Kategori: FIQAH

  • Apa harus dilakukan sebaik selesai mengerjakan solat

    Sunat melakukan perkara berikut sejurus selesai mengerjakan solat:

    1. Istighfar, zikir dan doa.

    Imam Muslim meriwayatkan: Apabila Nabi SAW selesai daripada solatnya, baginda istighfar kepada Allah (memohon keampunan) sebanyak tiga kali dan baginda membaca:

    اَللَّهُمَّ اَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ

    (Bacaan dalam tulisan Rumi) Allaahumma antassalaam wa minkassalaam tabaarakta ya dzal jalaali wal ikraam

    (Ertinya: Wahai Allah, Engkaulah Tuhan as-Salam, daripada-Mu as-salam (kedamaian dan keselamatan), Maha Suci Engkau wahai Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan).

    Imam diharuskan mengangkat suara ketika berzikir apabila bertujuan mengajar (kepada makmum yakni mereka yang mengikuti imam) dan apabila mereka telah mempelajarinya, maka imam hendaklah merendahkan suaranya.

    Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA. Beliau memberitahu bahawa mengangkat suara ketika berzikir selepas orang ramai selesai mengerjakan solat adalah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Kaab bin Ujrah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Zikir-zikir (tasbih) yang dibaca berulang-ulang setiap kali selepas solat wajib, tidak akan menjadi sia-sia: Zikir-zikir itu ialah bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali.

    Menurut hadis riwayat Abu Hurairah RA: Dan bertakbir 33 kali, maka jumlahnya 99, kemudian dia membaca supaya cukup 100:

    لَا إِلٰهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَه لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَعَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر

    (Bacaan dalam Rumi) Laa ilaaha illallaah wahdahu la syariikalah lahul mulku wa lahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai-in qadiir.

    (Ertinya: Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian. Dan Dia amat berkuasa atas segala sesuatu). Akan diampunkan segala dosanya sekalipun sebanyak buih di lautan.

    At-Tirmidzi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesiapa mengucapkan selepas solat Subuh dalam keadaan dia masih melipatkan kakinya (belum beredar) dan belum bercakap:

    لَا إِلٰهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَه لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر

    (Bacaan dalam Rumi) Laa ilaaha illallaah wahdahu la syariikalah lahul mulku wa lahul hamdu yuhyii wa yumiit wa huwa ‘alaa kulli syai-in qadiir

    (Ertinya: Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya pujian, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia amat berkuasa atas segala sesuatu). Sebanyak 10 kali, maka ditulis untuknya 10 kebajikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan dan diangkatkan untuknya 10 darjat, dan dia sepanjang hari itu terpelihara daripada perkara tidak diingini dan dijaga daripada gangguan syaitan.

    Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya, lalu bersabda: Wahai Muaz, demi Allah, aku kasih kepadamu. Lalu baginda bersabda lagi: Wahai Muaz, aku wasiatkan kepadamu supaya jangan sekali-kali kamu tinggalkan pada setiap kali selepas solat doa:

    اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَىْ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِك

    (Bacaan dalam Rumi) Allaahumma a’inni ‘alaa zikrika wa syukrika wa husni ‘ibaadatik

    (Ertinya: Wahai Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadat yang baik kepada-Mu).

    2. Berpindah tempat dari tempat solat fardu ketika hendak menunaikan solat sunat.

    Ini dilakukan bagi memperbanyakkan tempat sujud, kerana semuanya itu akan menjadi saksi untuknya.

    Yang afdal (lebih baik) ialah apabila seorang itu solat (fardu) di masjid, maka solat sunat dilakukan di rumah.

    Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: Solatlah kamu wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang lebih afdal ialah solat seorang itu di rumahnya melainkan solat yang diwajibkan.

    Imam Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: Apabila seorang kamu telah selesai solatnya di masjid, maka lakukanlah juga solatnya di rumahnya. Sesungguhnya Allah menjadikan daripada solatnya itu kebaikan.

    3. Apabila mereka (orang lelaki) solat di masjid dan di belakang mereka ada wanita, maka disunatkan kepada lelaki agar tetap duduk di tempat mereka sehingga wanita meninggalkan tempat mereka. Ini kerana bercampur dengan mereka adalah perkara yang boleh membawa kepada kerosakan.

    Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah RA: Apabila golongan wanita di zaman Rasulullah SAW selesai melakukan solat yang diwajibkan, mereka bangun (meninggalkan tempat solat), sedangkan Rasulullah SAW bersama kalangan sahabat tetap berada di tempat mereka, sehingga suatu waktu dikehendaki Allah SWT. Kemudian, apabila Rasulullah SAW bangun, maka sahabat-sahabat pun bangun.

    * Nota: Perkara sunat – Orang melakukannya diberikan pahala tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • 7 jenis najis: Pembahagian dan cara menyucikan daripadanya

    Erti najis pada bahasa ialah semua benda kotor. Menurut syarak ialah benda yang kotor menghalang daripada sah solat seperti darah dan air kencing.

    Benda najis terlalu banyak. Di sini dinyatakan tujuh perkara:

    1. Arak dan semua cecair yang memabukkan.

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji).” (Surah al-Maidah, ayat 90)

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram.”

