1. Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.
3. Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
4. (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli solat.
5. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.
6. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (dalam ibadat dan bawaannya).
7. Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
KETERANGAN:
Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 7 ayat.
Dinamakan surah al-Maa’uun (Pertolongan), kerana pada akhir surah ini Allah menjanjikan seburuk-buruk balasan kepada orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak menerimanya.
Intisari kandungan: Menerangkan sifat-sifat orang yang mendustakan agama dan hari pembalasan, lalu ditegaskan bahawa: Orang itu ialah yang menindas serta berlaku kasar terhadap anak yatim dan dia pula tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
Kemudian ditegaskan, bahawa orang-orang ahli solat, yang lalai daripada menyempurnakan solatnya, maka mereka akan ditimpa kecelakaan besar.
Demikian juga halnya yang berkeadaan riyak (dalam ibadat dan bawaannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikitpun pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
* Keadaan riyak ialah tiap-tiap amalan ibadat yang dilakukan bukan kerana Allah, bahkan kerana sesuatu tujuan yang lain.
Dalam satu hadis, Nabi Muhammad bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti terhadap kamu ialah perbuatan syirik yang kecil.
Sahabat baginda bertanya: Apakah syirik kecil itu wahai Rasul Allah?
Baginda menjawab: Ialah perbuatan riyak, pada hari kiamat — sabda baginda lagi — Allah Taala berfirman ketika Dia membalas amalan hamba-Nya: “Pergilah kamu wahai orang-orang yang riyak kepada orang-orang yang kerananya kamu mengerjakan amalan, dan mintalah kepada mereka balasan bagi amalan kamu.”
Dalam satu hadis lain, baginda bersabda (maksudnya): Allah Taala berfirman: “Sesiapa yang mengerjakan amalan untuk-Ku dengan mempersekutukan orang lain dengan-Ku dalam amalan itu, maka semua amalan yang demikian untuk orang itu sahaja, tidak kena-mengena langsung dengan-Ku, dan sebenarnya Akulah yang tidak berhajat sama sekali kepada sebarang sekutu.”
Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman