Kategori: BERITA

  • Lima maut kemalangan tiga kenderaan di Jempol

    JEMPOL – Lima maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 6, Jalan Bahau-Rompin, dekat di sini, jam 9 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki 31 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan ke arah Bahau.

    “Di lokasi kereta Toyota Mark X yang dipandu lelaki berusia 51 tahun dikatakan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia menyebabkannya berpusing.

    “Kemudian sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang dipercayai terlanggar Perodua Axia,” katanya.

    Akibat kemalangan, pemandu Perodua Axia dan dua penumpang serta pemandu Toyota Mark X parah pada kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

    “Seorang lagi penumpang belakang berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah,” katanya.

    BH ONLINE

  • Lima beranak rentung dalam kebakaran di Umbai

    JASIN – Lima beranak termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jalan Bakti, Kampung Berangan 6, Umbai di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sufian Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.40 pagi.

    Dua jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi dan tiba jam 1.51 pagi.

    “Terdapat seorang wanita dewasa bersama empat kanak-kanak perempuan ditemui rentung dan seorang lelaki ditemui masih hidup.

    “Kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dan operasi terkawal,” katanya.

    BH ONLINE

  • Lebih 10 cedera dalam letupan grenad di Perancis

    PARIS – Lebih 10 orang cedera pada malam Rabu dalam letupan grenad (bom) di bandar Grenoble, tenggara Perancis, lapor akhbar harian Perancis Le Figaro.

    Letupan berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan di sebuah bar. Dua daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal, kata laporan itu, memetik sumber polis.

    Datuk Bandar Grenoble Eric Piolle di platform media sosial X mengecam “tindakan jenayah keganasan itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.

    Selepas siasatan awal, polis menolak serangan pengganas, menurut laporan itu.

    XINHUA

  • Pengaman Tunisia terbunuh di Republik Afrika Tengah

    TUNIS – Seorang pengaman Tunisia yang berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Afrika Tengah terbunuh dekat sempadan dengan Chad, Kementerian Pertahanan Tunisia mengumumkan pada Rabu.

    “Insiden itu berlaku pada petang Selasa, apabila peronda tentera Tunisia, sebahagian daripada Unit Intervensi Pantas yang ditempatkan di bawah topi keledar biru PBB, diserang hendap. Serangan itu mengakibatkan kematian seorang anggota peronda,” kata satu kenyataan kementerian.

    Peronda itu menjalankan misi rutin sebagai sebahagian daripada Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Republik Afrika Tengah.

    Tunisia mengerahkan Unit Intervensi Pantas ke Republik Afrika Tengah pada Jun 2021. Misi unit itu termasuk menyokong pasukan barisan depan, melindungi orang awam, mengamankan kawasan yang ditetapkan, mengiringi konvoi kemanusiaan dan melindungi kakitangan PBB.

    XINHUA

  • Kerajaan Malaysia, Razak Baginda diperintah bayar lebih RM9 juta kepada keluarga Altantuya

    SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda membayar lebih RM9 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

    Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang Altantuya, berkata Pesuruhjaya Kehakiman M Sumathi membenarkan permohonan penggantungan bersyarat oleh kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan terhadap bayaran ganti rugi itu.

    “Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan masing-masing mendepositkan RM4.702 juta, termasuk faedah dan kos RM25,000, kepada firma guaman Karpal Singh & Co dalam tempoh 30 hari bermula hari ini sementara menunggu pelupusan rayuan kes saman itu di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

    Menurutnya, rayuan defendan terhadap keputusan kes saman itu dijadualkan didengar pada 19 Mei ini.

    Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Samiah Rhazali dan Nik Mohd Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal, selaku plaintif, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 dengan menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

    Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membenarkan saman itu dan memerintahkan defendan bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta kepada keluarga berkenaan.

    Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.

    Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

    BH ONLINE-BERNAMA

  • Pelajar Tingkatan Tiga mengaku rogol kenalan perempuan dalam kebun

    BATU PAHAT – Seorang pelajar mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan merogol kenalan perempuan dalam sebuah kebun komuniti, tahun lalu.

    Majistret, Arun Noval Dass, menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan juga perintah ke atas tertuduh berusia 16 tahun itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 oleh seorang penjamin, sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.

    Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan tiga itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kebun komuniti di bandar ini, pada jam 11.30 malam, November tahun lalu.

    Berikutan itu, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

    Berdasarkan laporan, mangsa keluar bersama tertuduh membonceng sebuah motosikal dan bersiar-siar di sekitar bandar ini.

    Mangsa dan tertuduh kemudiannya singgah di sebuah kebun sebelum dibawa ke sebuah stor untuk melakukan perbuatan itu.

