Kategori: HADIS

  • Suasana syurga

    Abu Bakar al-Bazzar meriwayatkan: Bahawa perawi hadis ini mendengar Usamah bin Zaid RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: Tidakkah (kamu sekalian) segera bersiap sedia menuju syurga? Sesungguhnya syurga tidak ada bandingnya. Demi Zat Pemelihara Kaabah, syurga itu bercahaya gemerlap, berbau harum semerbak, (berisi) gedung yang kukuh, sungai yang mengalir, buah yang matang, isteri yang cantik jelita, pakaian-pakaian yang banyak, (tinggal) di tempat yang abadi, di negeri yang damai, (di mana terdapat) buah-buahan, sayur-sayuran, tetangga dan kenikmatan, di tempat yang tinggi megah. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami segera bersiap sedia menuju syurga. Rasul bersabda: Kalau begitu, ucapkanlah In-sya-Allah. Maka mereka pun mengucapkan In-Sya-Allah.

    Al-Bazzar mengatakan: Untuk hadis ini kami hanya mengetahui jalur sanad ini saja.

    Dalam hadis diriwayatkan secara marfu’ oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah: Daripada Abu Hurairah, bahawa: Tanah syurga itu putih, halamannya kapur-kapur barus, dikelilingi kasturi bagaikan tompokan-tompokan pasir. Di sana terdapat sungai-sungai yang mengalir. Para penghuni syurga berkumpul di sana. Mereka saling berkenalan. Maka, dikirim oleh Allah angin rahmat, menyebabkan tersebarnya kepada mereka bau kasturi. Ketika seseorang pulang kepada isterinya, dia benar-benar telah bertambah tampan dan harum, sehingga isterinya berkata kepadanya: Sesungguhnya ketika kamu keluar dariku tadi, aku kagum kepadamu, tapi sekarang aku lebih kagum lagi kepadamu.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 544-546

  • Angin syurga dan keharumannya

    Abu Daud ath-Thayalisi meriwayatkan: Daripada Abdullah bin Amr bin As RA bahawa Nabi bersabda: Sesiapa mengaku bernasab kepada selain ayahnya sendiri, maka dia tidak akan mencium bau syurga, padahal sesungguhnya bau syurga benar-benar boleh tercium dari jarak perjalanan lima puluh tahun.

    Hadis ini diriwayatkan pula oleh Ahmad, daripada Ghandar, daripada Syu’bah, di mana dia berkata: Sab’iina ‘aaman (tujuh puluh tahun).

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abdullah bin Amr, Nabi SAW bersabda: Sesiapa membunuh seorang mu’ahid (orang bukan Islam yang telah membuat perjanjian damai dengan umat Islam), maka dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga benar-benar tercium dari jarak perjalanan empat puluh tahun.

    Menurut riwayat ath-Thabarani: daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa membunuh seorang mu’ahid tanpa alasan yang benar, maka dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga tercium dari jarak perjalanan setahun.

    Hadis yang sama telah diriwayatkan pula oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah secara marfu’, di mana dia katakan: Sab’iina khariifan (tujuh puluh musim gugur).

    Diceritakan pula dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim: Bahawa Saad bin Muaz melalui Anas bin An-Nadhar ketika dia terbunuh di perang Uhud. Waktu itu dia tidak mengenalinya kerana banyaknya luka. Yang boleh mengenalinya hanya saudara perempuannya, bernama Ar-Rabi’ binti An-Nadhar dengan melihat jari-jarinya. Pada tubuhnya terdapat lebih daripada 80 pukulan pedang, tusukan tombak dan lemparan panah. Semoga Allah meredainya. Saad bin Muaz mengatakan: Anas telah mencium bau syurga (sebelum kewafatannya).

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 543-544

  • Bertemu di pasar syurga

    Al-Hafiz Abu Bakar bin Abi Asim meriwayatkan: Daripada Said bin Al-Musayyab bahawa dia pernah bertemu Abu Hurairah. Abu Hurairah berkata: Mohonlah kamu kepada Allah agar aku dan kamu boleh bertemu di pasar di syurga.

    “Di syurga ada pasar,” tanya Ibn Al-Musayyab.

