Kategori: HADIS

  • Lembah Eufrat dan emas

    Rasulullah SAW memberitahu mengenai kekayaan melimpah ruah yang akan dihasilkan dari bumi Arab dan kekayaan ini akan menimbulkan perpecahan, pertengkaran dan peperangan

    Menurut riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA — Rasulullah SAW bersabda: “Tidak lama lagi lembah Eufrat (Furat) akan membuka gudang kekayaan berisi emas. Maka, sesiapa mengalami saat itu janganlah dia mengambilnya sedikitpun.”

    Sedangkan riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Takkan terjadi kiamat sebelum lembah Eufrat menyingkapkan sebuah gunung emas yang menyebabkan peperangan di antara sesama manusia yang merebutkannya. Dari setiap seratus (100) orang akan terbunuh 99. Dan setiap orang daripada mereka berkata “barangkali akulah yang akan selamat”. 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 49

  • Badan yang sedang

    Daripada Said al-Jurairiy, dia berkata: “Saya mendengar Abu at-Tufail berkata: Saya telah melihat Nabi SAW dan tiada seorang pun di muka bumi ini yang melihatnya selain daripada saya.”

    “Saya (Said al-Jurairiy) berkata: Gambarkan dia kepadaku. Dia (Abu at-Tufail) berkata: Baginda putih, elok dan sedang (sederhana, tidak gemuk, tidak kurus, tidak tinggi dan tidak rendah).”

    Sumber Asy-Syamaail al-Muhammadiyyah

  • Wanita Daus di sekeliling Dzul Khalasoh

    Al-Bukhari meriwayatkan — daripada Abu Hurairah, “pernah saya mendengar Rasulullah bersabda: Takkan terjadi kiamat sehingga punggung wanita Daus bergoyang-goyang di sekeliling Dzul Khalasoh.

    – Dzul Khalasoh ialah berhala kabilah Daus yang mereka sembah pada zaman Jahiliyah. 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 48 / 49 

  • Kejadian akhir zaman

    Isyarat Rasulullah rusuhan selalu berlaku sehingga orang hidup ingin kepada mati

    Al-Bukhari meriwayatkan — daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, sehingga seseorang melalui kubur orang lain, lalu dia berkata; andai aku menggantikan tempatnya.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 48

  • Beriman, beristiqamah

    Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain engkau.

    Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103

    Huraian:

    Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan. 

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)

    Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)

    Menurut Riyadus Solihin, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.

    Nabi SAW pernah bersabda: Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103) 

  • Amalan disertai dengan niat

    Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdil Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Kaab bin Luaiy bin Ghalib al-Qurasyiy al-‘Adawiy RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    “Sesungguhnya amalan perbuatan disertai dengan niat dan bagi setiap orang pada yang telah dia niatkan. Maka, sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrah itu menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya demi harta dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya menuju kepada niat dimaksudkan dalam hijrahnya itu.”

    — Hadis disepakati kesahihannya — Sahih Bukhari dan Muslim

    Penjelasan: 

    Hadis diriwayatkan dua imam ahli hadis iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ju’fi Al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi  – semoga Allah meredai kedua-duanya – dalam dua kitab sahih masing-masing.

    Hadis ini hadis agung (utama), mulia dan banyak faedahnya.

    Imam Syafie (dipetik) berkata: Hadis ini mencakupi 70 bab ilmu.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 25 & 26

  • Tiga hal berbangkit di hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman pada hari kiamat: Wahai anak Adam! Aku sakit tetapi kamu tidak menjenguk-Ku. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana saya menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu sakit tetapi kamu tidak menjenguknya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu menjenguknya tentulah kamu akan mendapati Aku di sisinya?

    “(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberi-Ku makan. Anak Adam berkata: Ya Rabb, bagaimana saya memberikan makanan pada-Mu, sedang Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberinya makanan. Tidakkah kamu mengetahui, bahawa apabila kamu memberikan makanan padanya tentu kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.”

    “(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberiku minum. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana aku memberikan minuman pada-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Hamba-Ku si polan itu meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberikan minuman itu padanya. Andai saja kamu memberikan minuman padanya tentulah kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.” (Hadis diriwayat oleh Muslim)

    Huraian

    — Firman-Nya bermaksud ‘nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya’ yakni dengan ilmu (Nya), sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?

    “Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (perbicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) perbicaraan antara jumlah yang kurang daripada itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada.

