Kategori: HADIS

  • Syurga tidak dimasuki nenek-nenek

    Abu Bakar bin Syaibah meriwayatkan: Daripada Aisyah RAnha, Rasulullah pernah didatangi seorang nenek daripada kalangan Ansar, maka nenek itu berkata: Wahai Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.

    Baginda menjawab: Sesungguhnya syurga tidak dimasuki nenek-nenek.

    Rasulullah pergi solat, kemudian kembali kepada Aisyah.

    Aisyah mengadu: Nenek itu berasa sedih dan susah sekali mendengar perkataan anda tadi.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya memang begitu. Sesungguhnya apabila Allah telah memasukkan nenek-nenek ke dalam syurga, maka mereka diubah-Nya menjadi gadis kembali.

    Huru-hara Hari Kiamat, 524

  • Cantik jelita wajah mereka

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Ummu Salamah RAnha; dia berkata: Saya pernah bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu saya mengenai mereka yang diceritakan Allah dalam firman-Nya: وحور عين (ayat 22, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan (dalam syurga) ada bidadari-bidadari yang matanya bercahaya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) bidadari-bidadari yang matanya bercahaya. Pelupuk mata bidadari-bidadari itu (selalu berkedip-kedip) bagaikan sayap burung nasar.

    Saya berkata: Beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 23, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Laksana mutiara yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: (Mereka berkulit) jernih sejernih mutiara yang tersimpan dalam kerangnya, yang belum disentuh tangan-tangan (manusia).

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 70, surah ar-Rahman — bermaksud: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik jelita).

    Baginda bersabda: (Mereka) baik akhlaknya, cantik jelita wajahnya.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 49, surah as-Saffat — bermaksud: Seolah-olah mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: Kelembutan mereka selembut selaput dalam telur yang ada di sebalik cengkerangnya, iaitu kulit ari yang terlekat pada putih telur.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 37, surah al-Waqi’ah — bermaksud: Penuh cinta lagi sebaya umurnya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) wanita-wanita yang dunia sudah menjadi nenek-nenek buruk dan beruban, di syurga mereka menjadi wanita-wanita kesayangan yang penuh cinta, umur mereka sebaya seolah-olah lahir pada hari yang sama.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya mana yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari?

    Baginda bersabda: Bahkan wanita dunia lebih utama daripada bidadari, seperti lebih utamanya zahir atas batin.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, kerana apa?

    Baginda menjawab: Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah. Allah memberi cahaya pada wajah mereka, dan memakai sutera pada tubuh mereka. Warna kulit mereka putih, pakaian mereka hijau, perhiasan mereka kuning, tempat menyimpan mereka mutiara dan sisir mereka emas. Mereka berkata: Kami adalah wanita-wanita abadi, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Kami adalah wanita-wanita penduduk tetap, tidak akan pindah selama-lamanya. Berbahagialah orang yang menjadi milik kami dan kami menjadi miliknya.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, antara kami ada seorang wanita yang bersuamikan dua, tiga atau empat orang, lalu meninggal. Kemudian, wanita itu masuk syurga dan (bekas-bekas) suaminya pun semuanya masuk syurga. Siapakah yang akan menjadi jodohnya?

    Baginda menjawab: Wahai Ummu Salamah, wanita itu akan disuruh memilih, maka dia memilih suami yang paling luhur akhlaknya. Wanita itu berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya lelaki ini adalah yang terbaik akhlaknya terhadapku semasa di dunia, maka jodohkanlah aku dengannya.” Wahai Ummu Salamah, akhlak yang baik membawa kebaikan dunia dan akhirat.

    Huru-hara Hari Kiamat, 522-524

  • Setinggi jarak di antara langit dan bumi

    Menurut riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi: Daripada Abu Said RA, bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan firman Allah: وفرش مرفوعة (ayat 34, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan tilam-tilam yang tebal), kemudian baginda bersabda: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya tingginya tilam-tilam itu benar-benar setinggi jarak di antara langit dan bumi. Sesungguhnya jarak di antara langit dan bumi sejauh perjalanan lima ratus tahun.

    Kemudian, at-Tirmidzi mengatakan: Hadis ini gharib, kami tidak mengenalnya, selain daripada riwayat Rusydin.