    2. Anjing dan babi.

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing (seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, basuhan pertama hendaklah dengan tanah (air yang dicampurkan dengan tanah).” (Riwayat Muslim)

    Menurut riwayat ad-Darulqutni, salah satu daripada air itu ialah dengan air tanah.

    3. Bangkai. Iaitu semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak.

    Firman Allah bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).” (Surah al-Maidah, ayat 3)

    Pengharamannya adalah disebabkan ia najis. Termasuk juga dalam hukum bangkai, semua yang disembelih untuk berhala dan yang disebut dengan nama selain daripada Allah.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

    (Namun) terdapat tiga jenis bangkai yang tidak dihukumkan sebagai najis:

    i. Bangkai (mayat) manusia.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al-Isra, ayat 70)

    Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah dia adalah suci sama ada ketika hidup ataupun mati.

    Imam al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Islam tidak najis.”

    Ibnu Abbas RA menyatakan: Orang Islam tidak najis, sama ada ketika hidup atau mati. (Riwayat al-Bukhari ketika melakukan komentar dalam kitab jenazah, bab memandikan mayat mengambil wuduk untuknya).

    ii. Ikan

    iii. Belalang

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Maka, adapun dua bangkai itu ialah ikan dan belalang. Adapun dua darah ialah hati dan limpa.” (Riwayat Ibnu Majah)

    4. Darah yang mengalir dan nanah.

    Firman-Nya bermaksud: “Atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.” (Surah al-An’am, ayat 145)

    Hati dan limpa dikecualikan daripada darah yang dihukum najis berdasarkan hadis yang lalu.

    5. Air kencing manusia dan binatang serta tahi kedua-duanya.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid, lalu Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tuangkan ke atasnya satu timba yang penuh airnya.

    Perintah supaya dituangkan air ke atasnya menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

    6. Setiap bahagian yang tercerai (terpisah) daripada binatang ketika hidup adalah najis.

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apa yang dipotong daripada binatang (ketika ia masih hidup) adalah bangkai.” (Al-Hakim, dia mentashihkannya)

    Rambut dan bulu haiwan yang dimakan dagingnya dikecualikan daripada hukum itu. Ia adalah suci.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu (yakni bulu kibas, unta dan kambing), berbagai-bagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah an-Nahl, ayat 80)

    7. Susu haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan seumpamanya. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya dan dagingnya adalah najis.

    (Pembahagian dari segi) najis ‘aini dan najis hukmi:

    Najis ‘aini ialah semua najis yang mempunyai jirim (bentuk) yang dapat dilihat atau mempunyai sifat yang zahir seperti warna ataupun bau, seperti tahi, air kencing atau darah.

    Najis hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau najis itu tidak ada lagi. Contoh, baju yang terkena air kencing, kemudian ia kering dan tidak zahir lagi kesannya.

    Najis mughallazah, najis mutawassitah dan najis mukhaffafah:

    i, Najis mughallazah (berat) ialah najis anjing dan babi.

    Dalil menunjukkan bahawa najis anjing dan babi adalah najis berat ialah kerana tidak memadai membasuhnya satu kali air seperti najis lain. Bahkan mesti dibasuh dengan tujuh kali. Salah satu basuhannya ialah dengan air tanah. Sebagaimana dalam hadis yang lalu iaitu hadis berkenaan anjing menjilat bekas air.

    Babi dilakukan qiyas dengan anjing (dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.

    ii. Najis mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan melainkan susu (manusia) sahaja.

    Dalil menunjukkan bahawa air kencing itu adalah najis ringan ialah ia memadai untuk membersihkannya dengan hanya merenjiskan air ke atasnya. Renjisan air itu hendaklah meratai semua tempat najis walaupun tanpa mengalirkannya.

    Al-Bukhari dan Muslim serta lainnya meriwayatkan daripada Ummu Qis binti Mihsan RA: Beliau menemui Rasulullah SAW dengan membawa anak lelaki kecil yang tidak makan apa-apa makanan. Lalu, anak itu kencing di atas baju baginda. Baginda menyuruh supaya didatangkan air, lalu merenjis-renjiskannya tanpa membasuhnya (mengalirkan airnya).

    iii. Najis mutawassitah (pertengahan) iaitu najis selain anjing dan babi serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan melainkan susu manusia.

    Contoh, air kencing manusia, tahi haiwan dan darah. Dinamakan najis pertengahan kerana ia tidak suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya dan tidak wajib dibasuh berulang-ulang kali sekiranya najis itu boleh dihilangkan hanya dengan sekali basuhan.

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas RA, katanya: Apabila Nabi SAW keluar (ke kawasan lapang) untuk menunaikan hajatnya (membuang air), aku datangkan kepadanya air. Lalu Baginda membasuh dengannya.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ali RA, katanya: Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad (menanyakannya), lalu dia bertanya. Baginda SAW menjawab: Padanya (dikenakan) wuduk.

    Menurut riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwuduk.

    Air mazi ialah cecair berwarna kuning kejernihan. Biasanya ia keluar ketika syahwat sedang memuncak.

