Kategori: HADIS

  • Dosa besar yang paling besar

    Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin al-Harits RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ingatlah, saya memberitahu kamu mengenai dosa besar yang paling besar.

    Baginda bersabda ini sampai tiga kali.

    Kami menjawab: Ya, wahai Rasulullah.

    Baginda bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

    Semula baginda bersandar, lalu baginda duduk, kemudian bersabda lagi: Ingatlah, termasuk juga ucapan bohong dan persaksian palsu.

    Baginda terus-menerus mengulang-ulanginya, sehingga kami mengucapkan: Alangkah baiknya jika baginda berhenti mengucapkannya. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Antara yang boleh difahami mengenai dosa; ada dosa besar yang lebih besar seperti disebutkan. Dosa besar adalah dosa yang pelakunya diancam dengan murka, laknat atau neraka.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 264/265

  • Mentaati perintah bapa yang lebih mengetahui

    Daripada Ibnu Umar RA, dia berkata: Saya mempunyai seorang isteri dan saya mencintainya, sedangkan Umar membencinya, lantas dia (Umar) berkata kepadaku: “Ceraikanlah isterimu itu.” Namun saya enggan melakukannya.

    Maka Umar RA mendatangi Nabi SAW, kemudian dia menyebutkan hal itu kepadanya (Nabi). Maka Nabi SAW bersabda: Ceraikannya (perempuan itu). (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Imam at-Tirmidzi, dan at-Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih)

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat pesanan untuk melaksanakan perintah bapa ketika memerintahkan anaknya untuk menceraikan isterinya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 262

  • Amalan untuk masuk syurga, jauh dari neraka

    Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.

    Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kamu beribadat kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung rahim (hubungan kekeluargaan). (Muttafaq alaih – disebutkan dalam Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 261

  • Sedekah dan hubungan keluarga

    Daripada Salman bin Amir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Jika seseorang daripada kamu berbuka (puasa), maka hendaklah dia berbuka dengan kurma, kerana sesungguhnya ia ada berkat. Sekiranya dia tidak mendapati kurma, maka (berbuka dengan) air, kerana sesungguhnya ia suci.

    Dan baginda bersabda: Sedekah ke atas orang miskin adalah suatu sedekah. Dan (bersedekah) ke atas orang mempunyai rahim (hubungan kekeluargaan) ada dua hal, (iaitu) sedekah dan hubungan (kekeluargaan). (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan; ada dalam Sahih Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibn Majah)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 262

  • Pesanan agar berbuat baik kepada penduduk

    Daripada Abu Dzar berkata: Rasulullah SAW bersabda: Kamu semua akan membebaskan suatu tanah yang disebut di dalamnya qiirath.

    Dalam suatu riwayat lain disebutkan: Kamu semua akan membebaskan Mesir iaitu tanah yang disebut di dalamnya nama qiirath, maka berwasiatlah kepada penduduk daerah itu dengan baik, sebab sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan serta hubungan kekeluargaan.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Jika kamu telah membebaskannya, maka berbuat baiklah kepada penduduknya, kerana sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan dan hubungan kekeluargaan.” Atau baginda bersabda: “Mereka mempunyai tanggungan dan saudara ipar.” (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ulama berkata “rahim” yang dimiliki oleh penduduk Mesir ialah kerana Hajar, ibunda Nabi Ismail adalah daripada bangsa mereka, sedangkan “shihr” (huruf ejaan: sod – ho – ro) atau ipar ialah kerana Mariah ibunda Ibrahim, putra Rasulullah SAW juga daripada bangsa Mesir itu.

    Hadis ini mengandungi beberapa faedah — tanda kenabian, kerana sahabat dapat membebaskan Mesir setelah Nabi SAW wafat. Wasiat untuk menjaga tanggungan dan menyambung hubungan keluarga.

    Al-Qiirath (huruf ejaan: Qaf – ya – ro – alif – tho)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 260

  • Boleh sambung hubungan keluarga dengan kerabat musyrik

    Daripada Asma binti Abu Bakar as-Siddiq berkata: Ibuku datang ke tempatku sedang dia adalah seorang musyrik pada masa Rasulullah SAW. Kemudian, saya meminta fatwa kepada Rasulullah. Saya berkata: Ibuku datang padaku dan dia ingin meminta sesuatu, apakah boleh saya menyambung kekeluargaan dengan ibuku? Baginda menjawab: Ya, sambunglah kekeluargaan dengan ibumu. (Muttafaq alaih – ada dalam Sahih al-Bukhari, Muslim & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Ada yang mengatakan bahawa yang datang itu ibu kandungnya sendiri, tetapi ada pula yang mengatakan bahawa itu adalah ibu dari susuan. Pendapat yang sahih ialah pendapat yang pertama.

    Hadis ini menunjukkan boleh menyambung ikatan keluarga dengan kerabat yang musyrik. Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: Dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik.” (Luqman, 15)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 258

  • Keutamaan menyambung hubungan keluarga

    Daripada Aisyah RAnha, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Rahim (kekeluargaan) tergantung di Arasy sambil berkata “sesiapa yang menyambungku, maka Allah menyambungnya dan sesiapa memutuskanku, maka Allah memutuskannya”. (Muttafaq alaih – ada dalam Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 257

  • Siapa orang yang menyambung hubungan keluarga?

