Kategori: HADIS

  • Persoalan jihad fi sabilillah

    Daripada Abu Qatadah, al-Harits bin Rib’i meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa beliau berdiri di hadapan orang ramai, kemudian beliau menyebutkan kepada mereka bahawa jihad fi sabilillah dan beriman kepada Allah merupakan amalan perbuatan yang paling utama. Kemudian ada seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus? Beliau menjawab: Ya, jika kamu dibunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri.

    Seterusnya Rasulullah SAW bertanya: Bagaimana pertanyaan kamu tadi?

    Orang itu berkata lagi: Bagaimana pendapat anda, jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus?

    Baginda menjawab: Ya, jika kamu terbunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri (dari medan jihad), melainkan jika kamu mempunyai hutang, kerana sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    • Besarnya urusan hutang-piutang.
    • Peringatan bahawa jihad dan mati syahid tidak dapat menghapus hak-hak sesama manusia.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 199

  • Syahid atau tidak?

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata: Ketika terjadi perang Khaibar, ada sekumpulan daripada sahabat-sahabat Nabi SAW, maka mereka berkata: Polan syahid, dan polan syahid. Sehingga mereka menemukan seorang lelaki (yang telah meninggal dunia), maka berkata, “polan syahid”. Maka, Nabi SAW bersabda: Tidak sama sekali, sesungguhnya saya melihatnya di dalam neraka kerana burdah (kain selimut) atau baju karung yang dia sembunyikan (daripada hasil rampasan perang). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Ibnu Hibban dan Tirmidzi)

    PENJELASAN

    Polan merujuk kepada seseorang yang tidak diberikan namanya.

    Hadis ini menguatkan keharaman mencuri harta ghanimah (rampasan perang) dan perbuatan itu termasuk antara dosa besar.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 198/199

  • Ancaman orang bersumpah untuk mendapatkan hak orang lain

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Haritsi meriawayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan neraka baginya dan mengharamkan syurga ke atasnya.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Walaupun suatu yang remeh, wahai Rasulullah?

    Maka, baginda bersabda: Dan sekalipun sepotong kayu arak. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini memberikan ancaman kepada orang bersumpah bohong agar dapat mengambil hak seorang muslim.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasan, 198

  • Siapa buat zalim kepada orang lain, segera minta dimaafkan

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa melakukan suatu kezaliman kepada saudaranya, (sama ada) mengenai kehormatan saudaranya ataupun suatu yang lain, maka hendaklah dia minta dihalalkannya pada hari, sebelum tidak ada (wang) dinar dan dirham. Jika dia mempunyai amalan kebajikan, maka diambil amalan kebajikannya, sesuai kadar kezalimannya, sedang jika dia tidak mempunyai kebajikan sama sekali, maka diambil keburukan-keburukan orang dizalimi, lalu dibebankan kepada orang menzaliminya. (Hadis diriwayatkan Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan perintah meminta agar dihalalkan dan mengembalikan hasil daripada kezaliman ketika masih di dunia. Jika tidak, orang dizalimi akan mengambil haknya secara penuh di akhirat kelak.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 195-196

  • Awas doa orang dizalimi

    Daripada Muaz RA berkata: Saya diutus oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum daripada kalangan ahli kitab, maka ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tiada ilah (tuhan) yang berhak untuk dilakukan ibadat secara benar melainkan Allah dan bahawa saya adalah utusan Allah. Apabila mereka telah mentaati untuk melakukan hal itu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu dalam setiap sehari semalam. Jika mereka mentaati yang demikian, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka sedekah yang diambil daripada orang-orang kaya antara mereka, kemudian dikembalikan kepada orang-orang fakir antara mereka. Jika mereka mentaati yang demikian itu, maka jagalah kehormatan dan harta-harta mereka. Takutlah kamu daripada doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada tabir yang menutupi antara doanya dengan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Peringatan untuk mencegah berbuat zalim.