    Ya, jawab Abu Hurairah, Rasulullah pernah memberitahu kepadaku: Sesungguhnya apabila para penghuni syurga telah memasuki syurga kerana keutamaan amalan mereka, maka mereka benar-benar diizinkan – selama waktu seukuran panjangnya dengan hari Jumaat semasa di dunia – untuk berkunjung kepada Allah, di suatu taman di antara taman-taman syurga.

    Dipasang untuk mereka panggung-panggung daripada cahaya, panggung-panggung daripada mutiara, panggung-panggung daripada permata Zabarjad. Panggung-panggung daripada permata yaqut, panggung-panggung daripada emas dan panggung-panggung daripada perak. Sedang orang paling rendah antara mereka – meskipun sebenarnya tidak ada orang rendah di sana – duduk di atas tompokan kasturi dan kapur barus. Namun demikian, mereka tidak memandang bahawa yang duduk di kursi itu lebih utama daripada mereka.

    Kata Abu Hurairah: Aku bertanya, wahai Rasulullah, dapatkah kita melihat Tuhan kita?

    Ya, tegas Rasul. Apakah kamu samar ketika melihat matahari atau bulan pada malam purnama?

    Kami menjawab: Tidak.

    Rasulullah menegaskan: Demikian pula, kamu tidak akan samar ketika melihat Tuhanmu. Semua yang hadir di majlis itu akan diajak berdialog dengan Allah. Dia bertanya, hai polan bin polan (seseorang), ingatkah kamu pada hari ketika kamu melakukan ini dan itu? Allah menyebut beberapa dosa orang itu semasa di dunia.

    Orang itu pun menjawab: Tentu, tetapi apakah Engkau tidak mengampunkan aku.

    Allah menyatakan: Ya, Aku mengampunimu. Dan keampunan-Ku itulah yang telah menghantarkan kamu ke sini.

    Nabi SAW bersabda (melanjutkan ceritanya): Ketika mereka dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba datanglah awan menutup mereka di angkasa. Awan itu kemudian menghujankan minyak wangi, yang harumnya tidak pernah mereka rasakan sama sekali sebelumnya.

    Nabi bersabda: Kemudian Tuhan kita yang Maha Perkasa dan Maha Agung berfirman; bangkitlah kamu, menuju kemurahan yang telah Aku sediakan untukmu. Ambillah apa saja yang kamu inginkan.

    Nabi bersabda: Ternyata mereka melihat ada pasar yang dikelilingi para malaikat. Barang-barang yang ada di sana tidak pernah ada mata yang melihatnya, tidak pernah ada telinga yang mendengarnya dan tidak pernah terdetik dalam hati sesiapa pun.

    Nabi bersabda: Selanjutnya segala yang kita inginkan ada yang membawakannya untuk kita. Tidak dijual dan tidak perlu dibeli. Di pasar itu antara sesama penghuni syurga saling bertemu. Orang yang berkedudukan tinggi boleh bertemu dengan yang lebih rendah – sekalipun di sana tidak ada orang rendah. Orang yang lebih rendah itu tertarik dengan pakaian dan dandanan temannya. Namun belum lagi perkataannya berakhir, tiba-tiba telah muncul di hadapannya pakaian yang lebih indah. Ini semua kerana tidak sepatutnya ada yang berasa sedih dalam syurga.

    Nabi bersabda: Kemudian kita pulang ke tempat tinggal masing-masing. Di rumah kita dijemput isteri-isteri kita, seraya berkata: Alangkah senangnya, selamat datang kekasih kami. Sesungguhnya kamu nampak lebih tampan dan lebih harum daripada ketika kamu meninggalkan kami.

    Kita menjawab: Sesungguhnya kami telah duduk-duduk bersama Tuhan kita Yang Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Agung. Maka, patutlah kalau kami pulang membawa perubahan seperti yang kamu saksikan ini.

    Menurut riwayat Muslim: daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya di syurga benar-benar ada pasar yang mereka datangi setiap hari Jumaat. Pada waktu itu bertiuplah angin utara menerpa wajah dan pakaian mereka, maka mereka bertambah elok dan tampan. Lalu mereka pulang kepada keluarga masing-masing setelah nampak semakin elok dan tampan.

    Berkatalah keluarga mereka: Demi Allah, kamu benar-benar nampak lebih elok dan tampan setelah meninggalkan kami.