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya: Nabi SAW pergi ke tanah yang rendah untuk membuang air. Kemudian, Baginda menyuruh aku memberinya tiga biji batu. Aku mendapati dua biji batu saja dan aku mencari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil tahi binatang (yang kering) dan aku bawa kepada baginda. Baginda mengambil dua batu itu dan mencampakkan tahi binatang itu, lalu berkata: Ini adalah najis.

    Hadis itu menunjukkan bahawa semua perkara yang disebutkan adalah najis dan begitulah juga benda-benda lain yang tidak disebutkan. Ia dilakukan qiyas (membandingkan) kepada perkara berkenaan.

    Cara bersuci daripada najis

    (A) Najis mughallazah (najis anjing dan babi) ialah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya (dicampur) dengan tanah, sama ada najis itu najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat.

    Dalilnya ialah sebagaimana hadis yang lalu berkenaan anjing menjilat air dalam bekas.

    (B) Cara menyucikan najis mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu manusia) ialah dengan direnjiskan air secara rata ke tempat najis itu sama ada dalam keadaan najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada badan, pakaian atau tempat.

    (C) Cara menyucikan najis mutawassitah ialah dengan dialirkan air ke atasnya dan dihilangkan kesannya sehingga hilang ‘ain najis itu dan sifatnya; warna, rasa atau bau, sama ada najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat. Tetapi tidak mengapa jika warna masih kekal disebabkan susah untuk dihilangkan seperti darah.

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • Najis dan benda kotor yang dimaafkan

    1. Percikan air kencing yang terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sihat penglihatannya (apabila ia kena pada pakaian atau badan), sama ada najis itu mughallazah (berat), mukhaffafah (ringan) atau mutawassitah (pertengahan).

    2. Darah, nanah, darah kutu anjing dan najis yang sedikit dibawa oleh lalat, selagi ia bukan perbuatan manusia dan bukan dengan sengaja.

    3. Darah atau nanah luka walaupun banyak, dengan syarat ia terjadi pada diri manusia itu sendiri, bukan hasil daripada perbuatannya dan bukan dengan sengaja.

    Disyaratkan supaya darah atau nanah itu tidak mengalir ke tempat lain.

    4. Tahi binatang yang kena biji-bijian ketika ia memijaknya. Begitu juga tahi binatang ternakan yang kena susu ketika diperah, dengan syarat najis itu tidak banyak hingga mengubah keadaan susu itu.

    5. Tahi ikan di dalam air selagi air itu tidak berubah. Begitu juga tahi burung pada tempat yang selalu ia berulang-alik padanya seperti kawasan Tanah Suci Makkah, Tanah Suci Madinah dan Jamik Umawi. Ini adalah disebabkan ‘umum al-balwa (musibah yang umum) dan sukar untuk dipelihara daripadanya.

    6. Darah yang kena baju tukang daging sekiranya tidak banyak.

    7. Darah yang ada pada daging.

    8. Mulut kanak-kanak yang terdapat najis muntah padanya apabila dia menghisap susu ibunya.

    9. Tanah jalan yang kena pada manusia.

    10. Bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam suatu cecair seperti lalat, lebah dan semut dengan syarat ia terjatuh dengan sendirinya (bukan dicampak) dan ia tidak mengubah keadaan cecair itu.

    Al-Bukhari dan lain-lainya meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas seseorang kamu, maka hendaklah diselamkan semuanya, kemudian dibuangkannya, (kerana) sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada penawar dan satu lagi mempunyai (kuman) penyakit.”

    Hadis ini menunjukkan sekiranya lalat menajiskan air, maka Baginda tidak memerintahkan supaya diselamkan ke dalamnya.

    Begitu juga hukum bangkai binatang (serangga) lain yang darahnya tidak mengalir. Ia dilakukan qiyas kepada hukum lalat sebagaimana yang jelas nas (dalil) dalam hadis itu.

    Sumber: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • Pakaian, perhiasan halal dan dibenarkan

    Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. 

    Ini berdasarkan umum dalil yang menyatakan nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Juga berdasarkan umum dalil mengenai perkara yang diciptakan dan menjadi nikmat untuk mereka agar mereka memanfaatkannya dalam kehidupan di dunia. 

    Ia datang dalam bentuk pakaian, perhiasan, alat kegunaan dan nikmat kesenangan. 

    Firman-Nya bermaksud: “Dialah yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi semuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

    Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 34 bermaksud: “Dan Dia telah memberi kepada kamu daripada setiap apa yang kamu memintanya. Dan sekiranya kamu hendak menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.” 

    Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 32 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah; semua itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga orang-orang yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman saja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.” 

    Dalam ayat 28 surah al-A’raf firman-Nya bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah supaya mereka sentiasa beringat dan bersyukur.”

    Erti pakaian dan perhiasan dalam ayat itu ditafsirkan oleh Ibnu Abbas RA sebagai setiap yang jelas kelihatan iaitu pakaian, barang perhiasan yang dipakai dan dihamparkan. 

    Firman Allah yang menyatakan nikmat kurniaan-Nya adalah untuk hamba-Nya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu kulit binatang-binatang ternak, khemah-khemah yang kamu mendapatinya ringan (dibawa) , semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Dia juga menjadikan) daripada pelbagai jenis bulu binatang ternakan itu, pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa (tertentu).

