Kategori: BERITA

  • Pemimpin militan Uyghur terbunuh dalam serangan udara AS di utara Syria

    TEHRAN – Sebuah pesawat AS membunuh seorang militan Uyghur terkemuka di utara Syria, lapor Al Mayadeen.

    Pada malam Khamis, serbuan menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan luar bandar Idlib di utara Syria, membunuh Abu Dajanah al-Turkistani, yang berasal dari Uyghur.

    Al-Turkistani diiktiraf sebagai salah seorang pemimpin terkemuka dalam kalangan kumpulan militan Uyghur yang beroperasi di Syria.

    Dia sebelum ini memegang peranan utama dalam Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang kini dibubarkan, yang diketuai oleh pemimpin Syria sekarang Ahmad al-Sharaa (Abu Mohammad al-Jolani).

    IRNA

  • Tiada mangsa terselamat dijangka dalam perlanggaran pesawat di Washington D C – ketua bomba

    WASHINGTON – Kemungkinan tiada mangsa yang terselamat dalam perlanggaran udara pesawat penumpang dan helikopter tentera Blackhawk dekat Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington, D C, John Donnelly, ketua Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Perubatan Kecemasan D C, memberitahu sidang akhbar pada Khamis.

    Perlanggaran di udara itu berlaku sekitar jam 9 malam EST (0200 GMT Khamis), melibatkan sebuah jet serantau yang telah berlepas dari Wichita, Kansas, dan sebuah helikopter Blackhawk tentera. Lapangan Terbang Nasional Reagan akan kekal ditutup sehingga sekurang-kurangnya 11 pagi Khamis (1600 GMT) ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan, kata pegawai awal Khamis pada taklimat akhbar.

    XINHUA

  • Kerajaan mengesahkan 30 kematian dalam rempuhan di India

    NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 60 yang lain cedera semasa rempuhan awal Rabu pada perayaan mega Hindu yang sedang berlangsung, Maha Kumbh Mela, di negeri Uttar Pradesh di utara India, kata pegawai.

    Rempuhan pra-fajar itu tercetus selepas penghadang pecah ketika puluhan ribu penganut menyerbu Triveni Sangam semasa berendam di Prayagraj, kira-kira 196 km ke selatan Lucknow, ibu kota Uttar Pradesh.

    “Kira-kira 90 orang dibawa ke hospital dengan ambulans, tetapi malangnya, 30 telah meninggal dunia,” kata pegawai kanan polis Vaibhav Krishna yang bertugas di Prayagraj kepada media.

    “Daripada 30 maut, 25 telah dikenal pasti dan selebihnya masih belum dikenal pasti.”

    Pegawai polis itu berkata 36 orang sedang dirawat di hospital tempatan.

    Pada 2013, sekurang-kurangnya 40 terbunuh dalam rempuhan di stesen kereta api di Prayagraj semasa perayaan yang sama.

    XINHUA

  • Tragedi tanah runtuh di Miri: Identiti semua mangsa termasuk 5 maut dikenalpasti

    KUCHING – Identiti semua mangsa termasuk lima maut dalam tragedi tanah runtuh yang menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan perkembangan itu sebentar tadi.

    Mereka adalah Fatimah Dawi, 71; Sazarena Arabi, 41; Irsyad Syairah, 16; Nur Rania Syafiqah, 11, dan Nur Raisyah Syahirah, 8.

    Semua mangsa turut disahkan tinggal serumah.

    Identiti dua penghuni rumah sama yang terselamat dikenali sebagai Nur Irsalina Syairah, 17 dan Arabi Samsudin, 71.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu sebelum ini berkata 12 individu dikenalpasti terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu termasuk lima maut manakala dua lagi cedera.

    Terdahulu PGO JBPM Sarawak turut memaklumkan menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.58 pagi.

    Dalam pada itu, identiti lima lagi mangsa yang terselamat dalam kejadian itu turut sudah dikenalpasti.

    Mereka adalah Muhammad Mahmud, 60; Massahan Mustafa, 58; Nur Afiqah, 29; Nur Athirah Nabinah, 29 dan Nur Aqilah Nadirah, 18.

    Massahan disahkan mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri.

    Sementara itu, kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri itu pernah berlaku 16 tahun lalu.

    Dalam kejadian awal pagi 16 Januari 2009, dua pekerja stesen minyak terkorban selepas tertimbus dalam runtuhan yang turut meranapkan stesen terbabit.

    Pada 23 Januari 2014 pula, satu lagi kejadian tanah runtuh di kawasan berdekatan sehingga memaksa 16 penghuni rumah di situ meninggalkan kediaman mereka.

    BH ONLINE

  • Tragedi tanah runtuh di Miri: Mangsa terakhir ditemui lewat petang tadi

    KUCHING – Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh yang menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri, di utara Sarawak awal pagi tadi, ditemui lewat petang ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata mayat kelima itu dikenali sebagai Fatimah Dawi, 71, ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 6.06 petang.