    Jawapannya: Kamu pun demikian juga, demi Allah nampak lebih elok dan cantik setelah kami tinggalkan.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 540-542

  • “Apa yang kami dapat pada hari Jumaat?”

    Diriwayatkan oleh Al-Bazzar; daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jibril pernah datang kepadaku dengan membawa cermin putih di tangannya. Pada cermin itu ada setitik noda hitam. Maka, aku bertanya, apa in, hai Jibril?

    Dia menjawab: Ini Jumaat. Tuhanmu hendak memperlihatkannya kepadamu. Selanjutnya, ia menjadi hari raya bagimu dan bagi kaummu sepeninggalanmu. Kamulah yang ada di hadapan, sedang orang-orang Yahudi dan Nasrani ada di belakangmu.

    Rasul bertanya: Apa yang kami dapat pada hari Jumaat?

    Jibril menjawab: Pada hari itu bagimu ada suatu saat, di mana orang Mukmin mana pun yang meminta kebaikan kepada Tuhannya, yang memang sudah ditetapkan menjadi bahagiannya, pasti kebaikan itu diberikan kepadanya. Apabila dia meminta kebaikan yang bukan menjadi bahagiannya, maka Allah menyimpan untuknya sesuatu yang lebih besar lagi daripada itu. Apabila Mukmin itu meminta perlindungan daripada keburukan yang sudah ditetapkan untuknya, nescaya Allah melindunginya daripada keburukan yang lebih besar lagi daripada itu.

    Nabi SAW berkata: Aku bertanya, apa noda hitam ini?

    “Ini kiamat, ia akan terjadi pada hari Jumaat,” jawab Jibril. “Hari Jumaat adalah hari terbaik dalam kalangan kami, dan kelak di akhirat kami menyebutnya “Yaum al-Mazid” (hari penambahan).”

    Nabi SAW bertanya pula: Apa itu hari penambahan?

    Jibril menerangkan: Sesungguhnya Tuhanmu membuat di syurga suatu lembah yang luas daripada kasturi putih. Apabila datang hari Jumaat, maka Tuhanmu turun dari ‘Illiyyin (alam keluhuran) ke Kursi-Nya. Kemudian Kursi-Nya dikelilingi panggung-panggung daripada cahaya, maka datanglah para nabi, lalu duduk di sana. Kemudian panggung-panggung itu dikelilingi kursi-kursi emas, maka datanglah para siddiqin dan syuhada, lalu duduk di sana. Kemudian datang pula para penghuni syurga yang lain, lalu duduk di atas tompokan-tompokan kasturi tadi.

    Maka, Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Agung menampakkan Zat-Nya kepada mereka, sehingga mereka boleh memandang kepada Wajah-Nya, lalu firman-Nya: Akulah yang telah memenuhi janji-Ku dan menyempurnakan nikmat-Ku kepadamu sekalian. Di sinilah tempat kemurahan-Ku, maka mintalah kamu kepada-Ku.

    Mereka meminta kepada Allah apa sahaja, sehingga dipenuhi segala keinginan mereka. Pada waktu itu, mereka dibenarkan mengambil apa saja, yang tidak pernah dilihat mata sesiapa pun, dan tidak pernah terdetik dalam hati manusia mana pun. Itu semua berlangsung sampai waktu yang sama dengan saat pulangnya para jemaah dari (menunaikan solat di) hari Jumaat (semasa di dunia).

    Kemudian Allah naik ke Kursi-Nya, begitu juga para syuhada dan siddiqin ke kursi masing-masing. — Saya kira Rasulullah SAW mengatakan pula: Sedangkan para penghuni bilik pulang ke biliknya masing-masing yang diperbuat daripada mutiara putih, permata yaqut merah atau permata zabarjad hijau. Bilik-bilik dan pintu-pintu mereka berukir mutiara, yaqut atau zabarjad tadi. Di sana ada pula pohon-pohon yang mudah dipetik buahnya. Juga isteri-isteri dan para pelayan mereka. Mereka lebih mengharapkan datangnya hari Jumaat, daripada pada yang lain, kerana mereka berharap akan diberikan tambahan kemurahan daripada Allah di hari itu dan diberikan kesempatan lagi memandang wajah Allah. Ini kerana hari itu disebut “Yaum al-Mazid”.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 538-539