    Dia katakan pula, dalam mentafsirkan hadis ini sesetengah ulama mengatakan, bahawa yang dimaksudkan ialah tingginya tingkat di antara masing-masing dan bahawa jarak di antara masing-masing tingkat itu seperti jarak di antara langit dan bumi.

    Huru-hara Hari Kiamat, 517

  • Indahnya syurga

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim terdapat riwayat, daripada Rasulullah SAW (ertinya): Perhiasan (yang dipakai) orang Mukmin sampai batas yang dicapai air wuduknya.

    Kata Hasan al-Basri: Perhiasan kaum lelaki di syurga lebih indah daripada perhiasan kaum wanita.

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (ertinya): Sesiapa masuk syurga, maka dia mendapat kenikmatan tanpa mengalami kesusahan, tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya. Dalam syurga terdapat apa-apa yang tidak pernah dilihat mata sesiapa pun, tidak pernah didengar telinga sesiapa pun dan tidak terdetik dalam hati manusia mana pun.

    Muslim mengeluarkan hadis di atas sampai dengan kata-kata: “…tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya.”

    At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah, bahawa Nabi SAW bersabda (ertinya): Rombongan pertama yang masuk syurga, wajah mereka bagaikan cahaya bulan di malam purnama. Rombongan kedua bagaikan bintang bercahaya yang paling terang di langit. Setiap lelaki daripada mereka diberi dua orang isteri daripada bidadari, yang masing-masing memakai tujuh puluh jenis perhiasan. Sumsum pada betis kedua-duanya kelihatan dari sebalik daging dan perhiasan mereka, sebagaimana minuman berwarna merah boleh dilihat di dalam gelas kaca yang putih.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 517

  • Hidangan pertama penghuni syurga

    Ahmad meriwayatkan dan dikeluarkan pula oleh al-Bukhari: Daripada Anas bin Abdis Salam bin Salam, dia berkata, ketika baru datang di Madinah, Rasulullah ditanya mengenai pelbagai jenis perkara, antara lain: Makanan apakah yang pertama dimakan oleh penghuni syurga? Baginda menjawab, sari hati ikan.

    Dalam sahih Muslim terdapat riwayat daripada Tsauban, dikisahkan bahawa seorang Yahudi bertanya kepada Rasulullah: Apa hidangan pertama penghuni syurga ketika mereka baru masuk ke sana?

    Baginda menjawab: Sari hati ikan.

    “Sesudah itu, apa makanan mereka,” Yahudi itu bertanya lagi.

    Baginda menjawab: Disembelihkan untuk mereka seekor lembu syurga yang memakan pucuk-pucuk dedaun syurga.

    “Apa minuman mereka,” tanyanya lagi.

    Baginda menjawab: Daripada mata air yang disebut Salsabil.

    “Benar,” Yahudi itu berkata.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 508

  • Tanaman di syurga cepat tumbuh, berbuah

    Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW bercerita, saat itu di sisi baginda ada seorang Badwi. Baginda bersabda: Sesungguhnya ada seorang penghuni syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Tuhan bertanya kepadanya, bukankah sudah tersedia apa saja yang kamu suka!

    Benar, jawab lelaki itu, tetapi saya suka bercucuk tanam.

    Rasulullah bersabda (menyambung ceritanya): Orang itu pun menanam. Lalu tanamannya ternyata cepat tumbuh, tegak dan berbuah. Tanaman itu menjadi bergunung-gunung.

    Rasulullah bersabda: Oleh kerana itu, Tuhan berfirman kepada orang itu, ambillah wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada lagi apa pun yang membuatmu kenyang.

    Abu Hurairah berkata: (Mendengar cerita itu), maka berkatalah orang Badwi itu. “Kami lihat bahawa penghuni syurga itu pasti orang Quraisy atau orang Ansar, kerana mereka adalah petani, gemar bercucuk tanam, sedang kami bukan petani.”

    Rasulullah SAW pun ketawa.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 507 & 508

  • Keadaan penghuni syurga

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Zaid bin Arqam, dia bercerita: Ada seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Abul Qasim, bukankah anda beranggapan penghuni syurga makan dan minum?

