Pesawat perang Israel secara intensif melepaskan tembakan ke arah kumpulan orang yang menunggu bantuan kemanusiaan di kawasan utara Rafah, di selatan Gaza, mengakibatkan lima orang terbunuh dan 40 orang cedera, lapor WAFA memetik sumber perubatan.
Menurut WAFA, seorang lagi lelaki Palestin ditembak dan dibunuh oleh askar Israel dekat pusat bantuan di Netzarim, di tengah Jalur Gaza.
Dalam kejadian berasingan, seorang budak perempuan turut terbunuh oleh serangan dron Israel di Jalan Al-Nafaq di bandar Gaza, menurut agensi berita Palestin itu.
Selain itu, menurutnya, tiga rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera pada selepas tentera pendudukan Israel mengebom sebuah rumah di kejiranan Zeitoun, tenggara bandar Gaza.
Sementara itu, WAFA melaporkan, sumber perubatan di Jalur Gaza mengumumkan kematian lima rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan.
Menurut WAFA, ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan kebuluran kepada 139, termasuk 96 kanak-kanak.