  • Al-Husna dan ziyadah

    Menurut riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim; daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah pada hari kiamat mengutus seorang petugas untuk menyeru; wahai sekalian penghuni syurga! Dengan suara yang dapat didengar oleh orang-orang paling hadapan mahupun paling belakang; sesungguhnya Allah pernah menjanjikan kepadamu “al-Husna” dan “ziyadah”. Al-Husna adalah syurga, dan ziyadah adalah memandang kepada Wajah Tuhan Yang Maha Pengasih.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 537

  • Disingkap hijab daripada mereka

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan ayat berikut (maksudnya): “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” (Yunus, 26)

    Lalu Rasulullah SAW bercerita: Apabila semua penghuni syurga telah masuk syurga, dan semua penghuni neraka telah masuk neraka, maka terdengarlah suatu seruan: “Wahai sekalian penghuni syurga, sesungguhnya bagimu di sisi Allah ada janji yang akan Dia tunaikan kepadamu.”

    “Apa itu, penghuni syurga tertanya-tanya. Bukankah semua amalan (kebaikan) kami telah Engkau jadikan lebih berat? Bukankah telah Engkau jadikan wajah-wajah kami putih berseri! Engkau masukkan kami ke dalam syurga, dan Engkau keluarkan kami dari neraka!”

    Rasul bersabda (meneruskan ceritanya): “Lalu disingkapkan hijab daripada mereka, sehingga mereka dapat memandang kepada Allah. Demi Allah, tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada mereka, yang lebih mereka sukai dan menyenangkan pandangan mata mereka, selain memandang kepada-Nya.”

    Demikian pula bunyi hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Hammad bin Salamah.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 537

  • Saling berpandangan antara penghuni syurga dan Allah

    Abu Abdillah Muhamad bin Yazid bin Majah pada kitab as-sunnah dalam sunannya, meriwayatkan: Daripada Jabir bin Abdillah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketika para penghuni syurga berada dalam kenikmatan mereka, tiba-tiba muncullah cahaya menyinari mereka. Mereka pun mendongakkan kepala mereka dan ternyata atas kurnia-Nya, Allah menghampiri mereka dari atas, seraya mengucapkan: “Assalamualaikum wahai sekalian penghuni syurga!”

    Rasul bersabda: Itulah yang dimaksudkan pada firman Allah (bermaksud); (kepada mereka dikatakan) salam sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang (Yasin, 58).

    Rasulullah bersabda: Allah memandang kepada segenap penghuni syurga dan mereka pun memandang kepada-Nya. Mereka tidak melihat kepada kenikmatan apa pun selama mereka memandang kepada-Nya, sehingga Allah tidak terlihat lagi oleh mereka. Tetapi masih ada tertinggal iaitu cahaya dan berkat-Nya atas mereka di dalam rumah-rumah mereka.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 533

  • Keredaan abadi Allah terhadap penghuni syurga

    Malik bin Anas meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, “Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah berfirman kepada penghuni syurga: Wahai sekalian penghuni syurga!

    Labbaika Rabbana, wa sa’daika (Kami penuhi panggilan-Mu wahai Tuhan kami dengan memohon kebahagiaan daripada-Mu), jawab mereka.

    Allah bertanya: Apakah kamu sekalian telah reda?

    Mereka menjawab: Kenapa kami tidak reda, padahal Engkau telah memberi kami apa-apa yang Engkau tidak berikan kepada seseorang pun antara makhluk-makhluk-Mu yang lain!

    Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan memberimu yang lebih baik lagi daripada itu.

    Mereka bertanya: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada itu?

    Allah menjawab: Aku tempatkan keredaan-Ku kepadamu. Dengan demikian Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya.”

    Hadis ini dikeluarkan juga dengan lafaz sama oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Malik dalam kitab Sahih kedua-duanya.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 532

  • Apakah ada tidur dan mati di dalam syurga

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Hurairah RA dan Abu Said, daripada Nabi SAW bercerita: Maka, terdengarlah suatu seruan:

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap hidup, tanpa mengalami mati selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap sihat, tanpa mengalami sakit selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap muda, tanpa mengalami tua selama-lamanya.

