Solat mengandungi banyak faedah, walaupun bagi sesetengah daripada kita berasa berat untuk melakukannya.
Dengan mengerjakan solat, jiwa kita menjadi tenang, hidup bahagia dan berjaya, terhapus segala kesalahan serta dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Allah berfirman maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.
“Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Firman-Nya dalam surah al-Mukminun, ayat 1 dan 2 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan Abu Hurairah RA pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Bagaimana pendapat kamu, seandainya ada sungai di depan pintu seorang daripada kamu, lalu dia mandi lima kali setiap hari di dalamnya, apakah kamu menganggap masih ada kekotoran tertinggal padanya?”
“Sahabat menjawab: Tidak akan ada kotoran yang tertinggal sedikit pun padanya. Lantas, Baginda bersabda: Seperti itu pula halnya dengan solat lima waktu, yang dengannya Allah akan menghapuskan semua kesalahan.”
Oleh kerana solat adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan dan faedahnya pula besar, orang Islam tidak sepatutnya cuai dalam melaksanakannya. Kita perlu menjaga solat dengan sebaik-baiknya.
Qatadah dipetik sebagai berkata: “Jagalah solat kerana itu sebaik-baik akhlak bagi kaum Mukminin (orang yang beriman).”
Amirul Mukminin Sayidina Utsman bin Affan RA dilaporkan berkata: “Sesiapa menjaga solat yang lima pada waktunya dan secara berterusan dalam melaksanakannya, maka Allah memuliakannya dengan sembilan kemuliaan:
1. Dicintai Allah.
2. Badan selalu sihat.
3. Dijaga oleh malaikat.
4. Turun berkat pada rumahnya.
5. Akan nampak pada wajahnya tanda orang soleh.
6. Allah akan melembutkan hatinya.
7. Akan melalui sirat (titian) secepat kilat.
8. Akan diselamatkan oleh Allah daripada api neraka.
9. Allah akan menempatkannya bersama orang yang tidak takut dan bersedih.
Justeru sangat dikesali sekiranya kita mensia-siakan pelaksanaannya kerana dilalaikan oleh perkara lain seperti asyik dengan permainan, berbual-bual kosong ataupun terpaku di depan kaca televisyen.
Allah berfirman maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu…” (Surah al-Baqarah, ayat 238)
Ibnu Mas’ud RA dilaporkan berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, amalan apakah yang paling baik? Baginda menjawab: Solat pada waktunya.
“Aku bertanya lagi: Kemudian, apa lagi? Baginda menjawab: Berbakti kepada dua orang tua.
“Aku bertanya lagi: Kemudian, apa lagi? Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Abu Darda RA pula dilaporkan berkata: “Semulia-mulia hamba Allah di sisi Allah ialah mereka yang memerhatikan perjalanan matahari dan bulan.”
Orang ramai bertanya: “Wahai Abu Darda! Apakah mereka muazin (orang melaungkan azan)?”
Jawab Abu Darda: “Semua orang yang memerhatikan dan menjaga benar-benar waktu daripada kaum Muslimin.”