalan udara Nevatim dan Hatzerim, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

    Permusuhan tercetus Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa tapak di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

    Pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan ratusan cedera sejak itu dalam serangan peluru berpandu Iran.​​​​​​​​

    Sementara itu, di Iran, 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 cedera dalam serangan Israel, menurut laporan media Iran.

    ANADOLU, 20.6.2025

  • IRGC kata hentam pusat tentera, industri pertahanan Israel

    TEHRAN, 20 Jun – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata ia menjalankan operasi tepat terhadap pusat tentera, industri pertahanan, serta pusat perintah dan kawalan rejim Israel.

    Mengeluarkan kenyataan pada malam Jumaat, IRGC berkata bahawa gelombang ke-17 Operasi Janji Sejati III telah dijalankan di seluruh wilayah yang diduduki dan terhadap pelbagai sasaran, termasuk pusat tentera, industri pertahanan, pusat perintah dan kawalan, syarikat yang menyokong operasi ketenteraan rejim Israel, dan pangkalan udara Navatim dan Hatzerim.

    Pusat-pusat ini telah menjadi pusat operasi jahat terhadap penduduk Gaza, Lubnan, Yaman yang tertindas, dan perang yang dikenakan terhadap Republik Islam Iran sejak permulaan Operasi Ribut Al-Aqsa, tambah IRGC.

    MEHR, 20.6.2025

  • Perbincangan mengenai perubahan rejim di Iran tidak boleh diterima: jurucakap Kremlin

    MOSCOW, 20 Jun – Rusia menganggap sebarang perbincangan mengenai perubahan rejim di Iran sama sekali tidak boleh diterima, kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.

    “Ini tidak dapat dibayangkan. Sudah tentu, ia sepatutnya tidak boleh diterima walaupun untuk bercakap mengenainya secara terbuka,” kata Peskov kepada saluran berita British, Sky News sebagai tindak balas kepada retorik Barat mengenai potensi perubahan kuasa di Tehran.

    Dia memberi amaran bahawa sebarang penglibatan AS dalam konflik langsung antara Israel dan Iran akan meningkatkan keadaan dengan ketara dan seterusnya menjejaskan kestabilan rantau itu.

    “Keadaan sudah sangat tegang dan mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada rantau ini tetapi kepada kestabilan global. Memperluas geografi konflik dan menambah bilangan peserta akan menjadi lebih berbahaya,” katanya.

    Peskov seterusnya memberi amaran bahawa campur tangan AS dalam konflik Israel-Iran boleh “membuka kotak Pandora”.

    Kenyataannya itu menyusuli laporan bahawa Presiden AS Donald Trump berkata Washington mengetahui keberadaan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei tetapi pada masa ini tidak bercadang untuk “menghapuskannya”.

    Trump juga menuntut Iran “penyerahan tanpa syarat,” walaupun dia berkata dia lebih suka mengelak daripada mengerahkan pasukan tentera walaupun kesabaran Washington “tipis” berikutan serangan Israel ke atas sasaran Iran.

    Peskov berkata bahawa reaksi Rusia terhadap sebarang kemungkinan cubaan pembunuhan terhadap pemimpin tertinggi Iran akan menjadi sangat negatif. “Kami akan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian,” katanya.

    XINHUA

  • Rusia beri amaran kepada AS tidak buat silap terhadap Iran: Peskov

    TEHRAN, 20 Jun – Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak membuat sebarang kesilapan dalam menghadapi Republik Islam Iran.

    Rantau Asia Barat sedang bergelut dengan perang dan ini tidak baik untuk Rusia, katanya sambil menambah bahawa tercetusnya perang di rantau Asia Barat dianggap sebagai isu berbahaya.

    Jika Amerika Syarikat melakukan sebarang tindakan terhadap Iran, Moscow akan menganggapnya sebagai satu kesilapan yang serius kerana penglibatan AS dalam perang akan meningkatkan tahap ketegangan semasa, tegas Peskov, menurut Al Mayadeen.

    Dalam kes penglibatan AS untuk terlibat dalam peperangan bagi menyokong Israel, Moscow akan menganggapnya sebagai satu kesilapan politik kerana ia akan memburukkan lagi tahap ketegangan semasa di Asia Barat, tambahnya.

    Terdahulu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov mengecam peningkatan mendadak dalam ketegangan antara Israel dan Iran dan melahirkan kebimbangan selepas serangan Israel ke atas Iran.

    MEHR

  • Rakyat Israel lari ke Eropah melalui Semenanjung Sinai

    TEHRAN, 20 Jun – Media Israel berkata sebilangan besar penduduk Israel cuba memasuki Semenanjung Sinai untuk melarikan diri ke Eropah melalui Mesir, ketika peluru berpandu Iran terus melanda wilayah yang diduduki.

    Ketika peluru berpandu Iran terus menghentam wilayah yang diduduki dan tentera Israel nampaknya tidak dapat memintas sebahagian besar daripadanya, lapor Tehran Times.

    Sebuah akhbar Ibrani memetik seorang warga Israel sebagai berkata dia lebih suka memulakan perjalanan berbahaya di padang pasir daripada tinggal di wilayah yang diduduki.

    Laporan lain menunjukkan rakyat Israel juga membayar penyeludup untuk mengangkut mereka dengan bot ke Cyprus, kerana rejim telah menghalang peneroka meninggalkan wilayah yang diduduki buat masa ini.

    MEHR

You cannot copy content of this page