Kategori: FIQAH

  • Pengharaman al-wasyam, an-namasy dan at-taflij

    Al-wasyam (tatu) dibuat dengan cara menusukkan jarum dan seumpamanya di belakang genggaman atau pergelangan tangan atau muka, bibir mulut dan anggota badan yang lain sehingga mengalirkan darah.

    Kemudian celak dan seumpamanya dimasukkan ke tempat tusukan itu. Dengan itu ia menjadi warna hijau.

    An-namasy iaitu mencabut bulu rambut di wajah (kening).

    At-taflij ialah menjarakkan gigi kacip dan geraham dengan alat kikir dan seumpamanya.

    Tiga perkara berkenaan adalah haram bagi lelaki dan perempuan. Tiada beza antara yang membuat dan yang meminta dibuat.

    Hal ini disebabkan adanya laknat ke atas mereka. Laknat tidak akan berlaku melainkan ke atas perbuatan yang haram, bahkan laknat juga ke atas dosa besar.

    Ahli fiqah menyatakan: Tempat yang ditatukan menjadi najis kerana ada darah beku di dalamnya.

    Sekiranya ia boleh ditanggalkan dengan perubatan, maka wajib dilakukan.

    Sekiranya tidak mungkin dilakukan melainkan dengan jalan pembedahan, jika dikhuatiri mengakibatkan kemudaratan ataupun aib yang teruk pada anggota yang jelas kelihatan seperti muka, kedua-dua tapak tangan dan selainnya, tidak wajib menanggalkannya. Cukuplah taubat yang akan menggugurkan dosa.

    Sekiranya tidak dikhuatiri sesuatu mudarat, maka ia mesti ditanggalkan dan berdosa melewatkannya.

    Dalil pengharaman tiga perkara berkenaan

    Dalil yang mengharamkan tatu, mencukur kening dan menjarakkan gigi ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Allah telah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuatkan tatu, orang yang mencukur keningnya dan menjarakkan giginya agar kelihatan cantik, juga orang yang mengubah ciptaan Allah.

    “Kenapa aku tidak melaknat orang yang telah dilaknat oleh Rasulullah SAW, sedangkan ada disebut dalam kitab Allah (ayat 7 surah al-Hasyr, maksudnya): Dan apa yang Rasul berikan kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya, maka tinggalkanlah.”

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan meminta disambungkan dan orang yang membuat tatu dan meminta dibuatkan tatu.”

    Pengecualian

    Mencabut bulu yang tumbuh di muka wanita yang berupa janggut dan misai dikecualikan daripada hukum mencukur bulu kening di muka dan tidak diharamkan mencukurnya. Bahkan, disunatkan mencabutnya kerana larangan hanya pada kening dan rambut yang berada di sekeliling wajah.

    Begitu juga tidak diharamkan apabila dicukur atas sebab perubatan ataupun keaiban yang ada pada gigi. Hal ini kerana yang diharamkan hanya apabila ia dilakukan untuk kecantikan dan pengelokan di samping mengubah ciptaan Allah.

    Hikmah pengharaman

    Hikmah pengharaman tatu, mencukur kening dan menjarakkan gigi jelas disebut pada hadis sebelum ini iaitu mengubah ciptaan Allah, kerana ia adalah penipuan dan menampakkan perkara yang tidak sebenar.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Menipiskan alis mata

    Antara yang dianggap berlebih-lebihan dalam menghias diri yang diharamkan Islam ialah mencukur rambut (atau bulu) alis mata atau bulu mata untuk meninggikannya atau menyama-ratakannya.

    Hadis Nabi ertinya: Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencukur alis matanya dan yang meminta dicukurkan alis matanya. (Diriwayatkan Abu Daud)

    Perkataan “Namisoh” (istilah Arab dalam teks hadis itu) ialah yang melakukannya sendiri, dan “Mutanammisoh” (istilah Arab dalam teks hadis itu) iaitu wanita yang meminta orang lain supaya mencukurkannya.

