Suami isteri maut, anak lelaki cedera nahas dua kenderaan

PARIT BUNTAR – Suami isteri maut manakala anak lelakinya cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Pantai, Batu 9, Tanjung Piandang, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Kelisa dan Honda City kira-kira jam 7.29 pagi.

Beliau berkata, suami isteri yang maut dikenali sebagai Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah Wan Ismail, 66, manakala anak lelaki mereka berusia 13 tahun cedera ringan.

Katanya, mangsa yang menaiki Perodua Kelisa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum anggota bomba tiba dilokasi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Parit Buntar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page