Kategori: TAFSIR

  • Surah al-Ikhlas

    1. Katakanlah (wahai Muhammad); (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

    2. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

    3. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan.

    4. Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 4 ayat.

    Dinamakan surah al-Ikhlas kerana dalam keseluruhan surah ini Allah perintahkan Nabi Muhammad supaya menegaskan kepada umum, bahawa Allah Maha Esa – dan tidak ada bandingan.

    Intisari kandungannya, memberi kesedaran kepada hati kecil manusia mengenai iktikad tauhid (pegangan tauhid) yang sebersih-bersihnya, untuk dijadikan asas bagi ibadatnya dan bawaannya dalam kehidupan.

    Dengan yang demikian, manusia tidak memperhambakan dirinya melainkan kepada Allah semata-mata, dan tidak tertumpu pada masa senang dan susah melainkan kepada Allah saja, dan tidak menjadikan kata pemutus dalam segala urusan hidupnya melainkan hukum Allah — yang menjadi punca bagi segala keadaan, kekuasaan dan ketetapan.

    Sumber – Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Surah al-Falaq

    1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.

    2. Daripada bencana makhluk-makluk yang Dia cipta.

    3. Dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk.

    4. Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).

    5. Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

    KETERANGAN:

    Diturunkan di Madinah, 5 ayat

    Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah daripada bahaya yang datangnya daripada segala jenis makhluk, terutama daripada bahaya:

    1. Yang datang daripada kejadian gelap — gelap malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar daripada makhluk jahat yang keluar dari tempat masing-masing melakukan kejahatannya, sedang jalan mendapat keselamatan dan pertolongan pada masa itu tidak banyak dan tidak mudah — gelap mata kepala, gelap mata hati dan gelap jalan kehidupan.

    2. Yang datang daripada makhluk-makhluk berjiwa kotor yang berusaha membuat fitnah melonggarkan simpulan iktikad, menghuraikan ikatan muhibah, meruntuhkan rumah tangga, memecah belah perpaduan kaum kerabat dan merosakkan masyarakat. Ahli sihir dan orang seperti itu yang melakukan perbuatan merosakkan dan membahayakan orang lain adalah daripada golongan makhluk berjiwa kotor, mereka akan menjadi bakaran api neraka jika mereka tidak bertaubat dengan taubat nasuha.

    3. Yang datang daripada manusia menjalankan tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan daripada seseorang yang beroleh nikmat itu. Orang yang demikian perangainya ialah orang yang ada dalam jiwanya penyakit hasad (penyakit dengki) iaitu penyakit tidak senang hati melihat atau mendengar orang mendapat nikmat daripada Allah, selagi nikmat itu tidak hilang daripada orang yang mendapatnya — penyakit yang menyebabkan berlaku pelbagai perbuatan derhaka — penyakit inilah yang menyebabkan Iblis menjadi kafir kerana tidak senang hati melihat Nabi Adam mendapat pangkat dan penyakit inilah yang menyebabkan Qabil membunuh saudaranya Habil kerana tidak senang hati mendengar Habil mendapat isteri lebih cantik daripada isteri yang ditetapkan baginya.

    Justeru, diwajibkan tiap-tiap orang membasmi penyakit itu daripada jiwanya — jika tidak, maka penyakit itu akan menghapuskan segala kebajikan dilakukannya.

    Daripada semua itu, kita memohon perlindungan kepada Allah Yang Maha Kuasa, Tuhan menciptakan sekalian makhluk. Demikian menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    Dalam pada itu, ada disebut dalam Tafsir Ibnu Katsir, dalam riwayat Bukhari: Daripada Aisyah berkata, Rasulullah terkena sihir di mana baginda merasakan seolah-olah sedang bersetubuh dengan isterinya, sedangkan baginda tidak melakukannya. Sufian berkata, sihir itu adalah yang paling berat. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada Aisyah: Apakah engkau mengetahui bahawa Allah memberitahu kepadaku apa yang aku tanyakan kepada-Nya. Dua orang datang, lalu duduk di sebelah kepalaku, sementara yang lain duduk di kakiku, mereka berkata: Mengapakah orang ini? Jawabnya, terkena sihir. Siapakah menyihirnya? Labib bin A’sam daripada suku Bani Zuraiq. Di mana? Pada rambut yang melekat di sikatnya, lalu dimasukkan ke dalam perigi Dzarman.

