5 ayat surah al-Baqarah

1. Alif Laam Miim.*

2. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.**

3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib *** dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.


* Allah jua yang mengetahui erti dan maksud huruf-huruf yang terletak pada permulaan sesetengah surah al-Quran seperti Alif Lam Mim ini.

Sayugia disebut, antara 114 surah yang menjadi kandungan al-Quran, ada 29 surah yang dimulakan dengan huruf semata-mata. Ada yang dimulakan dengan satu huruf saja seperti Sad, Qaf dan Nun. Ada yang dimulakan dengan dua huruf seperti Ha Mim, Tha Sin, Tha Ha, dan Ya Sin. Ada pula dimulakan dengan tiga huruf seperti Alif Lam Ra’, Alif Lam Mim, dan Tha Sin Mim. Ada dimulakan dengan empat huruf seperti Alif Lam Mim Ra’ dan Alif Lam Mim Sad. Ada pula dimulakan dengan lima huruf seperti Ha Mim Ain Sin Qaf dan Kaf Ha Ya Ain Sad.

Cara membaca huruf-huruf ini ialah dengan menyebut namanya satu-satu.

** Takwa ertinya memelihara atau melindungkan diri daripada sesuatu yang ditakuti atau yang dibimbangkan. Bertakwa kepada Allah ialah memelihara diri daripada sesuatu yang membawa kepada seksa dan kemurkaan Allah, dengan menjalankan undang-undang peraturan-Nya serta hukum-hukum perintah-Nya.

Al-Quran ini menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa atau yang berusaha membentuk dirinya mematuhi perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya kerana merekalah yang terutama sekali yang mendapat faedah daripada petunjuk hidayah al-Quran, disebabkan imannya dan takwanya. Sedang orang-orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.

*** Perkara yang ghaib itu ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pancaindera yang lima bagi manusia biasa tetapi diakui serta diyakini dengan jalan perhatian dan fikiran yang berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima oleh akal yang sempurna seperti wujud Allah dan sifat-sifat-Nya, demikian juga malaikat, hari akhirat, syurga, neraka dan lain-lain.


Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah, mengandungi 286 ayat. Surah ini yang panjang sekali antara surah-surah al-Quran.

Dalam sahih Muslim ada satu hadis maksudnya: Bacalah kamu surah al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak), dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa, dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.

Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman

Baharu

Kisah Sahabat: Salman Al-Farisi, Dari Parsi Ke Madinah

You cannot copy content of this page