    Lebih menjadi haram lagi daripada hal pencukuran alis mata ini, apabila dibuatnya untuk menyundal atau sebagai lambang wanita sundal.

    Berkata sesetengah ulama mazhab Hanbali: Jika wanita memperhiaskan wajahnya dengan andaman, atau memerahkan pipinya, atau mewarnakan bahagian anggotanya, atau melentikkan bulu matanya, semua itu dibolehkan dengan keizinan suami, kerana semua itu termasuk memperindahkan diri.

    Tetapi Imam Nawawi memberatkan hukum haramnya pada andaman, kerana dianggapnya itu sama dengan maksud mencukur alis mata yang diharamkan itu.

    Pendapat Imam Nawawi ini boleh ditolak dengan apa yang disebutkan oleh Abu Daud dalam Sunannya iaitu bahawa “Namisoh” itu ialah wanita yang mencukur alis matanya hingga menjadi tipis, dan dalam sabda itu tidak termasuk mencukur rambut dahi dan menghilangkan lebat rambut (bulu) yang ada padanya (dahi).

    Ath-Thabari telah mengeluarkan satu berita daripada isteri Abu Ishak yang pada suatu hari datang ke rumah Aisyah RA, dan pada ketika itu isteri Abu Ishak masih muda lagi, gemar menyolek diri supaya kelihatan cantik. Lalu, dia bertanya kepada Aisyah: Bolehkah wanita mengandam dahinya untuk suaminya? Jawab Aisyah: Jauhkan dirimu daripada keburukan-keburukan semacam itu sedaya upayamu.

    Halal dan Haran dalam Islam, Dr Yusuf al-Qardhawi

  • Hikmah haram memakan bangkai

    Pertama yang disebut oleh ayat al-Quran daripada pengharaman makanan iaitu bangkai yakni binatang yang mati dengan sendirinya daripada binatang-binatang yang melata di atas bumi dan yang terbang.

    Kemungkinan ada pemikiran yang sezaman mahu tahu mengenai hikmah pengharaman (memakan) bangkai itu ke atas manusia serta dicampakkannya begitu saja tanpa diambil faedah daripadanya.

    • Bahawa tabiat manusia yang sihat tetap akan menjijikkkan bangkai itu dan memandangnya kotor, sedang para cendekiawan umumnya akan menganggap memakan bangkai itu suatu budi yang rendah bertentangan dengan kemuliaan darjat manusia. Sebab itu kita dapati semua agama yang mempunyai kitab perundangannya melarang memakan bangkai dan tidak membenarkan pemeluknya memakan binatang melainkan yang sudah disembelih terlebih dulu meskipun cara penyembelihannya agak berbeza-beza.
    • Bahawa untuk dibiasakan setiap Muslim agar menyimpan maksud dan kemahuan dalam segala urusannya. Jangan sampai dia mengambil sesuatu ataupun memetik buahan melainkan setelah dia menetapkan niatnya, tujuannya dan maksudnya. Jadi, ertinya penyembelihan yang mengelakkan binatang itu daripada menjadi bangkai hanya dengan meniatkan bahawa mencabut roh binatang itu kerana tujuan hendak memakannya. Maka, seolah-olah Allah tidak akan merelakan manusia memakan apa saja yang tidak dimaksudkan atau diingatkan untuk memakannya, sebagaimana biasanya berlaku pada bangkai. Adapun binatang yang disembelih atau yang diburu, maka kedua-duanya tidak akan boleh diambil untuk dimakan, melainkan dengan niat, usaha dan perbuatan.
    • Bahawa jika binatang itu mati dengan sendirinya, maka selalunya ia mati dengan sebab penyakit yang berterusan atau ditimpa bencana, atau kerana memakan tumbuhan beracun atau sebagainya, semua itu tidak terjamin selamat daripada bahayanya. Yang lain sepertinya, jika binatang itu mati daripada sebab terlalu lemah dan kurus, ataupun kerana keadaannya yang tidak normal.
    • Bahawa Allah dengan mengharamkan kita memakan bangkai, yakni kita bangsa manusia, dalam waktu yang sama telah memberi peluang kepada binatang dan burung untuk memakan bangkai itu sebagai rahmat daripada Allah kepada makhluk-Nya itu, kerana mereka itu adalah umat seperti kita juga sesuai dengan apa yang disebutkan oleh al-Quran. Hal ini jelas dapat dilihat di tanah-tanah lapang dan di tempat yang jarang terdapat bangkai binatang yang mati.
    • Bahawa wajarlah manusia menjaga sungguh-sungguh binatang yang dipeliharanya, jangan sampai dibiarkan menjadi mangsa penyakit dan kelemahan sehingga ia mati, maka akan binasalah harta miliknya. Bahkan hendaklah dia segera mengubatinya atau dipercepatkan ia disembelih supaya ia terbebas daripada penanggungannya.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi

  • Pengharaman makan, minum darah yang mengalir

    Benda kedua yang diharamkan (untuk makan atau minum) ialah darah yang mengalir, yakni yang cair.

    Pernah Ibn Abbas ditanpa mengenai limpa, maka jawabnya: Makanlah ia.

    Lalu mereka mengatakan: Bukankah itu darah?

    Lalu dijawab oleh Ibn Abbas lagi: Hanya Allah mengharamkan kamu memakan darah yang cair dan mengalir.

    Sebab pengharaman darah yang mengalir itu adalah kerana ia semacam barangan kotor dijijik oleh tabiat manusia yang sukakan yang bersih. Selain itu, juga dikhuatiri mendatangkan bahaya kepada manusia, sama seperti bangkai.

    Pernah dahulu di zaman jahiliah, ada orang yang apabila berasa lapar, lalu segera mencari sesuatu yang tajam seperti tulang dan seumpamanya, lalu ditusukkannya kepada untanya atau binatangnya, lalu diambil darah yang keluar daripada binatang itu dan diminumnya.

    Dalam hal ini, pemuisi al-A’masy merangkai baitnya:

    Awas kamu pada bangkai-bangkai itu, jangan kamu mendekatinya
    Jangan pula diambil tulang yang tajam, lalu ditusukkannya

    Lantaran pada tusukan itu akan berlaku penganiayaan terhadap binatang serta akan melemahkannya, maka Allah mengharamkan darah yang mengalir daripada perbuatan itu.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi

  • Pengharaman daging babi

    Benda ketiga yang diharamkan oleh Allah (daripada memakannya) iaitu daging babi, kerana tabiat yang sihat akan memandangnya kotor dan tidak menyukainya.

    Sebab binatang babi ini, makanan yang sangat disukainya itu ialah daripada benda-benda yang kotor, jijik dan najis.

    Ilmu kedoktoran moden menetapkan bahawa memakan daging babi itu adalah sangat berbahaya di seantero dunia, khususnya di daerah iklim panas. Dan sebagaimana telah sabit dengan penyelidikan ilmiah bahawa memakan daging babi akan menyebabkan lahirnya cacing kerawit yang sangat berbahaya dan lain-lain lagi daripada ulat-ulat yang dapat membinasakan.

    Dan siapa tahu barangkali dalam masa yang dekat ilmu moden akan mendedahkan banyak lagi daripada rahsia pengharaman itu, lebih banyak daripada apa yang sudah kita ketahui hari ini.

    Memang benarlah apa yang dikatakan Allah ketika Dia mensifatkan Rasul-Nya dengan firman-Nya: Bahawa dia (yakni Nabi Muhammad) telah mengharamkan ke atas mereka semua yang kotor-kotor.

    Ada sesetengah penyelidik mengatakan: Bahawa membiasakan diri memakan daging babi selalu akan menarik lemah perasaan cemburu terhadap hal-hal yang terlarang.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi

  • Haiwan disembelih bukan kerana Allah

    Benda keempat daripada yang diharamkan (daripada memakannya), iaitu apa yang disembelih bukan kerana Allah.