    Mengambil (atau merampas) harta yang dimuliakan adalah kezaliman, melainkan jika pemiliknya merelakannya.

    Doa orang yang dizalimi akan dikabulkan (diterima), sebagaimana terdapat dalam satu hadis: Doa orang dizalimi akan dikabulkan, meskipun dia orang yang jahat. Namun kejahatannya untuk dirinya sendiri.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 194

  • Ancaman bagi orang berbuat zalim

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menangguhkan (hukuman) orang yang zalim. Akan tetapi, apabila Allah telah menghukumnya, maka Dia tidak akan melepaskannya sama sekali. Kemudian, baginda membacakan ayat (yang bermaksud): Dan begitulah seksa Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh, seksa-Nya sangat pedih, sangat keras. (Hud, 102) (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan ancaman keras bagi orang berbuat zalim walaupun dia masih diberikan waktu atas kezalimannya dan tidak segera diseksa, kerana sesungguhnya Allah hanya menangguhkan, bukan mengabaikan. Allah berfirman maksudnya: Dan Aku akan memberikan tempoh waktu kepada mereka, sungguh rencana-Ku sangat teguh. (Al-A’raf, 183)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 193-194

  • Pengukuhan keharaman darah orang Muslimin, harta dan kehormatan mereka

    Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin al-Harits meriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan dan di antaranya ada empat bulan suci. Yang tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharam, sedangkan yang keempat Rajab Mudhar, yang berada di antara bulan Jumada dan Syaaban. Bulan apakah sekarang ini?
    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

    Maka, baginda diam, sehingga kami menyangka bahawa baginda akan memberi nama bulan ini dengan nama lain.

    Baginda bersabda: Bukan ini Zulhijah?

    Kami menjawab: Benar.

    Baginda bersabda: Negeri manakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

    Baginda diam, sehingga kami menyangka baginda akan memberi nama negeri ini dengan nama lain.
    Baginda bersabda: Bukankah al-baldah (negeri Haram [suci])?

    Kami menjawab: Benar.

    Baginda bertanya: Maka, hari apakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui?

    Baginda diam, sehingga kami menyangka baginda akan memberi hari ini dengan nama lain.

    Baginda bersabda: Bukankah hari an-nahr (korban)?

    Kami menjawab: Benar.

    Baginda bersabda: Maka, sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu haram atas kamu semua sebagaimana kehormatan hari kamu ini, di negeri kamu ini dan dalam bulan kamu ini. Dan kamu semua akan menemui Tuhan kamu, lalu Dia akan menanyakan kepada kamu semua perihal amalan perbuatan kamu. Ingatlah, jangan kamu kembali kafir sepeninggalanku nanti, yang sebahagian memenggal leher sebahagian yang lain. Ingatlah, hendaklah yang hadir di sini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Barangkali orang yang diberikan berita akan lebih memahami daripada orang yang mendengar sendiri.

    Kemudian baginda bersabda: Ingatlah, bukankah saya telah menyampaikan? Ingatlah, bukankah saya telah menyampaikan?

    Kami menjawab: Benar.

    Baginda bersabda: Wahai Allah, saksikanlah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Kekeliruan pengunduran bulan haram, kerana orang-orang jahiliyah ketika ingin mengadakan perang di bulan Muharam, mereka menganggap halal berperang di bulan itu, dengan mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan Safar. Dan mereka menghalalkan bulan Rajab dengan menjadikannya sebagai bulan Syaaban. Mereka juga mendasarkan perhitungan haji mereka dengan perubahan bulan ini.

    Pengukuhan keharaman darah-darah orang Muslimin, harta-harta mereka dan kehormatan mereka.

