Kategori: HADIS

  • Golongan masuk syurga, wajah mereka bersinar bagai bulan malam purnama

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada diriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Daripada umatku ada satu golongan yang masuk syurga, mereka ada 70,000 orang, wajah mereka bersinar bagaikan bulan pada malam purnama.

    Lalu, berdiri Ukasyah bin Muhsin (al-Asadi, sambil menyerahkan secarik kain wol bergaris) dia berkata: Wahai Rasulullah, doakan saya kepada Allah supaya menjadikan saya tergolong mereka.

    Rasulullah pun mendoakan dia agar Allah menjadikannya tergolong mereka.

    Dan tiba-tiba berdiri pula seorang lain daripada kaum Ansar, lalu berkata: Wahai Rasulullah, doakan saya juga kepada Allah agar menjadikan tergolong mereka.

    Baginda bersabda: Kamu didahului oleh Ukasyah.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 565

  • Sebaik-baik generasi

    Dinyatakan dalam sahih al-Bukhari dan Muslim: “Sebaik-baik masa adalah masa (hidup) ku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya lagi. Sesudah itu datang suatu kaum di bawah matahari – atau langit – yang bernazar tetapi tidak ditunaikannya, bersyahadah tetapi enggan mati syahid, berkhianat dan tidak boleh dipercayai.” (Hadis riwayat Bukhari 5/2, dan Muslim dalam sahihnya 2/271)

    Memang begitu, bahawa sebaik-baik umat ini adalah angkatan (generasi) pertama yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud RA: “Sesiapa antara kamu sekalian mahu mengikut, maka ikutlah angkatan yang sudah meninggal iaitu para sahabat Nabi Muhammad SAW. Antara umat ini, merekalah yang hatinya paling beriman, ilmunya paling agung dan paling sedikit mengada-adakan. Mereka adalah kaum yang telah dipilih Allah untuk menemani Nabi-Nya dan menolong agama-Nya. Akuilah kedudukan mereka dan ikutlah mereka. Sesungguhnya mereka sentiasa berpegang pada petunjuk yang lurus.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 564-565

  • Orang lemah tertindas penghuni syurga, orang kasar sombong penghuni neraka

    Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat: Daripada Haritsah bin Wahab. Nabi SAW bersabda: Tidakkah aku beritahu kepadamu sekalian siapa penghuni syurga? Iaitu setiap orang lemah yang tertindas. Namun jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya dia tunaikan sumpahnya. Dan tidakkah aku beritahu kepadamu sekalian siapa penghuni neraka? Iaitu setiap orang yang kasar dan sombong.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 564

  • Selisih waktu masuk syurga antara orang fakir dan orang kaya

    Dalam Musnad Imam Ahmad, Jami’ at-Tirmidzi dan sunan Ibnu Majah, ada diriwayatkan secara marfu’: Daripada Abu Hurairah RA: Muslimin yang fakir masuk syurga lebih dahulu daripada mereka yang kaya dengan selisih setengah hari, iaitu lima ratus tahun.

    Sanad hadis ini sesuai syarat Muslim dan menurut at-Tirmidzi darjatnya hasan sahih.

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang-orang fakir daripada Muhajirin (masuk syurga) mendahului orang-orang kaya pada hari kiamat dengan selisih empat puluh kali musim gugur.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 563

  • Hawa sejuk dan panas

    Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim: Daripada Rasulullah SAW: Bahawa baginda sudah melihat syurga dan neraka pada malam Israk.

    Rasulullah SAW bersabda pula: Neraka mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: “Wahai Tuhanku, sebahagianku memakan sebahagian yang lain.” Tuhan mengizinkan neraka bernafas dua kali (dalam setahun), sekali di musim sejuk dan sekali lagi pada musim panas. Hawa paling sejuk yang kamu rasakan adalah berasal dinginnya neraka. Hawa paling panas yang kamu rasakan adalah berasal daripada panasnya neraka. Oleh kerana itu, apabila terjadi hawa panas, maka tunggulah sampai hawa menjadi sejuk untuk melakukan solat.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 559-560

  • Berkat doa keampunan anak buat ayah

    Diriwayatkan oleh Ahmad: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah benar-benar mengangkat darjat hamba yang soleh di syurga kelak, maka dia berkata: “Wahai Tuhanku! Dari mana ini semua aku perolehi?”

    Allah menjawab: “Kerana anakmu sentiasa memohon keampunan untukmu.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 559

  • Hakikat iman

    Disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dalam kitab al-iman dalam hadis riwayat Haritshah bin Suraqah, ketika Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini?”

    Haritshah menjawab: “Pagi ini aku benar-benar beriman kepada Allah.”

    “Apa hakikat imanmu,” tanya Rasul.

    Maka dia jawab: “Aku telah memalingkan diriku dari dunia. Yakni aku berjaga di malam hari, dahaga di siang hari. Ianya seakan-akan aku melihat arasy Tuhanku nampak nyata, dan aku melihat para penghuni syurga saling berkunjung dan para penghuni neraka diseksa di sana.”