    Yakni yang disembelih dan yang ditujukan bukan atas nama Allah, seperti yang dimaksudkan untuk patung-patung berhala.

    Sebab selalunya para penyembah berhala, apabila mereka mahu menyembelih, mereka sering menyebut nama-nama berhala itu atas penyembelihan mereka, seperti nama Lata dan Uzza. Semua ini adalah pendekatan diri kepada selain Allah dan membuat peribadatan dengan menyebut selain nama Allah Yang Maha Besar.

    Jadi, illah (sebab) pengharaman di sini ialah illah agama semata-mata, dengan tujuan memelihara tauhid (pengesaan Allah), membersihkan kepercayaan (akidah) dan memerangi syirik dan upacara keberhalaan pada semua upacara daripada upacara-upacaranya.

    Sesungguhnya Allah sajalah yang mencipta manusia dan ditundukkan segala yang ada di muka bumi ini kepada manusia serta dijinakkan sesetengah binatang untuk kepentingannya dengan membolehkan mencabut nyawanya untuk maslahat dirinya dengan syarat disebutkan nama Allah ketika penyembelihannya.

    Menyebut nama Allah ketika penyembelihan itu bererti bahawa dia melakukan seperti itu terhadap binatang yang hidup ialah dengan keizinan daripada Allah dan kerelaan-Nya.

    Tetapi jika dia menyebut selain nama Allah ketika menyembelih binatang itu, maka samalah seperti dia membatalkan keizinan itu, dan wajarlah kalau begitu untuk diharamkan memakan binatang yang disembelihnya secara yang demikian itu.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardawi

  • Memanfaatkan kulit bangkai, tulangnya dan rambutnya

    Yang dimaksudkan daripada pengharaman bangkai ialah pengharaman memakan dagingnya.

    Adapun memanfaatkan kulitnya atau tanduknya ataupun tulangnya atau rambutnya tidak ada salahnya. Bahkan ia memang digalakkan, kerana barangnya boleh mendatangkan wang dan boleh dimanfaatkan oleh manusia, lantaran itu tidak patut disia-siakan begitu saja.

    Ada suatu riwayat daripada Ibn Abbas: Sekali peristiwa ada orang yang menyedekahkan kepada jariah (hamba perempuan) Ummil Mukminin Maimunah dengan seekor kambing, lalu kambing itu mati dan dibuang. Kemudian datang Rasulullah, melihat kambing itu, lalu berkata: Mengapa kamu tidak mengambil kulitnya, kemudian kamu menyamaknya dan dapat memanfaatkannya? Baginda dijawab: Binatang itu adalah bangkai. Jawab Nabi pula: Hanya yang diharamkan itu ialah memakan dagingnya saja.

    Rasulullah juga menunjukkan cara bagaimana hendak membersihkan kulit bangkai, iaitu dengan menyamaknya.

    Baginda bersabda: Menyamak kulit binatang itu samalah dengan menyembelihnya. (Riwayat Abu Daud dan Nasai)

    Yakni menyamak kulit binatang itu dalam segi pembersihannya adalah sama dengan menyembelihnya untuk menghalalkan binatang itu dimakan dan sebagainya.

    Dan dalam riwayat lain: Menyamak kulit binatang itu dapat menghilangkan kotorannya. (Riwayat Hakim)

    Yakni menjadikannya bersih dan suci.