    “Dan Allah menjadikan bagi kamu tempat berteduh daripada apa yang diciptakan-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu dari gunung-ganang tempat tinggal serta Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang menjaga kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 80 dan 81)

    Maksud pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan seperti yang disebut dalam ayat berkenaan ialah yang berupa hamparan (tikar atau permaidani) dan beg. Maksud tempat tinggal iaitu tempat kamu berteduh daripada kepanasan dan kesejukan seperti di dalam gua dan lubangnya (pada zaman dulu atau dalam keadaan terdesak).

    Maksud pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang iaitu baju besi yang menghalang senjata musuh dan menjauhi kamu daripada tercedera. 

    Daripada dalil ini dan selainnya kita mengetahui bahawa prinsip asal bagi semua jenis pakaian dan perhiasan adalah halal dan diharuskan melainkan apa yang dikecualikan dengan nas yang khusus.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Dilarang wanita menyerupai lelaki, lelaki menyerupai wanita

    Nabi telah mengisytiharkan bahawa antara yang terlarang ke atas wanita untuk memakai pakaian lelaki, sebagaimana terlarang juga ke atas lelaki memakai pakaian wanita.

    Begitu juga Nabi melaknat lelaki yang menyerupai wanita, di samping wanita yang menyerupai lelaki.

    Termasuk ke dalam larangan juga, semua penyerupaan dalam tutur bicara, gerak laku, gaya berjalan, cara pakaian dan sebagainya.

    Sesungguhnya bahaya yang menimpa kehidupan dan bala bencana yang terbawa-bawa ke dalam jemaah (masyarakat) ialah tingkah laku manusia yang menyalahi fitrahnya (semulajadi) dan perlakuan jahat yang bertentangan dengan tabiat diri manusia.

    Sedangkan perkara tabiat itu ada yang khusus untuk lelaki dan ada yang khusus untuk wanita saja, dan setiap satu pengkhususan itu berbeza dengan yang lain.

    Jika seorang lelaki bersikap pondan, seperti wanita, manakala wanita pula cuba berlagak jantan seperti lelaki, maka pada ketika itu akan berlaku porak-peranda dan keruntuhan moral.

    Nabi SAW telah menghitung (menyatakan) antara orang-orang dilaknati Allah di dunia dan di akhirat serta diaminkan yakni diiyakan malaikat pula atas laknat itu, iaitu seorang lelaki yang dijadikan Allah jantan, lalu membetinakan dirinya dan diserupakannya dengan lagak wanita.

    Begitu pula seorang wanita yang telah dijadikan Allah sebagai wanita, lalu dilelakikan dirinya dengan menyerupakan seperti lelaki.

    Sumber — Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi 

  • Empat jenis diharamkan daripada memakannya

    Pada ayat 168, surah al-Baqarah maksudnya: Wahai manusia, makanlah apa yang ada di muka bumi ini yang halal dan yang baik, dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata kepada kamu.

    Islam menyeru dengan panggilan ‘wahai manusia’ agar mereka memakan daripada rezeki yang baik, yang tersedia pada hidangan yang besar, disediakan buat mereka, iaitu bumi yang luas dengan segala isinya yang telah diciptakan Allah buat mereka, dan diingatkan kepada mereka supaya jangan mengikut jalan-jalan syaitan dan arahannya yang sentiasa diperintahkan kepada sesetengah manusia supaya mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, lalu syaitan pun mengharamkan ke atas mereka daripada segala yang baik-baik dan dijerumuskan mereka ke dalam gaung kesesatan.

    Islam menyerukan: “Wahai orang beriman, makanlah yang baik-baik daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, dan berterima kasihlah kepada Allah kalau kamu benar-benar berbakti kepada-Nya. Hanyasanya yang diharamkan Allah ke atas kamu, iaitu memakan bangkai, darah dan daging babi, dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah, dan sesiapa berada dalam keadaan terpaksa, tidak dengan sengaja, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Pengasih-sayang.” (Al-Baqarah, 172 – 173)

    Dalam seruan khusus kepada Mukminin ini, Allah memerintahkan mereka supaya memakan daripada rezeki yang baik-baik yang diberikan kepada mereka dan hendaklah mereka menunaikan kewajipan bersyukur kepada Allah yang telah memberikan mereka nikmat itu.

    Kemudian, Allah menerangkan pula bahawa Dia tidak mengharamkan ke atas mereka melainkan empat jenis makanan, seperti yang tersebut dalam firman-Nya itu dan disebutkan yang sama pada ayat-ayat al-Quran yang lain, dengan dibataskan hanya pada empat jenis makanan itu, sebagaimana firman-Nya pada surah al-An’am, ayat 145, maksudnya:

    “Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang diwahyukan padaku daripada soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, kecuali bangkai, atau darah yang mengalir (daripada binatang yang disembelih), atau daging babi, kerana sesungguhnya ia kotor, ataupun binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang berada dalam keadaan terpaksa, tidak disengajakan, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Maha Pengampun, Maha Pengasih-sayang.”