    Aisyah memberitahu, rambut baginda itu dikeluarkan dari perigi yang keruh airnya, sedangkan tumbuhan yang terdapat dalam kebun itu menyerupai kepala jin dan syaitan. Sesudah dikeluarkan rambut baginda dari perigi itu, lalu baginda sembuh. Lalu mereka bertanya lagi: Apakah engkau tidak mahu membalas? Nabi SAW menjawab: Sesungguhnya Allah telah menyembuhkan aku dan aku tidak akan menyebarkan kejahatan terhadap sesiapa pun.

    (Dalam satu lagi riwayat) Asy-Sya’labi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Aisyah, berkata kedua-duanya, pada suatu ketika dulu seorang pemuda Yahudi pernah menjadi pelayan (berkhidmat) kepada Nabi SAW, kemudian baginda memintanya mengambil sikat rambut baginda. Lalu, diberikan semua itu kepada pemuda Yahudi itu. Dari situlah mereka melakukan sihir terhadapnya dan ia dilakukan oleh Labib bin A’sam, kemudian dimasukkan ke dalam perigi Dzarwan Bani Zuraiq. Maka, Rasulullah SAW sakit, lalu gugurlah rambutnya selama enam bulan, badannya bertambah kurus, sehingga pada suatu malam, semasa baginda tidur, tiba-tiba datang dua malaikat duduk berhampiran kakinya dan yang lain di kepalanya. Yang di kakinya bertanya: Mengapakah orang ini? Jawabnya: Terkena sihir. Siapakah yang menyihirnya? Jawabnya: Labib bin A’sam. Dengan apakah dia menyihir? Dengan rambut yang terlekat pada sikat. Di mana? Di dalam perigi Dzarwan dalam kulit kurma. Kemudian Nabi SAW bangun daripada tidurnya dan bersabda: Wahai Aisyah, Allah telah memberitahu tentang penyakitku. Lalu baginda mengutus Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Ammar bin Yasir, maka mereka mengurus perigi itu, kemudian mereka mengangkat di dalamnya rambut dan sikat yang diikat dengan tali penuh dengan jarum, maka Allah menurunkan kedua-dua surah ini.

    Apabila membaca kedua-dua surah ini, lalu terbukalah setiap ikatan. Maka, Nabi SAW berasa ringan badannya, sedang Malaikat Jibril membaca: “Bismillahi arqiika min kulli syai-in yu’dziik min haasidin wa ‘ainin Allahu yasyfiik.” Maka, sahabat berkata: Kita bunuh saja penjahat. Nabi menjawab: Allah telah menyembuhkan aku dan aku tidak suka membangkitkan kejahatan di tengah orang ramai. Hadis ini sangat daif (statusnya). Demikian menurut Tafsir Ibnu Katsir

  • Surah an-Nas

    1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

    2. Yang menguasai sekalian manusia.

    3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.

    4. Daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.

    5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.

    6. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.

    KETERANGAN:

    Diturunkan di Madinah, mengandungi 6 ayat

    Surah ini mengajar kita memohon perlindungan daripada bahaya batin iaitu bahaya perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk yang datangnya daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita (syaitan atau jin) dan daripada tipu daya makhluk berupa manusia. Perasaan dan ingatan buruk itu menjadi penyakit besar yang menyebabkan rosaknya iktikad kepercayaan, amal ibadat dan segala bawaan hidup.

    Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa ayat-ayat yang terkandung dalam dua surah (iaitu al-Falaq dan an-Nas) tiada tolok bandingnya untuk seseorang memohon pertolongan kepada Allah daripada segala jenis bahaya. Demikian disebutkan hadisnya oleh Imam Muslim.

    Sumber: Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Motivasi

    Allah bersama orang buat baik

    Dan orang-orang yang berjihad pada (mencari keredaan) Kami nescaya Kami akan tunjukkan pada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.

    Maksud ayat 69, surah al-Ankabut

    Ganjaran istimewa di sisi Allah

    Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.

    Maksud daripada ayat 20, surah al-Muzzammil

    Tidak putus asa daripada rahmat Allah

    Katakanlah (wahai Muhammad); wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat) janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

    Maksud ayat 53, surah az-Zumar

    Beroleh bahagia

    Orang-orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.

    Lihat surah ar-Ra’d, ayat 29

    Tiada dukacita

    Maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

    Lihat surah al-Baqarah, pada ayat 38

  • Syurga

    Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga.

    Maksud ayat 46, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    (Dua syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan.

    Maksud ayat 48, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    Di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata) yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.

    Maksud ayat, 56, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

    Maksud ayat 133, surah Ali-Imran | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

You cannot copy content of this page