    Dalam Sahih Muslim dan di tempat lain juga, tersebut sabda Nabi yang lain: Kulit apa saja kalau sudah disamak, maka sungguh ia sudah menjadi suci. (Riwayat Muslim)

    Hukumnya umum, yakni apa saja kulit, meskipun kulit anjing dan babi sekalipun. Kata (Pendapat) ini dikeluarkan oleh Ahluz-Zahir, yakni dipelopori oleh Daud az-Zahiri dan disebut juga oleh Abu Yusuf, pendukung Abu Hanifah serta diperteguhkan oleh as-Syaukani. (Kata kuat dari Imam Syafie bahawa yang demikian itu adalah haram seperti memakan dagingnya)

    Suatu riwayat daripada Ummul Mukminin Saudah, dia berkata: Sekali peristiwa telah mati seekor kambing kita, lalu kami menyamak kulitnya, kemudian kami letakkan padanya korma agar dimaniskan air padanya, sehinggalah ia menjadi tempat simpan air yang kekal. (Riwayat al-Bukhari)

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi

  • Hikmah menyebut bismillah ketika penyembelihan

    Adapun tuntutan menyebut nama Allah (bismillah) ketika menyembelih, maka yang demikian itu ada rahsianya yang halus, yang sepatutnya diperhatikan dan direnungkan dengan sebaik-baiknya.

    Pertama – dibuat begitu untuk menentang apa yang biasanya dibuat oleh orang-orang watsani yakni penyembah berhala yang selalunya menyebut nama-nama tuhan mereka yang ditujukannya ketika penyembelihan itu.

    Kalau orang musyrik yakni orang kafir menyebut nama tuhannya atau sembahannya ketika penyembelihannya, mengapa pula orang Mukmin tidak menyebut nama Tuhan Allah ketika penyembelihan itu?

    Kedua – bahawa semua binatang ini adalah sama belaka dengan manusia dalam hal ia salah satu makhluk Allah dan ia juga termasuk yang diwujudkan oleh Allah sebagai makhluk yang bernyawa.

    Maka, apa sebabnya manusia diberikan kuasa untuk membuat sesuatu ke atasnya serta mencabut nyawanya, kalau tidak dengan izin dan kebenaran daripada Penciptanya, yakni Allah yang menciptakan segala sesuatu di atas muka bumi ini semata-mata kerana makhluk manusia itu.

    Jadi, menyebut nama Allah di sini adalah semacam pengisytiharan kepada ramai mengenai keizinan Tuhan Pencipta.

    Seolah-olahnya manusia itu mengatakan: Sesungguhnya aku tiada membuat begitu kerana tujuan memusuhi atau menganiaya terhadap makhluk Allah ini dan tidak juga kerana mempersendakannya, tetapi aku membuatnya dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku menyembelihanya dan dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku memburunya dan dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku memakan dagingnya.

    Sumber: Halal dan haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi 

  • Penyembelihan ahli kitab – Yahudi dan Nasrani

    Kita telah melihat betapa Islam telah memberatkan perkara penyembelihan itu serta mengambil berat terhadap perkaranya. Sebab kaum musyrikin Arab dan selain mereka daripada penganut agama-agama yang lain menganggap perkara penyembelihan itu semacam upacara agama dan peribadatan mereka dan mereka menjadikannya terkira daripada urusan akidah dan kepercayaan mereka.

    Sebab itu mereka menjadikannya semacam ibadat untuk menyembelih sesuatu penyembelihan kepada tuhan-tuhan mereka.

    Maka, disembelihkannya binatang itu di hadapan berhala ataupun disebutkannya nama satu-satu berhala ketika menjalankan upacara penyembelihan itu.

    Apabila datang Islam, maka ia membatalkan semua upacara itu dan menetapkan bahawa tidak boleh lagi menyebut selain nama Allah dalam mana-mana penyembelihan.

    Dengan itu menjadi haramlah cara lama penyembelihan di hadapan berhala ataupun yang disembelih dengan menyebut selain daripada nama Allah.