    Perintah menyampaikan ilmu dan menyebarluaskannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 197

  • Ancaman kepada orang zalim

    Daripada Aisyah RAnha (singkatan kepada Radhiyallahu Anha) meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa berbuat zalim walau terhadap sejengkal tanah, maka tanah itu akan dikalungkan di lehernya daripada tujuh (lapisan) bumi. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Pengukuhan terhadap haram merampas tanah. Sesiapa yang mengambil sebahagian tanah dengan cara zalim, maka dia diseksa dengan membawa tanah itu di lehernya pada hari kiamat.

    Dalam hadis lain disebutkan: Sesiapa mengambil sedikit saja daripada tanah dengan cara tidak benar, maka kelak pada hari kiamat dia ditenggelamkan sampai ke tujuh lapisan bumi.

    (Ini juga) sebagai dalil bumi juga mempunyai tujuh lapis sebagaimana langit.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 193

  • Hak dipenuhi pada hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sungguh kamu akan memenuhi hak-hak kepada para pemiliknya kelak pada hari kiamat, sampai-sampai digiringlah kambing yang tidak bertanduk (untuk mengambil hak) daripada kambing yang bertanduk. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Kambing tidak bertanduk akan menuntut balas kepada kambing bertanduk pada hari kiamat. Selepas dibalas, haiwan-haiwan itu menjadi debu. Lantas orang-orang kafir berkata: Aduhai, andai saya juga menjadi debu.

    Peringatan bahawa orang dizalimi akan menuntut balas daripada orang berbuat zalim kelak pada hari kiamat dan dia akan diberikan haknya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 192

  • Jaga diri daripada buat zalim, kikir

    Daripada Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jagalah diri kamu daripada berbuat zalim, kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan jagalah diri kamu daripada sifat kikir (kedekut), kerana kikir membinasakan umat sebelum kamu. Sifat itu menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menghalalkan hal-hal yang diharamkan pada diri mereka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Istilah “asy-syuh” (perkataan Arab) dalam teks hadis itu ertinya kikir disertai kerakusan untuk mencari harta melalui jalan tidak diperkenankan, sebagaimana terdapat dalam hadis lain: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kamu derhaka kepada para ibu, mengubur anak perempuan, tidak memberikan hal yang wajib diberikan, dan mencari sesuatu yang diharamkan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 191/192

  • Tanda orang munafik

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada 3 macam:

    • Jika dia berkata, maka dia berdusta.
    • Jika berjanji, dia tidak menepati.
    • Dan jika diberi amanah, maka dia berkhianat. (Muttafaq alaih — diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini dalil semua hal itu termasuk tanda-tanda munafik.

    Dalam hadis riwayat Abdullah bin Amru disebutkan: Empat perkara apabila terdapat dalam diri seseorang, maka dia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa di dalam dirinya terdapat salah satu daripada keempat-empatnya, maka dia mempunyai salah satu sifat kemunafikan, hingga dia meninggalkannya; iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berdebat dia berbuat curang, dan apabila berjanji dia mengingkari.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 185

  • Akibat hanya menyuruh orang lain berbuat baik

    Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak, didatangkan seorang lelaki, maka dia dilemparkan ke dalam neraka, maka keluar isi perutnya, maka dia berputar dengan isi perutnya, sebagaimana seekor keldai mengelilingi gilingan.

    Para ahli neraka berkumpul di sekelilingnya, maka mereka bertanya: Mengapa kamu ini, hai polan (seseorang tidak disebutkan nama)? Tidakkah kamu dahulu menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran?

    Maka, dia (orang terbabit) berkata: Betul, saya menyuruh kepada yang makruf (kebaikan), tetapi saya sendiri tidak melakukannya, dan saya mencegah kemungkaran, tapi saya sendiri melakukannya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah, Abu Dawud)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengisyaratkan ancaman keras bagi orang yang ucapannya berbeza dengan perbuatannya dan seksaan bagi orang alim ketika melakukan maksiat lebih berat daripada lainnya, sebagaimana pahalanya digandakan jika dia mengamalkan ilmunya.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 184.

You cannot copy content of this page