    Dalam surah al-Maidah, ayat 3, al-Quran menyebut semua barang yang diharamkan ini dengan lebih terperinci:

    “Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati kerana dicekik, yang mati kerana dipukul, yang mati kerana jatuh dari atas, yang mati kerana ditanduk (binatang lain), yang mati kerana dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan yang disembelih untuk berhala…”

    Tidak ada pertentangan antara firman itu, yang telah menghitung barangan yang diharamkan itu sebanyak sepuluh macam, dengan firman-firman yang sebelumnya yang hanya menyebut empat macam.

    Cuma firman ini memperincikan kandungan ayat-ayat terdahulu. Sebab semua yang mati kerana tercekik atau dipukul, atau jatuh dari tempat tinggi atau ditanduk oleh binatang lain atau yang dimakan binatang buas, semua dikira termasuk dalam kategori binatang yang bangkai, dan ayat ini adalah sebagai penerangan lanjut kepada ayat terdahulu.

    Kemudian, tentang binatang disembelih kerana berhala itu termasuk dalam kategori binatang disembelih bukan kerana Allah, jadi maksud kedua-duanya adalah sama.

    Tegasnya, yang diharamkan Allah semuanya empat jenis secara ringkas (umum) dan sepuluh dengan terperinci.

    Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi

  • Pengecualian mengenai pakaian dan perhiasan

    Dalil yang mengharamkan serta melarang daripada menggunakan pakaian dan perhiasan tertentu adalah pengecualian daripada umum dalil (halal dan dibenarkan).

    Kita hanya akan menyebutkan beberapa perkara yang dikecualikan dan ia telah diberikan hukum lain iaitu haram dan dilarang.

    * Pengharaman penggunaan emas dan perak pada perkara selain jual beli dan seumpamanya.

    Menggunakan emas dan perak melainkan dalam jual beli dan yang seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

    Emas dan perak tidak boleh dijadikan alat untuk makan dan minum. Juga tidak boleh dijadikan alat penulisan, alat celak, untuk menghiasi rumah, dewan, masjid, kedai dan sebagainya sama ada perkara yang menggunakan emas dan perak ini besar atau kecil, ia tetap diharamkan.

    Pengharaman penggunaan emas dan perak yang disebutkan itu juga bererti pengharaman membuat sesuatu daripada kedua-duanya atau menyimpannya dalam bentuk berkenaan walaupun ia tidak digunakan.

    Hal ini kerana setiap perkara yang diharamkan penggunaannya, maka membuat dan menyimpannya adalah juga haram.

    Dalil pengharaman penggunaan emas dan perak

    Dalil pengharaman banyak terdapat dalam kitab hadis sahih, antaranya:

    * Hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Ummu Salamah RA katanya, Rasulullah bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang minum dalam bekas yang diperbuat daripada emas atau perak, maka sesungguhnya dia telah menuangkan api neraka jahanam ke dalam perutnya.”

    * Muslim juga meriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu minum dalam bekas emas dan perak. Dan janganlah kamu makan dalam piringnya (besar ataupun kecil), maka sesungguhnya ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia.”

    Hukum menampal bekas dengan emas dan perak

    Diharamkan secara mutlak menggunakan bekas yang ditampal dengan emas sama ada tampalan itu besar atau kecil. Juga sama ada ia ditampalkan pada tempat yang digunakan atau selainnya.

    Manakala bekas yang ditampal dengan perak, sekiranya tampalan itu besar dan dilakukan tanpa keperluan (hajat), maka ia adalah haram. Sekiranya ia kecil ataupun besar dan dilakukan kerana keperluan, maka ia dibenarkan sama ada tampalan itu di tempat yang digunakan atau selainnya.

    Dalil keharusan ini ialah hadis riwayat al-Bukhari daripada Asim al-Ahwal katanya: “Aku telah melihat baldi Nabi SAW yang telah pecah ada bersama Anas bin Malik RA, lalu dia menampalnya dengan perak. Katanya, ini adalah baldi yang baik dan besar, dibuat daripada kayu nudhar (yang elok dibuat baldi). Katanya, Anas RA berkata: Sesungguhnya aku telah menimba air untuk Rasulullah SAW dengan baldi ini lebih daripada sekian sekian kali.”

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Hukum menggunakan bekas disalut dengan emas dan perak

    Saduran atau salutan (iaitu dengan cara mengecatnya) dengan emas dan perak sekiranya sedikit, sekira-kira apabila dipanaskan di atas api tidak menghasilkan sesuatu pun, maka ia adalah halal.

    Sekiranya ia banyak, sekira-kira ia menghasilkan sesuatu daripadanya apabila dipanaskan di atas api, maka ia adalah haram. Dalam keadaan ini, tidak boleh menggunakan, membuat dan menyimpan bekas yang disadurkan dengan emas atau perak.

    Diharamkan menyadur dan mengecatkan atap rumah dan dindingnya dengan emas dan perak walaupun sedikit dan tidak menghasilkan sesuatu pun apabila dipanaskan di atas api.

    Hukum menggunakan bekas yang dibuat daripada bahan galian berharga

    Dibenarkan menggunakan bekas yang dibuat daripada bahan galian yang berharga selain daripada emas dan perak seperti intan berlian, mutiara, batu delima (permata merah), zamrud (permata hijau), kaca dan sebagainya kerana tidak ada nas yang melarangnya.

