Kategori: HADIS

  • Orang dikehendaki kebaikan, keburukan

    Anas berkata: Rasulullah SAW bersabda: Jika Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia mempercepatkan seksanya di dunia. Tetapi jika Allah menghendaki keburukan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia membiarkannya dengan melakukan dosanya, sehingga nanti akan dipenuhkan seksanya di hari kiamat.

    Dan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala setimpal besarnya ujian, dan sesungguhnya Allah apabila mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan memberi ujian kepada mereka. Oleh kerana itu, sesiapa yang rela menerimanya, dia akan memperoleh keredaan daripada Allah dan sesiapa yang marah-marah, maka dia memperoleh kemurkaan Allah. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis ini [statusnya] hasan sahih)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 68.

  • Bersabar, usah tergesa-gesa

    Daripada Abu Abdullah Khabbab bin al-Aratt berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika itu baginda bersandar pada jubahnya di bawah naungan Kaabah. Maka, kami berkata: Mengapa anda tidak memohonkan pertolongan untuk kita, sehingga kita menang? Mengapa anda tidak berdoa untuk kita?

    Baginda bersabda: Pernah terjadi pada orang-orang sebelum kamu seseorang ditangkap, kemudian digalikan tanah untuknya dan dia diletakkan di dalam kubang tersebut, kemudian diambilkan satu gergaji dan diletakkan di atas kepalanya, kemudian kepalanya dibelah menjadi dua. Selain itu, dia pun disisir dengan sisir dibuat daripada besi yang dikenakan di bawah daging dan tulangnya. Semua seksaan ini tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah, pastilah Allah akan menyempurnakan hal ini, sehingga seseorang yang berkenderaan dari Sana’a ke Hadhramaut tidak ada yang ditakuti melainkan Allah atau kerana takut pada serigala atas kambingnya. Namun kamu semua tergesa-gesa. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 66.

  • Jangan mengharapkan kematian

    Daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jangan seseorang antara kamu mengharapkan datang kematian kerana suatu mudarat yang menimpanya. Jika memang dia terpaksa harus berbuat demikian, maka hendaklah dia mengatakan: Wahai Allah, tetapkanlah saya hidup selama kehidupan baik untukku dan matikanlah saya apabila kematian yang memang baik untukku. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam hadis ini terdapat larangan mengharapkan kematian oleh kerana cubaan duniawi. Tetapi hendaklah bersabar atas takdir Allah dan memohon keselamatan kepada-Nya serta menyerahkan urusannya kepada Allah.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 66

  • Musibah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah memberikan musibah padanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Allah berfirman, maksudnya: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buahan, dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah, 155)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 65

  • Cintai saudara

    Daripada Anas meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya hal-hal yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 172

  • Agama adalah nasihat

    Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Agama adalah nasihat.

    Kami berkata: Untuk siapa?

    Baginda berkata: Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin muslimin serta bagi umat Islam secara umum. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 171/172

  • Sesiapa mengada-adakan, tertolak

    Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kita ini sesuatu yang tidak termasuk bahagian daripadanya (agama), maka dia tertolak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada ada perintah daripada kami ke atasnya (amalan itu), maka dia tertolak.

    Hadis ini termasuk dasar dan kaedah agama. Oleh kerana itu, hadis ini dijadikan dalil untuk membatalkan akad-akad yang dilarang dan menolak hal-hal yang baru dan hal-hal dilarang.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163

  • Umpama belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api

    Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan saya dan perumpamaan kamu semua adalah bagaikan seorang lelaki yang menyalakan api, kemudian banyak belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api, sedangkan orang itu mencegahnya jangan masuk ke situ. Dan saya adalah seorang yang merintangi kamu semua dari neraka. Tetapi kamu masih juga hendak lepas daripada pegangan saya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Nabi SAW menyerupakan jatuhnya orang-orang jahil dan orang-orang yang menyimpang dengan melakukan kemaksiatan dan (menuruti) syahwat mereka ke dalam neraka serta semangat mereka untuk tercebur ke dalamnya, padahal Nabi telah mencegah mereka bagaikan jatuhnya kupu-kupu ke dalam api lantaran keinginannya dan lemah fikirannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157

  • Umpama bumi disirami hujan

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang menyirami bumi. Di antara bumi ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali, dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air. Maka, Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum daripadanya, dapat menyiram dan menanam.

    Ada pula hujan menyiram bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah merupakan tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput.

    Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu dia dapat memahami dan mengajarkannya, dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk dan ilmu dan tidak menerima petunjuk Allah yang saya diutus untuk membawanya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 156

  • Hendaklah menyamakan saf

    Daripada Abu Abdillah an-Nukman bin Basyir RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, hendaklah kamu benar-benar meratakan (menyamakan) saf kamu, atau Allah akan membalikkan antara wajah-wajah kamu semua. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat Muslim disebutkan: Rasulullah SAW meratakan saf-saf kami sehingga baginda seakan-akan meratakan letaknya anak panah sehingga baginda meyakinkan bahawa kami semua telah mengerti mengenainya. Kemudian, pada suatu hari baginda keluar, lalu baginda berdiri sehingga hampir baginda bertakbir, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki yang menonjolkan dadanya, lalu baginda bersabda: Hai hamba-hamba Allah, hendaklah kamu semua benar-benar meratakan saf-saf kamu semua atau Allah membalikkan antara wajah-wajah kamu semua.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

  • Makan dengan tangan kanan

    Daripada Abu Muslim, dan ada dikatakan Abi Iyas Salamah bin Amr bin Al-Akwa RA, meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya.

    Kemudian baginda bersabda: Makanlah dengan tangan kananmu.

    Orang itu berkata: Aku tidak dapat.

    Baginda bersabda: Kamu tidak akan dapat.

    Tidak ada yang mencegahnya melakukan hal itu kecuali kerana kesombongannya. Akhirnya dia tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pensyariatan makan dengan tangan kanan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

  • Semua masuk syurga kecuali orang yang tidak mahu

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua umatku masuk syurga, melainkan orang yang enggan.

    Baginda ditanya: Siapakah orang yang enggan, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku, maka dia masuk syurga, dan sesiapa yang derhaka kepadaku, maka dia enggan. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis mengandungi khabar gembira buat umat ini iaitu akan masuk syurga, melainkan mereka yang enggan iaitu mereka yang menderhaka kepada Rasulullah.

    Sumber hadis — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 154

You cannot copy content of this page