    Dan sesungguhnya kamu sekalian akan tetap nikmat tanpa mengalami penderitaan selama-lamanya.

    Nabi bersabda: Empat perkara inilah yang diseru.

    Al-Hafiz Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan: Daripada Jabir RA, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Tidur adalah saudara mati. Dan sesungguhnya penghuni syurga tidak tidur.

    Huru-hara Hari Kiamat, 530

  • Kelahiran bayi dalam syurga?

    Apabila penghuni syurga menginginkan anak, maka mereka diberi anak, seperti halnya semasa hidup di dunia, benarkah?

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang Mukmin (orang beriman) menginginkan anak di syurga, maka dikandung anak itu, dilahirkan dan dibesarkannya dalam sekelip (sebentar) seperti yang diinginkan Mukmin itu?

    Menurut Tirmidzi, hadis ini (statusnya) hasan gharib, sedangkan al-Hafiz adh-Dhiya al-Maqdisi mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat (Imam) Muslim.

    Sufyan ats-Tsauri meriwayatkan, daripada Abban, daripada Abus Siddiq an-Naji, daripada Abu Said, dia berkata: Pernah ditanyakan, wahai Rasulullah, mungkinkah dilahirkan seorang anak bagi penghuni syurga? Bukankah anak itu melengkapi kegembiraan?

    Rasul menjawab: Benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, tetapi itu terjadi hanya selama waktu seseorang daripada kamu sekalian berangan-angan, maka terjadilah anak itu, dikandung dan disusukan, lalu menjadi pemuda.

    Penjelasan Rasulullah pada hadis terakhir ini menunjukkan peristiwa kelahiran anak benar-benar terjadi.

    Ada dinukilkan (dipetik) daripada sejumlah tabiin seperti Thawus, Mujahid, Ibrahim an-Nakhaie dan lain-lain, bahawa di syurga tidak ada peristiwa kelahiran anak.

    Ini benar, kerana hubungan seksual yang dilakukan penghuni syurga tidak menyebabkan terjadi janin seperti halnya di dunia. Dunia memang merupakan alam yang menghendaki berlangsungnya keturunan, untuk memakmurkannya. Lain halnya syurga, yang menghendaki kekalnya kerajaan. Oleh kerana itu, dalam hubungan seksual di sana tidak terjadi keluarnya mani yang mengakibatkan terputusnya kelazatan persetubuhan. Namun apabila ada seseorang penghuni syurga yang menginginkan anak, maka apa yang diinginkan itu terjadi, sebagaimana difirmankan Allah (maksudnya): Mereka memperoleh apa saja yang mereka kehendaki pada sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik.” (Az-Zumar, 34)

    Sumber: Huru-hara Hari Kiamat, 527 & 528

  • Apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga?

    Menurut riwayat Abu Daud ath-Thayalisi: Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang Mukmin di dalam syurga diberi kekuatan sekian dan sekian lelaki.

    Saya (Anas) berkata: Wahai Rasulullah, kuatkah dia melakukan itu?

    Rasul menjawab: Dia diberi kekuatan seratus (orang lelaki).

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA: Pernah ditanya; wahai Rasulullah, apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga? — Dan menurut riwayat lain; apakah kita menyetubuhi isteri-isteri kita? — Rasulullah menjawab: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya seorang lelaki dalam satu pagi benar-benar menyetubuhi seratus perawan.

    Al-Hafiz adh-Dhiya mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat hadis sahih.

    Huru-hara Hari Kiamat, 527

  • Andai wanita syurga mengintip ke bumi

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Anas RA, (sabda) Rasulullah SAW: Sesungguhnya berangkat di waktu pagi atau petang di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia seisinya. Sesungguhnya sebatang busur panah milik seorang daripada kamu sekalian atau tempat cambuknya di syurga, adalah lebih baik dari dunia seisinya. Dan andai ada seorang wanita syurga mengintip ke bumi, nescaya baunya memenuhi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya semuanya menjadi harum. Dan sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Menurut riwayat al-Bukhari: Andai ada seorang wanita penghuni syurga mengintip ke bumi, nescaya dia menerangi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya baunya memenuhi ruang di antara kedua-duanya. Sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Huru-hara Hari Kiamat, 526

You cannot copy content of this page