    “Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Mujadalah, ayat 7)

    — Firman-Nya bermaksud; ‘tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu memberikan makanan kepadanya, nescaya kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku’ yakni pahalanya, sebagaimana firman Allah bermaksud:

    “Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)

    — Hadis ini adalah dalil bahawa semua amal kebaikan tidaklah sia-sia dan kebaikan itu memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah.

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Rahmat bersamanya

    Daripada Abu Dzar RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang daripada kamu mendirikan solat, maka janganlah dia mengusapkan butir-butir pasir (yang menempel di dahinya) kerana sesungguhnya rahmat selalu bersamanya.” (Riwayat imam yang lima dengan sanad sahih)

    Huraian

    — Hadis ini adalah dalil mengenai larangan untuk mengusap kerikil setelah masuk dalam solat. Alasan larangan ini adalah untuk menjaga khusyuk, kerana rahmat sedang menghampirinya, maka hendaknya dia tidak mengubah (menyingkirkan) tanah dan kerikil yang menempel di wajahnya. Begitu juga dengan tempat yang dia sujud di atasnya. Melainkan jika hal itu membuatkannya sakit, maka tidak mengapa dia menyingkirkannya.

    — Hadis sepertinya juga ada dalam as-Sahih, daripada Mu’aiqib tanpa menyebutkan alasannya. Lafaz hadis Mu’aiqib: “Janganlah kamu mengusap kerikil ketika kamu sedang solat. Jikalau kamu harus melakukannya, maka usaplah sekali saja untuk menyamaratakan kerikil.”

  • Cara solat

    Daripada Imran bin Hushain RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Solatlah sambil berdiri. Jika tidak mampu, maka sambil duduk. Jika kamu tidak mampu, maka sambil berbaring di atas rusuk. Jika tidak mampu juga, maka cukup dengan isyarat.” (Diriwayat oleh Bukhari)

    Huraian

    — Dalam kitab Subulus Salam disebutkan: “Dalam penyalinan al-Bulugh kami tidak mendapati kesesuaian. Al-Bukhari telah meriwayatkan hadis ini tanpa perkataan ‘jika tidak maka dengan isyarat’. Dan an-Nasai menambahkan: “Jika engkau tidak mampu, maka berbaringlah. Allah tidak membebani jiwa melainkan sesuai kemampuannya.”

    — Hadis ini adalah dalil bahawa Baginda SAW tidak solat wajib dalam keadaan duduk melainkan kerana uzur iaitu tiadanya kemampuan. Termasuk dalam hal ini adalah situasi khuatir ada bahaya. Hal ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu kesempitan dalam agama.” (Surah al-Haj, ayat 78)

  • Kurma dan air

    Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbiy as-Sohabi RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Apabila seorang daripada kamu berbuka (berbuka puasa), maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada, maka berbukalah dengan air. Maka, sesungguhnya ia (air) adalah pembersih (atau menyucikan). (Hadis diriwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)

    Huraian

    Sabda baginda “maka berbukalah dengan kurma”, Tirmidzi menambahkan “kerana (kurma) itu berkat”. Hikmahnya adalah ketika di dalam perut ada sisa-sisa makanan, kurma menghilangkan sisa-sisa itu dan jika tidak ada, kurma menjadi sumber makanan, selain kurma juga menyatukan kembali cahaya penglihatan yang berserakan (bertaburan) kerana puasa. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 743

  • Segera berbuka dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Allah (Azza wa Jalla) berfirman, hamba-hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling menyegerakan berbuka (berbuka puasa). (Hadis diriwayatkan Tirmidzi dan berkata hadis ini hasan)

    Huraian

    Allah mencintai orang yang menyegerakan berbuka kerana menyegerakan berbuka itu mengikuti sunah.

    Allah berfirman maksudnya: Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu’. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

  • Menyegerakan Maghrib dan berbuka

    Daripada Abu Athiyah, dia berkata: Aku bersama Masruq masuk menemui Aisyah RA (radhiallahu anha). Masruq kemudian bertanya, ada dua sahabat Muhammad SAW, kedua-duanya tiada lalai daripada kebaikan, salah seorangnya menyegerakan Maghrib dan berbuka, dan yang lain (seorang lagi) mengakhirkan Maghrib dan berbuka? Aisyah bertanya: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan berbuka? Masruq menjawab: Abdullah — iaitu (Abdullah) Ibnu Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. (Hadis diriwayat Muslim)

    Huraian

    Hadis ini mengandungi anjuran menyegerakan Maghrib dan berbuka puasa ketika matahari terbenam.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

You cannot copy content of this page