    Tertuduh ditahan pada jam 12.20 tengah malam di tepi jalan pada 7 Februari lalu bagi membantu siasatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam bela, Haryanti Othman, daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    BH ONLINE

  • Pekebun didakwa amang seksual anak 7 tahun

    KLANG – Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan berusia tujuh tahun hujung tahun lalu.

    Lelaki berusia 34 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai bapa kandung didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ketika kejadian.

    Perbuatan itu dilakukan di bilik tidur sebuah rumah di sekitar Kapar di sini, pada Disember 2024.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Sabit kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan kos ikat jamin dengan mengambil kira faktor tertuduh adalah bapa kandung dan mangsa tinggal bersama bapanya.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan kerana mempunyai tanggungan keluarga dengan gaji RM700 sebulan sebagai pekebun.

    Noridah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah tidak tinggal bersama atau menemui mangsa sepanjang perbicaraan kes.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan.

    Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa di sekitar Kuala Selangor, kira-kira jam 8.29 malam, 1 Februari lalu.

    Siasatan awal mendapati suspek bercerai sejak 13 Februari 2022 dan mangsa yang tinggal bersamanya dibenarkan bersama ibu pada hujung minggu serta cuti persekolahan.

    Wanita itu dimaklumkan oleh mangsa yang kini berusia lapan tahun bahawa suspek melakukan hubungan seks dengannya.

    BH ONLINE

  • Jurulatih badminton dengan status OKU mental, tak mengaku buat amang seksual

    IPOH – Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki, bulan lalu.

    Muhammad Faiz Zaini, 37, yang juga seorang jurulatih badminton, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 16 tahun dengan cara menyentuh kemaluan, mencium pipi, dan meraba badan mangsa bagi maksud seksual.

    Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyentuh kanak-kanak yang sama bagi maksud seksual dengan cara meraba dada mangsa yang dengan itu juga melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan masing-masing pada jam 7.15 malam 20 Januari lalu dan jam 2.30 pagi 21 Januari lalu di sebuah rumah di Hala Rapat Baru, Taman Seri Rapat, di sini.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, selain diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh antara satu hingga tiga tahun sebaik selepas hukuman dijatuhkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’Aini Khalifah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Qurratu’Aini menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melapor diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

    Tertuduh kemudiannya memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya memperoleh RM700 sebulan dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan selain perlu menyara ibu bapa serta dua anak berusia setahun dan dua tahun.

    Muhammad Faiz menyatakan RM700 itu adalah dari pendapatannya sebagai jurulatih badminton, manakala bantuan JKM diterimanya itu kerana dia adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) berikutan tahap kesihatan mentalnya dan pernah menerima rawatan sebelum ini.

    “Saya bekerja sebagai jurulatih badminton dan memperoleh RM700 sebulan. Saya juga seorang pemegang kad OKU memandangkan tahap kesihatan mental saya membuatkan saya pernah dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tanjung Rambutan sebanyak tiga kali sebelum ini,” katanya.

    Mendengar keterangan itu, Jean kemudiannya mengarahkan tertuduh dirujuk kepada HBUK bagi menjalani penilaian tahap kesihatan mental tertuduh, sebelum jumlah jaminan ditetapkan.

    “Memandangkan tertuduh adalah pemegang kad OKU, dia seharusnya dihantar ke HBUK untuk pemeriksaan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah sebelum saya menetapkan jaminan,” katanya yang menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Suami orang dicekup khalwat, sembunyi belakang langsir

    KULIM – Seorang lelaki ditemui bersembunyi di balik langsir tingkap rumah teman wanitanya dalam ketakutan ketika dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Kampung Pondok Labu Keladi, di sini, hari ini.

    Lelaki berstatus suami orang berusia 32 tahun itu dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) bersama imam masjid kariah berkenaan pada jam 1.20 pagi tadi.

    Pasangan itu mendakwa baru setahun berkenalan di media sosial dan lelaki itu sudah beberapa kali datang bermalam di rumah wanita berusia 37 tahun itu selepas ibu bapanya berpindah ke Jitra.

    Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, sejurus menerima aduan berhubung berlakunya kegiatan maksiat di rumah itu, pihaknya melakukan pemeriksaan dan mendapati rumah terbabit dalam keadaan berkunci dari dalam.

    Beliau berkata, selepas mengetuk pintu, seorang wanita yang hanya bertuala membukanya dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di rumahnya itu.

    “Hasil pemeriksaan lanjut menemui lelaki terbabit di balik langsir tingkap rumah berkenaan dengan hanya memakai seluar tanpa baju.

    “Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka adalah pasangan hubungan suami isteri atau mahram.

    “Lelaki berasal dari Sabah itu sudah berkahwin dan mendakwa isterinya lari mengikut lelaki lain manakala wanita itu pula masih bujang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya lagi, lelaki itu memberi alasan selalu menghantar wanita itu pulang kerja dan mengambil peluang untuk bermalam di situ disebabkan tiada sesiapa di rumah berkenaan.

    “Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

    BH ONLINE

  • 92 terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak gencatan senjata bermula: pihak berkuasa kesihatan

    GAZA – Tentera Israel membunuh 92 rakyat Palestin dan mencederakan 822 yang lain dalam serangan langsung di Semenanjung Gaza sejak gencatan senjatanya dengan Hamas bermula pada 19 Januari, lapor pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza pada Selasa.

    Pekerja kesihatan juga telah menemui 641 mayat, dengan kira-kira 197 daripadanya tidak dikenal pasti, sejak gencatan senjata berkuat kuasa, Munir al-Barash, ketua pengarah pihak berkuasa kesihatan, berkata dalam satu kenyataan.

    Sejak permulaan konflik antara tentera Israel dan Hamas pada awal Oktober 2023, jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Gaza telah meningkat kepada 48,219, dengan 111,665 yang lain cedera, kata pihak berkuasa kesihatan dalam satu kenyataan berasingan pada Selasa.

    XINHUA

  • Polis sahkan kejadian lelaki cedera disyaki ditetak di JB

    JOHOR BAHRU – Seorang lelaki cedera di kepala dipercayai ditetak dengan sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook di sini, hari ini.

    Kejadian di hadapan deretan kedai dekat kawasan tumpuan awam dekat pusat bandar raya.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Kita ada menerima laporan polis pada jam 2.52 petang tadi. Suspek sudah ditangkap.

    “Siasatan sedang dijalankan. Kenyataan media akan dikeluarkan selepas selesai siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar kejadian itu yang memaparkan keadaan mangsa ketika berlumuran darah.

    Turut dipaparkan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan gambar suspek sedang tertiarap dengan tangan bergari selepas dipercayai berjaya ditahan.

    Mengulas lanjut, Raub berkata mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sejurus kejadian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    BH ONLINE

  • Itali tahan 130 dalam serbuan besar ke atas Mafia Sicily

    ROME – Kira-kira 130 orang ditangkap pada Selasa dalam operasi besar-besaran terhadap mafia Sicily di Palermo, menunjukkan ia kekal sebagai kuasa jenayah yang ketara walaupun mengalami kemunduran dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

    “Cosa Nostra” sindiket mafia berpangkalan di dan sekitar Palermo, mengganas di Itali pada 1980-an dan 1990-an, tetapi sejak itu telah dipintas sebagai geng paling berkuasa di Eropah oleh ‘Ndrangheta Calabria.

    Suspek yang ditahan pada Selasa didakwa dengan pelbagai jenayah, termasuk mengedar dadah, cubaan membunuh, memeras ugut, perjudian dalam talian haram dan memiliki senjata api secara haram, kata polis Carabinieri dalam satu kenyataan.

    Waran tangkap tambahan telah dikeluarkan untuk 33 suspek yang sudah berada di penjara kerana jenayah lain.

    Siasatan mendedahkan keluarga mafia Palermo menyelaraskan aktiviti mereka di seluruh bandar dan wilayahnya, seperti yang biasa mereka lakukan pada zaman keemasan Cosa Nostra, terutamanya berkaitan pengedaran dadah, kata polis.

    Mereka berkata keluarga dalam bandar telah mendapat semula kuasa berbanding tahun-tahun di mana mereka dikuasai oleh puak dari Corleone – sebuah pekan di luar Palermo yang merupakan tempat kelahiran bos terkenal Toto Riina dan Bernardo Provenzano.

    Bos zaman moden menggunakan teknologi moden untuk menjalankan perniagaan mereka, menggunakan telefon mudah alih yang disulitkan yang diseludup ke dalam penjara untuk membolehkan bos yang dipenjarakan terus melaksanakan perintah mereka, kata penyiasat.

    Walaupun dilemahkan oleh aktiviti penguatkuasaan undang-undang, Cosa Nostra terus menarik golongan muda, kata Carabinieri, sambil menyatakan mereka mendokumentasikan satu contoh rekrut baru yang diberi “pelajaran mafia” oleh rakan sekutu yang lebih tua.

    Bakal mentor itu memberi lelaki muda itu “arahan khusus, menjemputnya untuk mengambil sebagai contoh kelakuannya terhadap orang yang akan dikenakan pemerasan, dan menasihatinya tentang cara untuk berhubung dengan pemimpin mafia,” kata kenyataan polis itu.

    Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, menulis di X, memuji penahanan pada Selasa sebagai “satu tamparan keras kepada Cosa Nostra” dan memberi isyarat jelas bahawa “perjuangan menentang mafia tidak berhenti dan tidak akan berhenti”.

    REUTERS

You cannot copy content of this page