    Hal ini kerana hukum asal perkara berkenaan adalah diharuskan. Selagi tiada nas yang mengharamkannya, ia tetap harus, dan sememangnya tiada dalil mengharamkannya. Melakukan qiyas (bandingan) dengan emas dan perak adalah tidak tepat.

    Hikmah pengharaman bekas daripada emas dan perak

    Antara hikmah terbesar dalam masalah berkenaan dan yang seumpamanya ialah ibadat sepenuhnya (taabbudi) dan sebagai ujian untuk manusia.

    Namun, kadang-kadang penyelidik mendapati di sebalik pengharamannya ada hikmah lain yang disebutkan sebahagiannya seperti berikut:

    * Allah Azza wa Jalla telah menjadikan emas dan perak sebagai matawang antara manusia. Dia menjadikan matawang itu sebagai pemudah dalam berurusan sesama manusia.

    Oleh itu, tidak diharuskan mengabaikan tugas ini dengan menjadikannya sebagai bekas makanan dan perhiasan yang dibekukan dalam rumah kerana ini akan menyempitkan ruang penggunaannya.

    * Perkara itu akan mengguris perasaan orang miskin dan mengecewakan mereka apabila melihat orang kaya menjadikan emas dan perak sebagai perhiasan, berbangga, bermegah dan takbur dengan kedua-duanya.

    * Menghalang manusia daripada bermati-matian mendapatkan galian berharga ini. Juga menghalang mereka daripada menjadikannya sebagai matlamat dan berlumba berhias dengannya, menyusunnya di rumah dan melupai bahawa ia adalah alat yang diamanahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan dan kepentingan dunia mereka.

    * Bagi mewujudkan perbezaan dengan orang kafir dan keadaan mereka. Keadaan orang kafir adalah meninggalkan akhirat dan bermati-matian mencari (habuan) dunia dan segala nikmatnya.

    Disebut dalam hadis: “Dan hati-hatilah kamu daripada terleka dengan nikmat dan bentuk kehidupan orang kafir.” (Riwayat Muslim, daripada Umar RA)

    Malah, disebutkan juga dalam hadis Muslim yang terdahulu: “Maka, sesungguhnya ia adalah untuk mereka di dunia.” Iaitu untuk orang kafir.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Pengecualian daripada pengharaman emas dan perak

    Tiga perkara dikecualikan daripada pengharaman ini:

    1. Wanita menggunakan emas dan perak sebagai bahan perhiasan dengan kadar yang sewajarnya tanpa melampau dan berlebihan. Sama ada wanita yang telah berkahwin atau belum, kecil atau besar, kaya atau miskin.

    Dalilnya hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dengan sanad hasan sahih daripada Abu Musa al-Asyari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diharamkan penggunaan sutera dan emas bagi lelaki umatku dan ia dihalalkan bagi perempuan mereka.”

    Ulama juga mengharuskan memakaikan kanak-kanak yang kecil dengan perhiasan dan sutera pada hari perayaan dan selainnya kerana mereka belum mendapat taklif lagi.

    2. Cincin perak. Sudah sahih terbukti bahawa Nabi SAW menggunakan cincin perak.

    Muslim dan at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Anas RA katanya: “Cincin Rasulullah SAW adalah daripada perak dan mata cincin itu ialah batu yang berlubang berwarna hitam putih.”

    Ada yang menyatakan ia adalah batu aqiq yang berasal dari Habsyah dan ada yang menyatakan warnanya adalah warna Habsyah.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas RA: “Nabi SAW memakai cincin perak dan matanya juga daripada perak.”

    Kedua-duanya juga meriwayatkan: “Rasulullah SAW menggunakan cincin perak dan diukirkan padanya; Muhammad Rasulullah. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku menggunakan cincin perak dan aku ukirkan padanya; Muhammad Rasulullah. Jangan sekali-kali sesiapa pun mengukir sepertinya.”

    Al-Bukhari meriwayatkan: “Ukiran tulisan pada cincin itu tiga baris; Muhammad satu baris; Rasul satu baris; dan Allah satu baris.”

    Cincin emas bagi lelaki adalah haram secara mutlak. Dalilnya hadis riwayat Muslim, daripada Ibnu Abbas RA: “Bahawa Rasulullah SAW telah melihat cincin emas pada tangan seorang lelaki, lalu Baginda menanggalkannya dan mencampakkannya. Sabda Baginda: Seorang daripada kamu sengaja mengambil bara api neraka dan dipakaikannya di tangannya.

    Apabila Rasulullah SAW berlalu pergi, maka dikatakan pada lelaki itu: Ambillah cincin kamu ini untuk kamu ambil manfaatnya. Jawabnya: Aku tidak akan mengambilnya untuk selama-lamanya kerana ia telah diharamkan oleh Rasulullah SAW.”

    3. Keadaan darurat dan terpaksa iaitu apabila tiada bekas melainkan bekas dan perak, maka diharuskan pada waktu itu menggunakannya kerana terpaksa.