    Sebelumnya Yahudi itu berkata kepada teman-temannya: Kalau Muhammad mengiyakan pertanyaanku, maka aku akan berdebat dengannya.

    Zaid berkata (melanjutkan ceritanya): Rasulullah SAW menjawab, benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya setiap orang daripada mereka benar-benar diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum, syahwat dan berhubungan seksual.

    Kata Zaid: Maka, Yahudi itu berkata, sesungguhnya orang yang makan dan minum mesti membuang hajat (buang najis).

    Rasulullah SAW bersabda: Cara membuang hajat setiap orang daripada mereka dengan mengeluarkan peluh yang mengucur (keluar) dari kulit, baunya (harum) seperti minyak kasturi. Tiba-tiba perut mereka menjadi kosong kembali.

    Imam Ahmad juga meriwayatkan: Daripada Jabir RA, sabda Rasulullh SAW: Penghuni syurga makan dan minum di sana, tanpa membuang najis, kencing, berhingus mahupun meludah. Makanan mereka menjadi sendawa dan peluh yang merembes keluar bagaikan minyak kasturi.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 507

  • Thuba di dalam syurga

    Daripada Abu Said, daripada Nabi SAW — bahawa seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, Thuba bagi orang yang melihat anda dan beriman kepada anda?

    Baginda bersabda: Thuba bagi orang yang melihatku dan beriman kepadaku. Thuba tsumma Thuba bagi orang yang beriman kepadaku walaupun tidak pernah melihatku.

    Seorang yang lain bertanya: Wahai Rasulullah, apa itu Thuba?

    Baginda menjawab: Pokok di dalam syurga, (besar dan lebar) perjalanan seratus tahun, mengeluarkan pakaian para penghuni syurga daripada kelopak-kelopaknya.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 497

  • Cerita pokok dan buah di syurga

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Amir bin Zaid al-Bakali, bahawa dia mendengar Utbah bin Ubaidillah as-Sulami RA berkata: Ada seorang Badwi datang kepada Nabi SAW, lalu bertanya mengenai perigi dan cerita mengenai syurga.

    Kata Badwi itu: “Di dalam syurga ada buahan?”

    “Ya,” jawab Nabi SAW. “Di sana ada sebatang pokok bernama Thuba.” Kemudian baginda menyebut sesuatu yang saya tidak tahu, entah apa.

    Badwi bertanya lagi: “Pokok seperti apa di dalam kebun kami pokok Thuba itu?”

    Nabi SAW menjawab: “Tidak seperti pokok apa pun di kebun anda.”

    Kemudian Nabi bertanya: “Pernahkah anda pergi ke Syam?”

    “Tidak,” jawab Badwi itu.

    Nabi menerangkan: “Seperti pokok di Syam yang bernama pokok Jauzah. Pokok itu tumbuh dengan satu batang sahaja, tetapi di atasnya terbentang luas.”

    “Sebesar apakah pangkalnya,” tanya Badwi itu.

    Nabi menjawab: “Kalau seekor anak unta keluarga anda berjalan, nescaya ia tidak akan selesai mengelilinginya sampai hancur urat ketingnya kerana tua.”

    Badwi itu bertanya lagi: “Apakah di dalam syurga ada anggur?”

    “Ya,” jawab Nabi.

    “Berapa besar satu tandannya,” tanya Badwi itu.

    Nabi menjawab: “Perjalanan sebulan tanpa henti bagi seekor gagak hitam.”

    “Berapa besar sebijinya, dapatkah kita samakan dengan baldi,” dia bertanya lagi.

    Baginda menjawab: “Ya.”

    Kalau begitu, kata Badwi itu menyimpulkan: “Syurga itu muat untuk saya sekeluarga?”

    Nabi menegaskan: “Bahkan seluruh kaum keluarga anda.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 496 & 497

  • Pokok dan bayangannya di syurga

    Dalam syurga ada pokok, yang walaupun bayangannya dikelilingi oleh seorang penunggang kuda yang berlari kencang sehingga kurus selama seratus tahun, namun dia takkan sanggup menyelesaikannya.

