Raja’ ialah perkataan Arab bermaksud berharap. Lawannya ialah putus asa daripada rahmat Allah dan berhenti mengingati Allah – perkara ini benar-benar suatu maksiat.
Al-Ustaz Abul Qasim al-Qusyairi dilaporkan mengatakan, raja’ adalah tempat bergantungnya hati terhadap apa yang disukai dan akan mendapatkan hasilnya di kemudian hari. Dengan raja’, hati menjadi hidup berlawanan dengan ‘tamanni’ (mengelamun) kerana ia menimbulkan sifat malas.
Syeikh al-Karamany dilaporkan mengatakan, tanda raja’ ialah taat. Yang berlaku di dunia ini ibarat seseorang menanam benih yang baik pada tanah yang subur, kemudian menyiramnya. Perbuatan itu adalah raja’ yang kuat.
Sebaliknya yang berlawanan ibarat seseorang menanam benih berkualiti rendah pada tanah gersang dan tidak disirami air. Kemudian, dia mengatakan: “Allah kuasa menumbuhkannya, mudah-mudahan tumbuhan ini tumbuh.” Ucapan itu benar, tetapi raja’ itu kurang tepat kerana dia mengabaikan kebiasaan yang telah diperintahkan Allah kepada makhluk-Nya.
Ibnu Khubaiq sebagaimana dipetik membahagikan hal ini kepada tiga bahagian:
1. Seseorang melakukan kebaikan, kemudian berharap agar amalan baiknya itu diterima. Ini adalah raja’ yang benar.
2. Seseorang melakukan keburukan, kemudian bertaubat dan mengharapkan keampunan-Nya. Maka ini juga adalah raja’.
3. Seseorang sentiasa melakukan dosa dan enggan bertaubat. Kemudian, dia berkata: “Mudah-mudahan Allah mengampuniku.” Ini tidak dikira raja’.
Adapun yang paling tepat ialah jika seseorang merasakan bahawa dirinya banyak melakukan dosa, maka perasaan takutnya mestilah lebih besar daripada pengharapannya kerana dengan adanya perasaan takut, timbullah keinginan untuk bertaubat dan seterusnya dia bersifat raja’.
Tanda raja’ banyak, antaranya:
1. Banyak membaca ayat al-Quran.
2. Rajin mengerjakan solat.
3. Sanggup membelanjakan harta untuk kepentingan umum yang diredai Allah.
4. Berasa lapang hati dan tenang di saat mengingati Allah.
5. Hilang rasa bingung ketika berdampingan dengan ahli kebajikan.
6. Gemar tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan takwa.