    (Mendengar itu) maka baginda bersabda: “(Inilah) hamba yang diterangi hatinya oleh Allah.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 554-555

  • Kuda syurga

    At-Tirmidzi meriwayatkan: Daripada Sulaiman bin Abi Buraidah, daripada ayahnya, bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah di dalam syurga ada kuda?”

    Rasul menjawab: “Sesungguhnya, apabila kamu telah dimasukkan Allah ke dalam syurga, maka kamu di sana benar-benar takkan dinaikkan di atas kuda selain kuda daripada permata yaqut merah yang boleh terbang membawamu dalam syurga ke mana pun yang kamu inginkan.”

    Abu Buraidah berkata, ada seorang lelaki lain bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini seorang penggemar kuda, apakah di syurga ada kuda?”

    Rasulullah menjawab: “Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya di syurga benar-benar terdapat kuda dan unta yang cepat dan berbadan langsin, berjalan di celah-celah dedaunan syurga. Mereka saling berkunjung sesamanya ke mana pun mereka suka.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 551-552

  • Nyanyian bidadari dalam syurga

    Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi: Daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dalam syurga ada tempat pertemuan para bidadari. (Di sana) mereka menyanyi dengan suara-suara yang tidak pernah didengar sama sekali oleh makhluk apa pun. Mereka melantunkan (lirik-lirik lagu)

    Kami wanita alam baqa, takkan binasa selamanya
    Kami wanita ceria, tak kenal susah selamanya
    Kami wanita yang rela, tak kenal murka selamanya
    Bahagialah lelaki, yang menjadi milik kami
    (Bahagialah manusia), yang kami milik dia.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 551

  • Cari syurga, lari dari neraka, sekuat tenagamu

    Abu Bakar asy-Syafie meriwayatkan: Daripada Kulaib bin Harb. Dia menyatakan: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Carilah syurga sekuat tenagamu, dan larilah dari neraka sekuat tenagamu. Sesungguhnya pencari syurga itu tidak sepatutnya tidur. Dan sesungguhnya orang yang lari dari neraka itu tidak sepatutnya tidur. Sesungguhnya akhirat sekarang ini dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak disukai. Dan sesungguhnya dunia dikelilingi dengan pelbagai kesenangan. Maka, jangan sampai dunia ini melalaikan kamu daripada akhirat.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 549-550

    Nota – Tidur dalam hadis itu bukanlah bermaksud melarang daripada tidur. Ia dalam konteks tidur berlebihan, asyik dengan tidur atau tewas dengan tidur, sehingga malamnya langsung tidak diisi dengan amalan ibadat kepada Tuhannya. Orang mencari syurga sepatutnya cergas, rajin melakukan amalan yang menuju ke arahnya, sekali gus menjauhkan diri dari neraka.

  • Mintalah diselamatkan dari neraka, dimasukkan ke syurga

    Abu Ya’la meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: Tidak seorang pun yang minta diselamatkan dari neraka tiga kali, melainkan neraka berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya hamba-Mu, polan (seseorang) benar-benar telah meminta diselamatkan dariku, maka selamatkanlah dia.”

    Tidak seorang pun yang meminta diberikan syurga tujuh kali, melainkan syurga berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya hamba-Mu polan (seseorang) telah meminta dariku, maka masukkanlah dia ke dalam syurga.” (Hadis ini sesuai syarat Muslim)

    At-Tirmidzi, an-Nasai dan Ibnu Majah meriwayatkan: Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa meminta syurga kepada Allah tiga kali, maka syurga berkata: “Wahai Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga. Dan sesiapa meminta perlindungan kepada Allah dari neraka tiga kali, maka neraka itu berkata: Wahai Allah, selamatkanlah dia dari neraka.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 549

  • Rumah itu adalah syurga

    Al-Bukhari dan lainnya meriwayatkan: Daripada Jabir, bahawa ada beberapa malaikat datang kepada Rasulullah SAW ketika sedang tidur.

    Sebahagian daripada mereka berkata: Dia sedang tidur.

    Yang lain berkata: Matanya memang tidur, tetapi hatinya tidak.

    Mereka berkata: Sesungguhnya temanmu ini mempunyai perumpamaan, maka buatlah perumpamaan untuknya.

    Berkata yang lain: Perumpamaan dia adalah seperti orang yang membina sebuah rumah, lalu mengadakan jamuan makan di dalamnya. Pemilik rumah itu mengirim seseorang untuk menyampaikan undangan. Sesiapa memenuhi undangan itu, maka dia masuk ke rumah itu dan ikut makan pada jamuan itu. Sesiapa tidak memenuhi undangan, maka tidak masuk ke rumah itu dan tidak ikut makan pada jamuan itu.

    Mereka berkata: Terangkan perumpamaan itu, supaya dia faham.

    Yang lain mengatakan: Dia masih tidur.

    Tapi dibantah oleh yang lain lagi: Matanya memang tidur, tapi hatinya tidak.

    Mereka berkata: Rumah itu adalah syurga. Penyampai undangan itu adalah Muhammad SAW. Sesiapa taat kepada Muhammad bererti dia taat kepada Allah. Sesiapa derhaka kepada Muhammad, bererti dia derhaka kepada Allah. Muhammad adalah pembeza antara manusia.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 548-549

You cannot copy content of this page