    Katanya, mayat warga emas itu dibawa keluar dari kawasan runtuhan pada jam 6.26 petang sebelum dihantar ke Hospital Miri.

    “Secara keseluruhannya 12 individu dikenalpasti tinggal di dua rumah yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

    “Daripada jumlah itu, lima disahkan meninggal manakala dua lagi cedera. Mangsa yang cedera termasuk seorang ditemui di tempat kejadian manakala yang lain menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    BH pagi tadi melaporkan enam penghuni dua rumah di Kampung Lereng Bukit di Miri dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, awal pagi ini.

    Mangsa dipercayai dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. Daripada 12 penduduk yang terbabit, tujuh mendiami rumah bernombor Lot 287 A manakala bakinya di Lot 287 B.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.58 pagi.

    Mengulas lanjut, Alexson berkata mayat pertama tragedi tanah runtuh itu ditemui jam 6 pagi manakala kedua jam 10.40 pagi, ketiga (11.30 pagi) dan keempat (11.40 pagi).

    Setakat lewat petang tadi, identiti empat lagi mangsa yang terkorban itu belum didedahkan.

    Semalam, seramai 273 penduduk yang mendiami 32 rumah di Kampung Lereng Bukit ini diarah berpindah apabila runtuhan tebing Bukit Kanada, menjejaskan kediaman mereka.

    BH ONLINE

  • 10 orang awam ditembak mati di timur Afghanistan

    KHOST, Afghanistan – Lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati 10 orang awam, semuanya ahli keluarga yang sama di wilayah Khost timur Afghanistan pada malam Selasa, kata jurucakap kerajaan wilayah Mustaghfar Garbaz pada Rabu.

    Kejadian ngeri itu berlaku di daerah Ali Shir lewat Selasa apabila lelaki bersenjata tidak dikenali memasuki sebuah rumah dan melepaskan tembakan, membunuh 10 orang membabitkan dua lelaki dan lapan perempuan, termasuk kanak-kanak di tempat kejadian.

    Garbaz berkata usaha sedang dijalankan untuk menangkap dan membawa ke muka pengadilan mereka yang berada di sebalik pembunuhan itu.

    XINHUA

  • 2 lagi mayat mangsa tanah runtuh di Miri ditemukan

    KUCHING – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri menemukan dua lagi mayat mangsa yang kedua-duanya kanak-kanak perempuan, pagi tadi.

    Penemuan mayat itu menjadikan empat mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian yang dilaporkan pada 2.58 pagi.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mayat ketiga ditemukan kira-kira jam 11.38 pagi, manakala mayat keempat dijumpai jam 10 minit kemudian.

    Sebelum itu, pasukan operasi menemukan mayat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada jam 6.17 pagi dan seorang wanita dewasa pada jam 10.53 pagi.

    Usaha mencari seorang lagi mangsa, iaitu perempuan dewasa masih giat dijalankan.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • “Teluk Mexico masih Teluk Mexico”: presiden

    BANDARAYA MEXICO – Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menepis spekulasi pada Selasa selepas Peta Google berkata ia akan menamakan semula “Teluk Mexico” untuk pengguna AS berikutan perintah eksekutif.

    Jangan kita membuat spekulasi lebih lanjut mengenai perkara itu, kata Sheinbaum pada sidang akhbar biasa.

    Perintah eksekutif Presiden AS Donald Trump baru-baru ini untuk menukar nama teluk itu hanya terpakai untuk wilayah AS, jadi nama itu kekal sama untuk Mexico dan seluruh dunia, kata Sheinbaum.

    “Teluk Mexico masih Teluk Mexico,” katanya.

    Trump mengarahkan agensi persekutuan menukar nama “Teluk Mexico” kepada “Teluk Amerika” pada peta dan dokumen mereka sebagai sebahagian daripada siri tindakan eksekutif pada hari pertamanya kembali di Rumah Putih.

    XINHUA

  • Pembekal sandwic ham di UM didakwa guna logo halal palsu

    PETALING JAYA – Sebuah syarikat pastri dan pengarahnya yang membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis yang tular di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu supaya makanan itu boleh dimakan orang Islam, awal bulan ini.

    Bagaimanapun, Pengarah syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Ewe Sarn Yeun, 65, mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.

    Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didapati menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

    Produk makanan itu membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Sunway Damansara, di sini, pada jam 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu.

    Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, syarikat berkenaan yang diwakili Ewe selaku pengarah juga tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berdepan denda maksimum RM200,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Ewe yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat dan syarikatnya tidak mengaku bersalah masing-masing didakwa satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic terbabit di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

    Oleh itu, Ewe dan Shake and Bake Cafe didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.

    Bagi Seksyen 102 (1)(i), akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000, manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani menawarkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira ia membabitkan kes berkepentingan awam, selain memohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

    “Kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini adalah rentetan daripada video yang tular di media sosial dan syarikat serta pengarah yang dipertuduhkan adalah pembekal kepada barangan yang menjadi isu.