    Hal yang sama seperti ini sekiranya hidung terpotong, lalu digantikan dengan hidung emas ataupun emas diperlukan untuk membuatkan giginya.

    Dalam hal sebegini dan yang sepertinya (keadaan darurat) penggunaan emas adalah dibenarkan.

    Dalilnya adalah hadis riwayat at-Tirmidzi dengan sanad hasan gharib daripada Arfajah bin As’ad RA katanya: “Hidung aku telah terpotong dalam peperangan al-Kulab pada zaman jahiliah. Lalu aku menggunakan perak untuk menggantikannya, namun ia membusukkan hidungku. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan aku menggantikannya dengan hidung emas.” (Riwayat Abu Daud)

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Lelaki haram memakai sutera

    Pengharaman menggunakan sutera bagi lelaki

    Memakai sutera diharamkan bagi lelaki. Begitu juga penggunaannya dalam semua bentuk seperti untuk tempat duduk, berlindung dan berselimut dengannya. Tetapi ia halal bagi wanita dan anak kecil.

    Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah dan selain kedua-duanya daripada Ali bin Abu Talib RA katanya: “Rasulullah SAW telah mengambil sutera, maka diletakkan di sebelah kanannya dan mengambil emas, maka diletakkan di sebelah kirinya. Kemudian Baginda bersabda: Sesungguhnya kedua-duanya ini haram bagi lelaki umatku.”

    At-Tirmidzi meriwayatkan dengan sanad hasan sahih daripada Abu Musa al-Asyari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita mereka.”

    Hikmah pengharaman sutera bagi lelaki

    Kemungkinan besar pengharaman ini (selain alasan taabbudi) adalah disebabkan pemakaian sutera membawa kepada takbur, juga menyerupai wanita dan khunsa serta jauh daripada sifat kelelakian.

    Lelaki tidak diciptakan untuk membesar dengan perhiasan, tertipu dengan pakaian yang cantik, menampakkan diri dengan gambaran lembut dan halus yang membawa kepada menyerupai wanita dan menjauhi perkara yang besar.

    Lelaki diciptakan untuk membina kehidupan, mengatasi segala kesulitan, melakukan segala urusan besar dan bersabar dengan perkara yang rumit.

    Hal ini menuntut kehidupan yang kasar, jauh daripada kelembutan atau melampau kemewahannya serta jauh daripada ciri khunsa dan lembik.

    Pengecualian

    Pengharaman sutera bagi lelaki dikecualikan dalam dua keadaan:

    1. Keadaan darurat iaitu apabila dia tidak mendapati sesuatu pun melainkan sutera untuk menutup auratnya ataupun untuk melindungi dirinya daripada kepanasan atau kesejukan.

    Pada waktu ini, dia dibenarkan memakai sutera sementara dia mendapat penggantinya.

    Ini kerana darurat menghalalkan yang dilarang di samping itu keharusannya ditentukan mengikut kadar keterpaksaan.

    2. Keperluan memakainya untuk menjauhi kemudaratan seperti apabila seseorang lelaki itu sakit dan pemakaian sutera akan mempercepatkan sembuhnya ataupun mengurangkan kesakitannya.

    Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dan ini adalah lafaz Muslim daripada Anas bin Malik RA: “Rasulullah SAW telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada Abdul Rahman bin Auf RA dan az-Zubair bin al-Awwam RA untuk memakai pakaian sutera ketika dalam musafir disebabkan penyakit gatal ataupun kesakitan yang dialami mereka.”

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Hukum lelaki memakai sutera bercampur kain selainnya

    Apabila pakaian atau baju diperbuat daripada sutera dan selainnya, maka dalam keadaan ini dilihat yang mana lebih banyak.

    Sekiranya sutera lebih banyak, maka lelaki diharamkan memakai dan menggunakan pakaian itu. Sekiranya kain selain sutera lebih banyak, maka lelaki dibenarkan memakai dan menggunakannya.

    Ini kerana hukum akan berpihak kepada yang paling banyak antara kedua-duanya dan pakaian itu akan diberikan dengan namanya dan hukumnya.

    Sekiranya kadar kedua-duanya sama, dibenarkan memakai dan menggunakannya sebagai mengutamakan bahagian yang halal kerana itu hukum asal.

    Berdasarkan kenyataan itu, dibenarkan menjahit bahagian tepi pakaian dengan sutera iaitu menjahit bahagian hujung pakaian dengan sutera pada kadar biasa.

    Dibenarkan juga menampal baju dan menyulamnya dengan sutera dengan syarat tidak melebihi kadar empat jari tangan yang disusun. Jika melebihi kadar ini, ia tidak dibenarkan.

    Dalilnya hadis diriwayatkan Muslim: “Asma binti Abu Bakar RA mengeluarkan sehelai jubah panjang thoyalisah kisrawaniyah. Ia mempunyai saku dibuat daripada kain sutera, kain bawahnya dan sakunya juga daripada kain sutera.
    “Asma berkata: Baju ini ada pada Aisyah RA sehingga dia wafat. Apabila dia wafat, aku mengambilnya. Nabi SAW pernah memakainya. Kami memandikan orang sakit menggunakannya untuk tujuan berubat.”

