Berpegang teguh pada Kitabullah dan muliakan ahli bait Rasulullah

Daripada Yazid bin Hayyan berkata, saya berangkat bersama Husain bin Sabrah dan Amru bin Muslim ke (tempat) Zaid bin Arqam. Maka, ketika kami duduk-duduk dekatnya, berkatalah Husain kepadanya: Wahai Zaid, kamu telah mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kamu telah melihat Rasulullah SAW, kamu mendengar hadisnya, kamu berperang bersamanya dan kamu bersolat di belakangnya. Sesungguhnya kamu wahai Zaid mendapat kebaikan yang banyak sekali. Ceritakanlah kepada kami wahai Zaid apa yang telah kamu dengar daripada Rasulullah SAW.

Dia (Zaid) berkata: Wahai anak saudaraku, demi Allah sesungguhnya usiaku telah tua dan masa kematianku hampir tiba, dan saya telah lupa sebahagian daripada apa yang saya telah ingat daripada Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, apa yang saya sampaikan kepada kamu, maka terimalah itu dan apa yang tidak saya sampaikan, hendaklah kamu jangan memaksaku untuk menerangkannya.

Kemudian dia berkata: Rasulullah pernah berdiri berkhutbah di suatu tempat berair yang disebut Khumm, terletak antara Makkah dan Madinah, maka baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya, dan menasihati dan memberi peringatan, kemudian baginda bersabda:

Amma ba’du, ingatlah wahai sekalian manusia, hampir saja saya didatangi oleh utusan Rabbku (malaikat maut), maka saya harus mengabulkannya. Saya meninggalkan untuk kamu dua perkara berat; pertamanya Kitabullah yang padanya terdapat al-huda (petunjuk) dan an-nur (cahaya). Maka, ambillah Kitabullah itu, dan berpegang teguh dengannya.

Maka, Rasulullah SAW memotivasi (untuk berpegang teguh) ke atas Kitabullah dan mencintainya.

Kemudian, baginda bersabda: Dan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku.

Maka, Husain berkata kepada Zaid: Dan siapakah ahli bait baginda itu, wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri baginda termasuk ahli baitnya?

Zaid menjawab: Isteri-isteri baginda termasuk ahli bait baginda. Akan tetapi ahli bait baginda ialah orang yang diharamkan menerima sedekah setelah baginda.

Husain berkata lagi: Dan siapakah mereka?

Zaid menjawab: Mereka adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Ja’far dan keluarga Abbas.

Husain berkata lagi: Semua orang dari golongan mereka ini diharamkan menerima sedekah?

Zaid berkata: Ya, benar. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Dalam satu riwayat, disebut: Ingatlah dan sesungguhnya saya meninggalkan kepada kamu semua dua perkara berat; pertamanya ialah Kitabullah, dan ia adalah hablullah (tali, penghubung dengan Allah). Sesiapa mengikutinya, dia memperoleh petunjuk, manakala sesiapa meninggalkannya, dia berada dalam kesesatan.

HURAIAN

Hadis ini mengandungi peringatan agar berpegang kepada Al-Quran dan memuliakan ahli bait Rasulullah SAW.

Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 271/272

Baharu

Kisah Sahabat: Salman Al-Farisi, Dari Parsi Ke Madinah

You cannot copy content of this page