    “Sewajarnya pertuduhan ini memberi mesej kepada pembekal lain tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

    Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Ewe dan syarikat itu memohon jaminan RM120,000 bagi semua pertuduhan dengan mengambil kira reputasi anak guamnya yang memberikan kerjasama kepada KPDN sepanjang siasatan.

    “Pihak kami menegaskan isu kepentingan awam dibangkitkan pendakwaan adalah bukan terhadap tertuduh ini, tetapi syarikat lain menjadi viral (tular) di dada akhbar dan media sosial, tidak membabitkan syarikat Shake and Bake Cafe,” katanya.

    BH ONLINE

  • Jurusolek didakwa lakukan seks luar tabii ke atas pelakon remaja

    MELAKA – Seorang jurusolek lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon remaja lelaki di sebuah salun di Ayer Keroh, minggu lalu.

    Saril Sarip, 42, dari Durian Tunggal, Alor Gajah, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Haderiah Siri dan minta dibicarakan.

    Mengikut pertuduhan, Saril didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap penama berusia 18 tahun tanpa kerelaannya dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di salun dandanan rambut milik tertuduh di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 4.15 petang.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.

    Tertuduh yang diwakili peguam L Sharveen dan Chua Yong Yi, turut dikehendaki melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.

    Peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dan tertuduh yang masih bujang serta memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh, berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

    Tertuduh juga perlu menyara ibu berusia 78 tahun yang menghidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.

    Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai.

    Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 24 Februari depan bagi serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Kebakaran hotel di resort ski Turki mengakibatkan 66 maut, 51 cedera

    ANKARA – Kebakaran di Hotel Grand Kartal di resort ski barat laut Turki di Bolu membunuh 66 orang dan mencederakan 51 yang lain, kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada Selasa.

    Kebakaran berlaku pada 03:27 pagi waktu tempatan (0027 GMT) di hotel 12 tingkat itu semasa tempoh percutian yang sibuk, dengan lebih 230 tetamu hadir. Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan tetamu yang kelihatan menggunakan linen katil untuk melarikan diri dari tingkap.

    Gabenor Wilayah Bolu Abdulaziz Aydin berkata siasatan awal menunjukkan kebakaran bermula di kawasan restoran di tingkat empat sebelum merebak ke atas.

    XINHUA

  • Timbalan menteri luar Taliban gesa sekolah menengah perempuan dibuka

    Pelajar perempuan Afghanistan berjalan dekat Universiti Kabul di Kabul, Afghanistan, 21 Disember 2022. REUTERS

    KABUL – Pemangku timbalan menteri luar Taliban menyeru kepimpinan kanannya untuk membuka sekolah untuk gadis Afghanistan, antara teguran awam yang paling kuat terhadap dasar yang telah menyumbang kepada pengasingan antarabangsa terhadap pemerintahnya.

    Sher Mohammad Abbas Stanekzai, yang sebelum ini mengetuai pasukan perunding di pejabat politik Taliban di Doha sebelum tentera AS berundur dari Afghanistan pada 2021, berkata dalam ucapan pada hujung minggu bahawa sekatan ke atas kanak-kanak perempuan dan pendidikan wanita tidak selaras dengan undang-undang syariah Islam.

    “Kami meminta pemimpin Emiriah Islam untuk membuka pintu pendidikan,” katanya, menurut penyiar tempatan Tolo, merujuk kepada nama Taliban untuk pentadbirannya.

    “Pada zaman Nabi Muhammad SAW, pintu-pintu ilmu dibuka kepada lelaki dan wanita,” katanya.

    “Hari ini, daripada populasi empat puluh juta, kita melakukan ketidakadilan terhadap dua puluh juta orang,” tambahnya, merujuk kepada penduduk wanita Afghanistan.

    Komen itu adalah antara kritikan awam yang paling kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh seorang pegawai Taliban mengenai penutupan sekolah, yang mana sumber dan diplomat Taliban sebelum ini memberitahu Reuters dilakukan oleh pemimpin rohani tertinggi Haibatullah Akhundzada walaupun terdapat beberapa perselisihan dalaman.

    Taliban berkata mereka menghormati hak wanita mengikut tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam dan budaya Afghanistan.

    Mereka membuat u-turn (pusingan u) pada janji untuk membuka sekolah menengah untuk perempuan pada tahun 2022, dan sejak itu berkata mereka sedang mengusahakan rancangan untuk sekolah itu dibuka semula tetapi tidak memberikan sebarang garis masa.

    Mereka menutup universiti kepada pelajar perempuan pada penghujung 2022.

    Dasar itu telah dikritik secara meluas di peringkat antarabangsa, termasuk oleh sarjana Islam, dan diplomat Barat berkata sebarang laluan ke arah pengiktirafan rasmi Taliban disekat sehingga terdapat perubahan pada dasar mereka terhadap wanita.

    Jurucakap pentadbiran Taliban di bandar selatan, Kandahar di mana Haibatullah berpangkalan tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenai kenyataan Stanekzai.

    REUTERS

You cannot copy content of this page