    Muslim meriwayatkan daripada Suwaid bin Ghafalah bahawa Umar bin al-Khattab RA berkhutbah di al-Jabiyah. Katanya: “Rasulullah SAW telah melarang memakai sutera melainkan sekadar sebesar dua atau tiga atau empat jari.”

    Menggantung tirai sutera di pintu dan dinding

    Diharamkan menggantung tirai sutera di pintu, dinding dan sebagainya. Pengharaman ini sama saja bagi lelaki dan perempuan kerana ia mengandungi maksud bongkak.

    Namun, ulama mengecualikan penggantungannya pada al-Kaabah al-Musyarrafah. Bagaimanapun, hal ini tidak boleh disamakan dengan masjid dan rumah lain selain Kaabah.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Persoalan berkaitan menginai, sambung rambut

    Pengharaman memakai inai hitam

    Diharamkan menginaikan (celup warna) rambut kepala dan janggut dengan warna hitam bagi lelaki dan perempuan. Diharuskan menginaikan uban dan mencelupkan rambut dengan warna selain hitam bagi lelaki dan perempuan seperti warna kuning atau merah.

    Dalilnya hadis diriwayatkan Muslim dan selainnya daripada Jabir RA katanya: “Pada hari pembukaan kota Makkah, Abu Quhafah (bapa Abu Bakar yang masuk Islam waktu itu) dibawa menemui Rasulullah SAW dalam keadaan rambut dan janggutnya serba keputihan. Rasulullah SAW bersabda: Ubahlah warna ini dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.”

    At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Ubahlah warna uban dan jangan kamu menyerupai orang Yahudi.”
    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak menggunakan inai, maka berbezalah kamu dengan mereka.”

    Pengharaman menyambung rambut

    Menyambung rambut dengan rambut lain adalah haram bagi lelaki dan wanita, janda atau yang telah berkahwin, untuk berhias atau untuk selainnya. Ia termasuk dosa besar kerana wujudnya dalil melaknat pelaku dan tukang sambung.

    Oleh itu ahli fiqah menyatakan: Sekiranya wanita menyambung rambutnya dengan rambut orang lain; lelaki ataupun perempuan; muhrim ataupun suaminya, maka ia tetap haram kerana umumnya dalil.

    Juga kerana diharamkan menggunakan rambut manusia dan seluruh juzuk badannya disebabkan kemuliaannya. Bahkan, rambut dan kukunya juga seluruh juzuk (bahagian) tubuhnya hendaklah ditanam sekiranya dipisahkan sewaktu dia masih hidup.

    Sekiranya disambungkan bukan dengan rambut manusia; sekiranya ia adalah rambut najis, maka ia adalah rambut bangkai, sekiranya ia adalah rambut binatang yang tidak halal dimakan dagingnya yang terpisah sewaktu masih hidup, maka ia tetap haram kerana umumnya dalil larangan bagi perkara berkenaan. Juga kerana dia akan membawa najis dalam solatnya dan sebagainya.

    Mengenai rambut (bulu) yang suci selain daripada rambut manusia, sekiranya perempuan itu tiada suami, maka ia adalah haram. Sekiranya dia memiliki suami, kalau dia melakukannya dengan izin suaminya, maka dibenarkan. Sekiranya dia melakukannya tanpa keizinan, maka tidak diharuskan.

    Mengenai perbuatan memerahkan muka dan mencelup kuku, sekiranya diizinkan oleh suami, maka diharuskan dan jika tidak diizinkan, maka tidak diharuskan.

    Mengenai menyambung rambut dengan benang sutera dan seumpamanya yang tidak menyerupai rambut, maka ia diharuskan dan tidak dilarang kerana ia tidak termasuk hukum menyambung rambut yang dilarang. Ia hanya untuk perhiasan.

    Dalil pengharaman menyambung rambut

    Dalil yang mengharamkan penyambungan ialah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Asma binti Abu Bakar RA katanya: “Seorang perempuan telah datang menemui Nabi SAW, katanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memiliki anak perempuan yang sedang meningkat remaja. Dia terkena penyakit rubela yang menyebabkan rambutnya gugur, apakah aku boleh menyambungkannya?
    “Jawab Baginda: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan perempuan yang meminta disambungkan rambutnya.”

    Hikmah pengharaman menyambung rambut

    Kemungkinan besar hikmah pengharaman menyambung rambut ialah ia adalah penipuan terhadap yang sebenar, mengubah ciptaan asal dan menzahirkan diri dengan keadaan yang bukan sebenarnya.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Said bin al-Musayyab RA katanya: “Muawiyah RA datang ke Madinah, kedatangannya yang terakhir, lalu berkhutbah kepada kami, kemudian dia mengeluarkan segelung rambut.
    “Katanya: Aku tidak pernah melihat seorang pun yang melakukan perkara ini melainkan orang Yahudi. Sesungguhnya Nabi SAW telah menamakannya sebagai pendustaan.”

    Yang dimaksudkan ialah orang yang menyambung rambut. Hadis ini jelas menyatakan illah (sebab) pengharaman iaitu penipuan dan pendustaan di samping mengubah yang sebenar.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

You cannot copy content of this page