Dua puluh rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera apabila sebuah trak membawa bantuan terbalik ke atas orang ramai yang mencari bantuan di tengah Jalur Gaza, lapor WAFA pada Rabu, memetik sumber perubatan.
Menurut WAFA, sumber tempatan menunjukkan kemalangan itu berlaku ketika sebilangan besar orang awam yang kelaparan sedang berkumpul untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan, di tengah-tengah krisis di jalur itu akibat sekatan dan pencerobohan berterusan.
Sumber menunjukkan trak bantuan itu terbalik selepas tentera pendudukan memaksanya masuk melalui jalan yang tidak selamat, menurut laporan WAFA di laman sesawangnya, tanpa menyatakan lokasi dan waktu kejadian secara spesifik.