    Ahli kitab, yakni Yahudi dan Nasrani asalnya ahli tauhid yakni daripada kaum yang mengesakan Allah. Kemudian telah menyerap ke dalam kepercayaan mereka dorongan syirik daripada orang-orang yang memeluk agama mereka daripada kaum musyrikin yang belum terkikis daripada hati mereka karat-karat syirik yang lama, sehingga perkara ini menjadi sangkaan pada sesetengah kaum Muslimin bahawa muamalah (urusan) ahli kitab itu dalam masalah penyembelihan sama dengan kaum penyembah berhala, maka ketika itu turun firman Allah yang membenarkan kaum Muslimin untuk memakan penyembelihan ahli kitab serta membolehkan juga mengikat tali persemendaan dengan mereka, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Maidah, dan ayat ini adalah antara ayat yang turun akhir sekali daripada al-Quran (maksudnya):

    “Pada hari ini dihalalkan bagi kamu semua yang baik-baik, dan begitu pula daripada makanan orang-orang yang diberikan kitab (ahli kitab) itu menjadi halal bagi kamu, dan makanan kamu juga menjadi halal bagi mereka.” (Al-Maidah, 5)

    (Nota penterjemah kepada sumber tulisan ini: Dalam masalah ini terdapat khilaf [perbezaan] antara ulama mazhab; ada yang tetap mengharamkan binatang yang disembelih ahli kitab, kerana [berpandangan] tiada ahli kitab yang tulen sekarang, yang masih berdiri atas kepercayaan kitab mereka yang asli, melainkan semuanya telah tercampur aduk dengan anasir kufur dan syirik dalam kepercayaan mereka, yang tinggal hanya nama dan lambang semata-mata.)

    Makna ayat ini secara ringkas bahawa pada hari ini telah dihalalkan bagi kamu makanan yang baik-baik, maka tidak ada lagi Bahiirah (anak unta yang dipotong telinganya), tidak Sa’ibah (unta betina yang dibiarkan berternak sendiri, tidak boleh diganggu), dan tidak Washilah (kambing betina yang telah beranak tujuh kali) dan tidak Haam (unta pembaka), dan makanan orang-orang ahli kitab daripada kaum Yahudi dan Nasrani, semuanya memang daripada asalnya halal, tidak pernah diharamkan oleh Allah sama sekali dan begitu pula makanan kamu adalah halal juga buat mereka. Maka, kamu bebas boleh memakan daripada daging-daging yang disembelih mereka daripada binatang-binatang, dan kamu juga boleh memberi mereka makan daripada daging-daging binatang yang kamu menyembelihnya atau yang kamu memburunya.

    Hanya yang diberatkan Islam atas kaum musyrikin Arab saja, manakala kaum ahli kitab diringankan, kerana mereka lebih dekat kepada kepercayaan kaum Mukminin, disebabkan mereka mengakui daripada hal wahyu dan kenabian serta asal-usul keagamaan secara total.

    Islam menyuruh kita berbuat baik kepada mereka dengan makan-makan dengan mereka, bersemenda dengan mereka dan melakukan segala yang bagus-bagus kepada mereka.

    Sebab dengan bercampur gaulnya mereka dengan kita, mereka akan mengenal Islam lebih dekat dari hal kedudukan usrah dan kekeluargaannya secara ilmi, amali dan budi pekerti.

    Ketika itu akan terbukti kepada mereka, bahawa agama yang kita anuti semestinya menjadi agamanya juga dari segi ketinggian lambangnya, kesempurnaan gambarannya dan kesucian kepercayaannya, yang terjauh dari segala macam bidaah, kebatilan dan keberhalaan.

    Dan ayat ‘makanan orang-orang yang diberikan kitab’ dalam al-Quran itu adalah umum, yakni boleh kepada semua makanan apa pun, termasuk penyembelihan mereka dan makanan-makanan yang lain juga, semuanya itu adalah halal, selagi tidak dipandang haram pada zatnya oleh Islam, seperti bangkai, darah yang mengalir, daging babi, maka semua ini tidak boleh dimakan oleh kaum Muslimin secara ijmak, yakni sepakat semua ulama, sama ada makanan itu daripada seorang ahli kitab mahupun daripada seorang Muslim sendiri.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi

You cannot copy content of this page