Kategori: HADIS

  • Setiap persendian sedekah

    Daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Setiap persendian seorang antara kamu sekalian sedekah, maka setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, menyuruh pada kebaikan adalah sedekah, melarang kejahatan adalah sedekah dan yang demikian itu dapat dicukupi dengan dua rakaat solat Duha. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Intisari hadis:

    Keutamaan mengucapkan tasbih dan zikir-zikir yang lain, menyuruh kebaikan dan mencegah kejahatan, dan bersedekah dapat dilakukan dengan selain harta iaitu berupa semula jenis amalan kebaikan.

    Keutamaan solat Duha dan bahawa solat Duha dapat mencukupi sebagai sedekah untuk anggota badan, kerana solat merupakan perbuatan semua anggota badan dan menahan diri daripada hal yang keji dan mungkar.

    1. Keutamaan solat Duha dan bahawa solat Duha dapat mencukupi sebagai sedekah untuk anggota badan, kerana solat merupakan perbuatan semua anggota badan dan menahan diri daripada hal yang keji dan mungkar.
    1. Keutamaan mengucapkan tasbih dan zikir-zikir yang lain, menyuruh kebaikan dan mencegah kejahatan, dan bersedekah dapat dilakukan dengan selain harta iaitu berupa semula jenis amalan kebaikan.
    2. Keutamaan solat Duha dan bahawa solat Duha dapat mencukupi sebagai sedekah untuk anggota badan, kerana solat merupakan perbuatan semua anggota badan dan menahan diri daripada hal yang keji dan mungkar.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 127

  • Amalan paling utama

    Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah RA berkata: Saya bertanya, wahai Rasulullah, amalan manakah paling utama?

    Baginda berkata: Iman kepada Allah dan berjihad pada jalan-Nya.

    Saya bertanya lagi, hamba sahaya manakah yang lebih utama?

    Baginda berkata: Hamba sahaya yang dipandang indah bagi pemiliknya serta termahal harganya.

    Saya berkata, jika saya tidak dapat melakukan hal tersebut?

    Baginda berkata: Hendaklah kamu membantu kepada seorang pekerja atau kamu melakukan suatu untuk seseorang yang kurang pandai bekerja.

    Saya berkata, wahai Rasulullah, bukankah anda lihat jika saya ini lemah dalam sesetengah pekerjaan.

    Baginda berkata: Hendaklah kamu menahan diri, jangan sampai melakukan kejahatan kepada orang lain, maka sesungguhnya hal itu merupakan sedekah daripada kamu untuk dirimu sendiri. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi penjelasan mengenai banyak cara melakukan kebaikan dan jika seseorang tidak mampu melakukan salah satu jenis kebaikan, pasti dia mampu melakukan amalan (baik) yang lain. Apabila dia tidak mampu melakukannya, maka dia dapat menahan diri daripada melakukan kejahatan kepada manusia (lain). Hal yang tidak dapat diraih secara keseluruhan, maka tidaklah ditinggalkan semuanya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 126 & 127

  • Dibangkitkan sesuai dengan keadaan meninggal dunia

    Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Setiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya sesuai keadaan ketika dia meninggal dunia. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Penjelasan:

    Hadis ini mengandungi motivasi kepada seseorang untuk melakukan amalan kebaikan, tetap dengan petunjuk Nabi Muhammad dalam segala keadaan, ikhlas kerana Allah dalam ucapan dan perbuatan agar dia meninggal dunia dalam keadaan terpuji, lalu dia pun dibangkitkan dalam keadaan demikian.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 125

  • Diterima alasan sehingga 60 tahun

    Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: Allah tetap menerima alasan seseorang yang diakhirkan ajalnya sehingga sampai usia 60 tahun. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Ulama berkata: Pengertian hadis ini bahawa Allah tidak membiarkan alasan yang disampaikan oleh seseorang yang sudah berumur 60 tahun kerana dia telah dilambatkan oleh Allah sampai usia tersebut. Dikatakan a’dzarar rajulu – apabila dia sangat banyak mengemukakan alasannya.

    Maksudnya, Allah tidak membiarkan seorang hamba mencari alasan, seperti dia mengatakan: “Andai umurku dipanjangkan, pasti aku melakukan apa yang diperintahkan.” Oleh kerana itu seharusnya dia beristighfar, melakukan ketaatan dan menyiapkan (diri) untuk akhirat secara maksimum.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 123

  • Keagungan Allah

    Daripada Said bin Abdul Aziz meriwayatkan daripada Rabi’ah bin Yazid daripada Abu Idris al-Khawlani daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah RA daripada Nabi SAW dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Allah Tabaaraka wa Taala bahawa Allah berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan pada diriku sendiri akan menganiaya dan Aku mengharamkan berbuat aniaya antara kamu. Maka, janganlah kamu saling menganiaya (menzalimi).

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua tersesat, kecuali orang yang Aku beri petunjuk. Maka, mohonlah petunjuk kepada-Ku, pasti kamu Aku beri petunjuk.

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua lapar, melainkan orang yang Aku beri makan. Maka, mohonlah makan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri makan.

    Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua telanjang, melainkan orang-orang yang Aku beri pakaian. Maka, mohonlah pakaian kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri pakaian.

    Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua berbuat kesalahan pada malam hari dan siang hari, sedangkan Aku mengampuni segala dosa. Maka, mohonlah keampunan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku ampun.

    Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua tidak dapat membahayakan Aku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan membahayakan Aku. Demikian pula, kamu semua tidak dapat memberikan manfaat kepada-Ku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan memberikan manfaat kepada-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling takwa antara kamu semua, maka hal ini tidak akan menambah sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling jahat antara kamu semua, maka hal ini tidak akan mengurangkan sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

    Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya berdiri di suatu tempat yang tinggi di atas bumi, lalu setiap seorang meminta sesuatu kepada-Ku dan masing-masing Aku berikan permintaannya, maka hal ini tidak akan mengurangi apa yang menjadi milik-Ku, melainkan hanya bagaikan menguranginya jarum apabila dimasukkan ke dalam laut.

    Wahai hamba-hamba-Ku, hanyasanya semua itu adalah amalan perbuatan kamu sendiri. Aku menghitungnya untuk kamu, lalu Aku memberikan balasannya. Maka, sesiapa mendapatkan kebaikan, hendaklah dia memuji kepada Allah dan sesiapa yang mendapatkan selain itu, hendaklah jangan menyalahkan melainkan pada dirinya sendiri.”

    Saad berkata: Abu Idris ketika menceritakan hadis ini dengan keadaan berlutut. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Kami juga meriwayatkannya daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan dia berkata: Tidak ada satu hadis pun bagi penduduk Syam yang lebih mulia daripada hadis ini.

    Ini merupakan hadis agung dan mulia. Ini termasuk hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Nabi SAW daripada Allah.

    Intisari hadis:

    1. Buruknya kezaliman dan sesungguhnya semua makhluk memerlukan Allah untuk mendapatkan kemaslahatan dan menolak mudarat untuk urusan agama dan dunia mereka.

    2. Sesungguhnya Allah senang (suka) hamba-Nya memohon dan meminta keampunan kepada-Nya.

    3. Kerajaan Allah tidak bertambah kerana ketaatan yang dilakukan oleh makhluk dan tidak berkurang kerana kemaksiatan yang dilakukan oleh makhluk.

    4. Sesungguhnya gudang (kekayaan) Allah tidak akan habis dan tidak berkurang.

    5. Kebaikan yang dialami seseorang berasal daripada anugerah Allah, sedangkan keburukan yang menimpanya berasal daripada diri sendiri dan hawa nafsunya.

    6. Hadis ini mencakupi kaedah agung dalam asas agama, cabangnya, etikanya dan sebagainya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 120-121

  • Sebaik-baik manusia

    Daripada Abu Sofwan Abdullah bin Busr al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang usianya dan baik perbuatannya. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan panjang usia ketika digunakan untuk melakukan amalan kebaikan. Dalam riwayat lain disebutkan “seburuk-buruk kamu ialah orang yang panjang usianya tetapi buruk perbuatannya”.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 118

  • Kelebihan bersujud

    Daripada Abu Abdullah dan dikatakan (juga) dengan nama Abu Abdur Rahman, Tsauban, maula Rasulullah SAW berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud, kerana sesungguhnya kamu tidak sekali-kali bersujud kepada Allah dengan sekali sujud melainkan Allah mengangkat kamu dengannya satu darjat dan dengannya pula Allah menghapuskan satu kesalahan daripada diri kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Latar belakang Tsauban meriwayatkan hadis ini ialah bahawa Ma’dan bin Thalhah berkata: “Saya datang kepada Tsauban, lalu saya berkata: Berilah saya maklumat mengenai amalan perbuatan yang ketika saya lakukan Allah memasukkan saya ke dalam syurga.”

    Atau dia mengatakan: “Amalan perbuatan yang paling dicintai oleh Allah.”

    Maka, Tsauban terdiam. Kemudian Ma’dan mengulangi pertanyaan lagi. Tsuaban pun terdiam. Lantas Ma’dan mengulangi pertanyaannya lagi yang kali ketiga.

    Lalu Tsauban berkata: “Saya pernah menanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda: Hendalah kamu memperbanyakkan sujud…”

    Pada bahagian akhir disebutkan: “Kemudian saya bertemu Abu Darda’ lalu saya bertanya kepadanya. Maka, dia pun mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh Tsauban.”

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 117

  • Syurga, neraka dekat pada seseorang

    Daripada Ibnu Mas’ud RA berkata: Nabi SAW bersabda: Syurga lebih dekat pada seorang antara kamu sekalian daripada ikat sandalnya dan neraka demikian juga. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Penjelasan

    Dalam hadis ini ada anjuran terhadap amalan kebaikan meskipun sedikit dan peringatan daripada melakukan kejahatan meskipun sedikit. Ketaatan dapat mendekatkan (seseorang) kepada syurga, sedangkan maksiat mendekatkan kepada neraka.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 116

  • Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat, sedangkan syurga dilitupi dengan pelbagai hal tidak disenangi. (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Orang Mukmin kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah.

    Tetapi masing-masing daripada kedua-duanya mempunyai sisi kebaikan.

    Berlumbalah untuk meraih apa saja yang dapat memberikan manfaat padamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah berasa lemah.

    Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah kamu berkata “kalau saya melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begini”. Tetapi katakanlah takdir Allah. Dan Dia melakukan apa saja yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya ucapan “kalau” membuka jalan amalan syaitan. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Qiyamullail sampai telapak kaki pecah-pecah

    Daripada Aisyah RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukan qiyamullail di sebahagian waktu malam sampai kedua-dua telapak kakinya pecah-pecah.

    Lantas saya bertanya kepadanya: Mengapa anda berbuat demikian, wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampunkan dosa-dosa anda yang telah lalu dan yang kemudian?

    Rasulullah SAW bersabda: Apakah saya tidak suka jika saya menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur? (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 113

  • Dua nikmat selalu dilalaikan manusia

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda; dua nikmat yang sering dilalaikan pada kedua-duanya oleh ramai daripada manusia; (iaitu) kesihatan dan kelapangan (waktu). (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 112

You cannot copy content of this page