    Demikian sebagaimana diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim: Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang pokok, yang andaikan bayangannya dikelilingi oleh seorang penunggang kuda selama seratus tahun, nescaya dia takkan sanggup menempuhnya.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 495

  • Sungai di pintu syurga

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Para syuhada berada di sungai yang kemilau di hadapan pintu syurga, di bawah kubah hijau. Rezeki mereka datang dari syurga, pagi dan petang.

    Dalam hadis Israk, Rasulullah SAW ketika bercerita tentang sidratul muntaha bersabda: Ternyata sidratul muntaha dari pangkalnya keluar dua sungai yang tidak nampak nyata, dan dua sungai yang nampak nyata. Adapun dua sungai yang tidak nyata, kedua-duanya ada di syurga. Sedang dua sungai yang nampak nyata adalah Nil dan Efrat.

    Dalam Musnad Ahmad dan Sahih Muslim – lafaz ini menurut Muslim: Daripada Abi Barzah, di mana Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah berfirman, Saihan, Jaihan, Furat (Efrat) dan Nil, semuanya daripada (seperti) sungai-sungai syurga.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 491

  • Al-Kautsar

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Hakim bin Muawiyah bin Abi Bahz, daripada ayahnya, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Di dalam syurga ada laut susu, laut air, laut madu dan laut khamar. Kemudian dari laut-laut itulah berpancaran sungai-sungai ini sesudahnya.

    Hadis ini diriwayatkan juga oleh Tirmidzi dan dia katakan hadis ini (statusnya) hasan sahih.

    Dalam sahih Muslim terdapat daripada Anas RA, bahawa ketika turunnya surah al-Kautsar, Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu, apakah al-Kautsar?

    Para sahabat menjawab: Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.

    Rasulullah bersabda: Al-Kautsar adalah syurga yang dijanjikan Allah kepadaku, yang mempunyai banyak keberkatan.

    Dalam sahih Bukhari dan Muslim juga terdapat riwayat daripada Anas RA, dalam hadis tentang mikraj, Rasulullah bersabda: Aku datang ke sungai, yang kedua-dua tepinya berupa kubah-kubah mutiara berongga. Aku bertanya, “apa ini wahai Jibril?” Dia menjawab: “Inilah al-Kautsar yang diberikan Allah kepadamu.”

    Dalam riwayat lain: “Lalu, aku celupkan tanganku ke tempat mengalirnya air, ternyata berupa kasturi yang semerbak baunya.”

    Menurut riwayat Ahmad: Daripada Anas, Nabi SAW bersabda: Al-Kautsar yang diberikannya Allah Azza wa Jalla.

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Al-Kautsar adalah sungai di syurga. Kedua-dua tepinya daripada emas. Airnya mengalir di atas mutiara. Sesungguhnya airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu.

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, dia berkata mengenai al-Kautsar: Al-Kautsar ialah kebaikan yang diberikan Allah kepada Nabi SAW.

    Ibn Bisyr RA mengaku: Aku pernah berkata kepada Said bin Jabir: Sesungguhnya orang-orang beranggapan bahawa al-Kautsar adalah sungai di syurga.

    Said pun berkata: Sungai yang ada di dalam syurga adalah termasuk kebaikan yang diberikan oleh Allah kepada Nabi SAW.

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Aisyah RAnha, bahawa perawi hadis ini berkata, “aku pernah menanyakan kepadanya tentang firman Allah… (ayat 1, surah al-Kautsar, bermaksud: Sesungguhnya Kami telah memberimu al-Kautsar)

    Aisyah menjawab: Al-Kautsar adalah sungai yang diberikan kepada Nabimu SAW, kedua-dua tepinya adalah mutiara berongga. Bekas-bekas penduduknya sebanyak bilangan bintang.

    Abu Na’im berkata Al-Fadhal bin Dakin: Kami pernah dicerita oleh Ibn Abi Najih, daripada Mujahid, dia berkata: Al-Kautsar adalah syurga.

    Aisyah RAnha mengatakan: Al-Kautsar ialah sungai di dalam syurga. Tidak seorang pun memasukkan hujung jarinya ke dalam kedua-dua belah telinganya melainkan mendengar suara gemuruh sungai itu.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 488 & 490

You cannot copy content of this page