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan bukanlah orang yang bersikap mengimbangi, tetapi orang yang menyambung hubungan kekeluargaan ialah orang yang apabila keluarganya memutuskan hubungan kekeluargaan dengannya, lalu dia menyambungnya kembali. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari – ada dalam Sahih al-Bukhari & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Manusia ada tiga macam.

    1. Orang yang menyambung hubungan keluarga.
    2. Orang yang mengimbangi hubungan keluarga.
    3. Orang yang memutuskan hubungan keluarga.

    Orang yang menyambung hubungan keluarga ialah orang yang memulai menyambung hubungan kekeluargaan. Orang yang mengimbangi ialah orang yang membalas sikap serupa terhadap keluarganya. Sedangkan orang yang memutuskan hubungan keluarga ialah orang yang tidak memulai dan tidak mengimbangi hubungan keluarga. Justeru, yang sempurna ialah orang yang menyambung ikatan keluarga terhadap orang yang memutuskannya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256/257

  • Berbuat baik kepada ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA berkata: Seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Saya berbaiah kepada anda untuk ikut berhijrah serta berjihad yang saya niatkan untuk mencari pahala daripada Allah Taala.

    Baginda berkata: Apakah salah seorang daripada kedua-dua orang tuamu masih ada yang hidup?

    Dia menjawab: Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup.

    Baginda bersabda: Apakah maksudmu hendak mencari pahala daripada Allah Taala?

    Dia menjawab: Ya.

    Baginda bersabda: Maka, kembalilah ke tempat kedua-dua orang tuamu, lalu berbuat baiklah dalam mendampingi kedua-duanya. (Muttafaq alaih, sahih al-Bukhari & Muslim – redaksi hadis milik Imam Muslim)

    Dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim lainnya disebutkan: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu dia meminta izin kepada baginda untuk ikut berjihad, lantas Nabi SAW bertanya: Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Maka, berjihadlah pada kedua-duanya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256

  • Infak daripada harta yang dicintai kerana Allah

    Daripada Anas RA berkata: “Abu Thalhah adalah seorang (daripada kalangan sahabat) Ansar di Madinah yang banyak hartanya, berupa kebun kurma. Antara hartanya yang paling dicintainya ialah kebun kurma Bairuha’. Kebun ini (letaknya) menghadap masjid. Rasulullah SAW memasuki kebun itu dan meminum daripada airnya yang segar.”

    Anas berkata: Maka, apabila turun ayat ini: لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون (maksudnya) “Kamu tidak sekali-kali memperoleh kebajikan, sehingga kamu menginfakkan daripada apa yang kamu cintai”, Abu Thalhah pergi ke tempat Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Taala telah berfirman (maksudnya): “Kamu tidak sekali-kali memperoleh kebajikan, sehingga kamu menginfakkan daripada apa yang kamu cintai.” Padahal harta saya yang paling saya cintai ialah kebun kurma Bairuha’. Maka, sesungguhnya ia sedekah kerana Allah Taala. Saya mengharapkan kebajikannya serta sebagai simpanan di sisi Allah Taala. Oleh kerana itu, gunakanlah kebun itu, wahai Rasulullah sebagaimana yang Allah beritahukan kepada anda.

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Aduhai, itu adalah harta yang menguntungkan, itu harta yang menguntungkan. Saya telah mendengar apa yang kamu katakan dan sesungguhnya saya berpendapat agar kebun itu kamu berikan kepada kerabat kamu.

    Abu Thalhah berkata: Saya akan melaksanakan itu wahai Rasulullah.

    Selanjutnya Abu Thalhah membahagi-bahagikan kebun Bairuha’ itu kepada kerabatnya serta bani bapa saudaranya.

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan keutamaan menginfakkan harta disayangi kerana Allah. Ia juga menerangkan keutamaan menginfakkan kepada kaum kerabat kerana hal itu sekali gus menguatkan ikatan kekeluargaan.

    Rujukan/Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 255/256

  • Berkat menyambung ikatan kekeluargaan, panjang umur dan luas rezeki

    Daripada Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

    HURAIAN

    Kata-kata “yunsa a lahu fi atsarihi” ( ينسأله في أثره ) dalam teks hadis ini maksudnya ialah diakhirkan ajalnya dan dipanjang usianya.

    Hadis ini menerangkan bahawa menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambah rezeki dan umur dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.

    Rujukan: Riyadus Solhin & Penjelasannya.

  • Layanan buruk oleh kerabat, seolah-olah beri makan abu panas

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki berkata (ertinya): “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya mempunyai kerabat. Saya menyambung ikatan kekeluargaan dengan mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka berlaku buruk pada saya. Saya bersikap sabar kepada mereka, tetapi mereka menganggap bodoh sikap saya itu.

    Lantas baginda bersabda: Jika benar apa yang kamu katakan itu, maka seolah-olah mereka kamu beri makanan abu panas. Dan kamu sentiasa disertai penolong daripada Allah dalam menghadapi mereka, selama kamu memang dalam keadaan yang seperti itu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 254.

You cannot copy content of this page